Thursday, October 16, 2008

WAWANCARA BERSAMA SINAR HARIAN

Isma Airfath bin Hassanuddin atau dikenali sebagai Kosing merupakan salah seorang calon yang telah menyertai PRU 12 yang lalu. Beliau yang bertanding sebagi calon bebas menggunakan lambang kepala harimau menjadikan cabaran tiga penjuru untuk P23-Rantau Panjang. Selepas pilihanraya berakhir Saudara Kosing telah menghilangkan diri daripada khalayak ramai dan tiba-tiba muncul kembali dalam tempoh terdekat ini. Apakah sebenarnya yang telah berlaku?. Kita ikuti wawancara ringkas bersama beliau.

SH : Kemanakah saudara menghilangkan diri selepas saudara mengalami kehilangan deposit dalam PRU 12 yang lalu?
Kosing : Selepas keputusan pilihanraya diumumkan, saya mengambil keputusan untuk menghilangkan diri daripada pandangan umum. Sebenarnya saya banyak berada di rumah bersama anak dan isteri saya di samping menguruskan semula perniagaan saya. Segala aktiviti luar saya hadkan. Saya bersendirian dan mengambil keputusan untuk tidak berhubung dengan sesiapa pun. Ada juga panggilan telefon dan sms daripada rakan-rakan tetapi saya mengambil sikap berdiam diri tanpa melayani semua pangilan dan sms tersebut.

SH : Mengapakah pula dalam tempoh terdekat ini saudara muncul kembali?
Kosing : Saya mengambil keputusan untuk muncul kembali dan bertemu rakan-rakan selepas saya mendapat maklumat melalui suratkhabar dan tv tentang penggantungan beberapa tokoh politik UMNO Rantau Panjang. Saya difahamkan bahawa penggantungan mereka itu disyaki ada kaitan dengan penyertaan saya sebagai calon bebas dalam PRU 12 yang lalu. Saya rasa amat terkejut. Semasa membuat keputusan bertanding sebagi calon bebas dahulu, saya nekad kerana perkara ini bagi saya adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan proses demokrasi di negara kita. Saya membeli sendiri borang pencalonan dan hadir semasa hari penamaan calon. Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mereka yang telah digantung itu. Hari ini saya tampil untuk menyatakan perkara yang sebenar.

SH : Baru-baru ini saudara dilaporkan telah membuat suatu laporan polis berkaitan diri saudara?
Kosing : Ya. Saya telah merundingkan perkara ini dengan ahli keluarga saya. Kami telah bersetuju bahawa suatu laporan polis perlu dibuat secepat mungkin memandangkan situasi kehidupan saya sekeluarga mula tertekan. Laporan polis juga turut dibuat oleh isteri saya. Tindakan ini terpaksa saya dan isteri saya buat kerana kebelakangan ini terdapat panggilan-panggilan dan sms yang mencurigakan telah saya terima. Ada juga orang-orang yang tidak dikenali oleh isteri saya datang ke rumah mencari saya semasa ketiadaan saya. Perkara ini telah mendatangkan ketakutan kepada isteri saya.

SH : Apakah sebenarnya yang berlaku sehingga saudara dan isteri bertindak sedemikian?Kosing : Saya mensyaki ada sesuatu laporan yang tidak benar mengenai diri saya telah disebarkan oleh orang-orang tertentu. Ada yang mengaitkan saya seolah-olah telah dibayar untuk membuat pengakuan bahawa saya telah ditaja oleh individu-indivdu tertentu bertanding dalam PRU 12 yang lalu. Kalaulah benar maka perkara ini telah berupa fitnah oleh mereka yang berkepentingan dalam pemilihan bahagian kerana membuat tuduhan yang palsu mengunakan nama saya.

SH : Apakah harapan saudara selepas ini?
Kosing : Saya amat mengharapkan semoga perkara ini disiasat oleh pihak-pihak yang berwajib. Sekiranya ada pengakuan yang bertandatangan saya, maka sudah pasti ianya adalah sesuatu pengakuan yang palsu. Jika perkara ini dijadikan sebagai sebahagian daripada bukti yang menyebabkan beberapa pemimpin tertentu di Rantau Panjang ini dikenakan tindakan tatatertib, maka bagi saya suatu penganiayaan, pencabulan hak dan kezaliman telah berlaku. Selepas ini saya akan cuba untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam bersabit perkara ini.

0 comments: