By: Ramjit
RANTAU PANJANG, 14 Okt (Bernama) -- Calon bebas bagi Parlimen Rantau Panjang pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu Isma Airfath Hasanuddin membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan bahawa beliau ditaja oleh beberapa individu dalam Umno untuk bertanding kerusi parlimen berkenaan.Isma Airfath, 38, yang lebih dikenali sebagai 'Kosing' dan menggunakan logo 'kepala harimau' semasa pilihan raya umum itu, membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas pukul 5 petang semalam dengan mendakwa tanda tangannya telah dipalsukan dalam sepucuk surat pengakuan yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno.
Kerusi Parlimen Rantau Panjang dimenangi oleh calon PAS Siti Zailah Mohd Yusof selepas menewaskan calon Barisan Nasional Mohd Afandi Yusof dan calon Bebas, Isma Airfath pada pilihan raya umum 8 Mac lalu."Saya tidak pernah menulis surat pengakuan sebagaimana yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno mengatakan saya ditaja untuk bertanding dengan bayaran tertentu."Saya menafikan apa yang terkandung dalam surat pengakuan itu malahan tanda tangan saya juga dipalsukan," kata Isma Airfath kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau juga mendakwa tidak pernah berjumpa dengan empat anggota Umno Rantau Panjang yang digantung satu penggal pemilihan oleh lembaga disiplin parti itu baru-baru ini."Untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu saya mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan tiada kena-mengena dengan mereka yang berkenaan," katanya.
Beliau percaya surat pengakuan yang menggunakan namanya itu didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dan ekoran surat pengakuan itu juga, empat anggota Umno yang teraniaya telah digantung keanggotaan mereka.
Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail memutuskan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail, Bendahari Umno bahagian, Ghazali Ismail; Anggota Jawatankuasa Umno bahagian (dilantik), Fauzi Omar dan Ketua Wanita Umno bahagian, Pauziah Che Wook digantung keahlian selama tiga tahun daripada 22 September lalu atau satu penggal pemilihan.
Hukuman berkenaan berdasarkan Perkara 5 Tataetika Ahli dalam Perlembagaan Umno kerana didapati melakukan kesalahan rasuah politik.
-- BERNAMA
Wednesday, October 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment