KUALA LUMPUR 20 Okt. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu tindakan konstruktif diambil untuk membanteras politik wang dalam parti. Dalam mesyuarat khas MT di sini malam ini, beberapa pemimpin UMNO melahirkan kebimbangan tentang gejala politik wang yang berlaku dalam pemilihan parti.
Menurut sumber, dalam mesyuarat itu, ahli-ahli MT mahu Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan politik wang. Katanya, ahli-ahli MT memandang serius tentang gejala politik wang yang berlaku sepanjang proses pemilihan di peringkat bahagian yang sedang berlangsung.
''Sehubungan itu, MT mahu supaya Lembaga Disiplin parti diberi kuasa untuk terus mengambil tindakan terhadap ahli UMNO yang terlibat dengan politik wang tanpa perlu melalui proses yang panjang,'' katanya di sini malam ini.
Lembaga Disiplin UMNO dilaporkan sedang menyiasat beberapa aduan dan laporan mengenai dakwaan beberapa pemimpin UMNO terbabit dalam politik wang. Menurut Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, pihaknya akan membuat siasatan terlebih dahulu kerana masih tidak mengetahui kedudukan sebenar aduan-aduan tersebut. Tambahnya, Lembaga Disiplin akan membuat pengumuman mengenai siapa yang terlibat dalam politik wang apabila sampai waktunya.
Sementara itu, menurut sumber itu lagi, mesyuarat MT malam ini turut membincangkan tentang hasil pemukiman yang berlangsung baru-baru ini. Bagaimanapun mesyuarat itu tidak membincangkan mengenai cadangan untuk mempercepatkan pemilihan parti kepada Disember ini.
Sebaliknya menurut beliau, ahli-ahli MT kini fokus kepada pemilihan parti yang dijadualkan pada Mac tahun depan.
Monday, October 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment