Sunday, November 30, 2008

MAIN AIR







MAIN AIR







Ucapan DSAI Sempena Kongres PKR 2008-Shah Alam

Banjir 30 November 2008 - Rantau Panjang





Saturday, November 29, 2008

RANTAU ASIA SELATAN AKAN JADI MEDAN TEMPUR PAG YANG KEEMPAT?


Ruhanie Ahmad

Peristiwa keganasan berdarah di New York dan Washington DC pada 11 September 2001 - dikenali sebagai tragedi 911 - telah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) melancarkan Perang Antiterorisme Global (PAG) kononnya untuk menghapuskan terorisme Islam antarabangsa.

Anehnya, seluruh medan tempur PAG ini adalah di pelbagai wilayah Islam di benua Asia. Ia membuktikan pemilihan medan tempur ini adalah dirancang secara teliti dan menyeluruh dengan beberapa agenda penuh rahsia.Medan tempur PAG yang pertama adalah di Asia Tengah. Mulai 24 Oktober 2001, tentera AS dan sekutunya pun menyerang Afghanistan.

Alasannya, negara itu kononnya kubu persembunyian Osama Ben Laden yang didakwa sebagai ketua al-Qaeda yang dituduh melakukan teror di AS pada 11 September 2001. Negara itu juga jadi sasaran kerana kononnya memberikan perlindungan kepada al-Qaeda.Akibatnya, Afghanistan diperangi secara semberono sehingga jadi padang jarak padang tekukur dan rakyat jelatanya ramai yang terkorban dan cedera parah.

PAG di Afghanistan juga menyebabkan pertukaran rejim. Negara itu terus bergolak hingga ke hari ini.Mulai Januari 2002, AS membuka medan tempur PAG yang kedua. Kali ini AS mengerahkan tenteranya berpangkalan di selatan Filipina, di Asia Tenggara. Alasannya adalah untuk menghapuskan militen Islam di wilayah itu kerana dituduh jadi sekutu rapat al-Qaeda di Asia Tenggara.Akibatnya, mulai saat itu selatan Filipina pun mula bergolak dan sering bermandi darah.

Akibatnya empat siri pengeboman berlaku di Indonesia - di Bali pada 12 Oktober 2002 dan 1 Oktober 2005 dan di Jakarta pada 5 Ogos 2003 dan 9 September 2004 – di mana sasarannya adalah warga asing dan kepentingan asing. Seluruh keganasan ini kononnya angkara Jemaah Islamiah (JI). Akibatnya, hingga ke hari ini wilayah Islam di selatan Thailand juga terus bermandi darah kononnya angkara PULO.

Medan tempur PAG yang ketiga adalah di Asia Barat. Maka, mulai 19 Mac 2003, tentera AS dan sekutunya pun menyerang dan menjajah Iraq, kononnya untuk menumpaskan negara itu yang didakwa mempunyai WMD.Hingga ke hari ini tiada satu pun WMD ditemui di Iraq. Tetapi, Iraq sudah pun menjalani pertukaran rejim, Saddam Hussein sudah dihukum gantung sampai mati, puak syiah dan sunni terus bertelagah dan rakyat jelatanya terus bermandi darah.

Pada malam 26 November 2008, beberapa siri pengeboman dan tembak menembak berlaku di dua hotel antarabangsa serta beberapa lokasi strategik di Mumbai, India, di Asia Selatan. 160 orang dikatakan terkorban dan lebih 300 lagi cedera parah.Dengan sekelip mata, jentera propaganda barat pun menuduh bahawa keganasan itu adalah angkara sebuah pertubuhan Islam yang dikenali sebagai Deccan Mujahidin.Maka, soalnya di sini, adakah tragedi di Mumbai ini akan mendorong AS dan sekutunya menjadikan Asia Selatan sebagai medan tempur PAG yang keempat.

Jika hakikatnya demikian, maka seluruh wilayah Islam di benua Asia – Asia Tengah mulai Oktober 2001, Asia Tenggara mulai Januari 2002, Asia Barat mulai Mac 2003 dan Asia Selatan mulai November 2008 – pun menjadi medan tempur ciptaan AS.Dengan itu, negara atau wilayah Islam manakah yang akan jadi sasaran khusus PAG menerusi pembukaan medan tempur di Asia Selatan ini kelak? Pakistan atau Khasmir? Atas alasan apa pula medan tempur ini dibuka?Akhir sekali, kita perlu insaf bahawa PAG adalah peperangan yang dilakukan oleh AS dan sekutunya secara preemtif, tanpa restu PBB, tanpa musuh yang jelas dan tanpa alasan yang serupa.

Pada waktu yang sama, jangan mudah kita terpengaruh bahawa seluruh keganasan yang mengiringi kewujudan medan tempur PAG sejak 2001 hingga sekarang, atau keganasan yang berlaku setelah pembukaan sesuatu medan tempur PAG, adalah angkara teroris Islam yang kononnya bersekutu dengan al-Qaeda.

Webster Griffin Tarpley dalam bukunya 9/11 Synthetic Terror telah merumuskan bahawa seluruh keganasan yang kononnya dilakukan oleh teroris Islam antarabangsa sejak 2001 hingga hari ini adalah angkara teroris upahan yang melaksanakan operasi bendera palsu bagi pihak pelbagai agensi perisikan barat semata-mata untuk memfitnahkan umat Islam.

Sebab itulah berpuluh-puluh lagi buku mengenai PAG dan Tragedi 911 hari ini merumuskan bahawa PAG bukannya untuk membanteras keganasan teroris Islam, tetapi peperangan yang dilaksanakan untuk memudahkan teroris upahan melakukan keganasan bagi membolehkan kuasa barat tertentu mencapai agenda rahsianya di wilayah yang menjadi medan tempur PAG.

Apa pun Noam Chomsky dalam bukunya Hegemony Or Survival: America’s Quest For Global Dominance pernah mengatakan bahawa di sebalik sesuatu peperangan adalah tersembunyi pelbagai agenda, termasuklah matlamat mengembangkan industri dan perniagaan yang berkaitan dengan peperangan itu sendiri.Maka, mungkinkah ini antara agenda rahsia di sebalik PAG di abad ke-21? Mungkin benarkah antara lain-lain agenda PAG adalah usaha mewujudkan semula hegemoni ketenteraan, Fikir-fikirkanlah dengan sepenuh keinsafan!

– diposkan daripada Tehran, Iran

SEJARAH DAN PUNCA POLITIK WANG

Ruhanie Ahmad

Terminologi politik wang mula popular pada awal 1980-an. Pada ketika itu, pelbagai kaedah dan cara dilakukan oleh segolongan warga UMNO yang berhasrat memenangi sesuatu jawatan di peringkat cawangan, bahagian atau majlis tertinggi.Amalan politik wang pada era itu tidak membabitkan pemberian wang kepada para perwakilan secara hakiki.

Wang ringgit hanya digunakan secara indirect oleh seseorang calon yang mengamalkan rasuah politik untuk mendorong para perwakilan memberikan undi kepada dirinya.Contohnya, para perwakilan yang menerima amalan rasuah politik akan dibawa melancong oleh seseorang calon yang telah memenangi jawatan idamannya.

Destinasi popularnya adalah Jakarta, Medan atau Bangkok.Selain itu, para perwakilan sedemikian juga akan dibelanja berhibur di kelab-kelab dangdut, diberikan hadiah serta cenderamata dalam bentuk kain songket, jam tangan berlambangkan UMNO, dairi atau pun lain-lainnya.Ini bermakna, tidak ada transaksi wang ringgit secara direct daripada akaun pemberi atau wakilnya kepada pihak penerima.

Juga tiada pemberian wang ringgit di dalam envelop secara direct di malam-malam terakhir menjelang pemilihan jawatan di semua peringkat.Kian MeluasFenomena di atas, lama kelamaan jadi semakin meluas, canggih dan sukar untuk dikesan. Antara destinasi pelancongan juga mula termasuk ke Tanah Suci untuk ibadat umrah.Saya dapati rasuah politik atau politik wang mempunyai banyak puncanya.

Ia memerlukan pakar sosiologi, anthropologi, saikologi, saintis politik, pakar jenayah, para peguam serta budayawan untuk menghalusinya secara tuntas dan rinci.Ini kerana amalan rasuah politik ini membabitkan mentaliti serta perilaku manusia – sama ada pihak yang memberi rasuah atau pihak yang merelakan diri mereka untuk dirasuah dalam sesuatu proses pemilihan kepimpinan UMNO.

Cara-cara rasuah ini dilakukan juga jadi kian canggih selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi, khususnya SMS dan teknologi transaksi wang secara on-line.Sebab itulah penyakit ini memerlukan satu pendekatan yang bersepadu, menyeluruh dan berkesan untuk membanterasnya. Ia bukan sahaja memerlukan reformasi pengurusan UMNO di semua peringkat. Ia juga memerlukan reformasi minda, pengukuhan jatidiri serta peningkatan keinsafan manusia-manusia politik itu kepada matlamat teras serta cita-cita perjuangan parti.

Idealisme LunturHasil daripada kajian ringkas yang saya jalankan, antara punca utama politik wang adalah seperti berikut:

Satu: Idealisme perjuangan UMNO yang berlandaskan huruf alif, ba, ta - singkatan kepada agama, bangsa, tanahair – kurang dihayati atau sengaja tidak mahu dihayati oleh sesetengah warga dan pemimpin UMNO. Ini mungkin berpunca daripada kesejahteraan, kemewahan dan kebahagiaan hidup di era Malaysia merdeka.

Dua: Ketiadaan key performance index (KPI) untuk menilai serta meningkatkan kualiti kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Tiga: Seluruh jawatan utama dalam hiraki UMNO disifatkan oleh sesetengah warga UMNO sebagai pasport kepada pencapaian pangkat dan darjat dalam kehidupan mereka.
Bukannya disifatkan sebagai amanah untuk memperjuangkan nasib serta kehidupan rakyat jelata seluruhnya.

Tiga: UMNO belum mempunyai strategi serta program yang konsisten, terancang, menyeluruh dan berkesan untuk menyemarakkan ideaslisme perjuangan parti di semua peringkat.Sistem Kuno

Empat: Sistem pemilihan kepimpinan UMNO yang ada sekarang adalah kuno dan tidak lagi sesuai dengan karenah jumlah ahli UMNO yang kian meningkat.

Lima: Ketiadaan prosidur jelas dan tetap dalam pengurusan hal ehwal siasah dan karenah ahli-ahli UMNO di semua peringkat. Perlembagaan parti mengenai disiplin dan tataetika seolah-olah kurang dihormati oleh sesetengah anggota parti.

Enam: Ketiadaan jentera untuk memantau perlanggaran disiplin dan tataetika perjuangan yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Tujuh: Ketiadaan mekanisme serta kaedah khusus untuk melaporkan kesongsangan perilaku ahli. Ini menyebabkan sesuatu laporan mengenai salahlaku dan perlanggaran disiplin dilakukan secara adhok sehingga menyebabkan wujudnya kes-kes diketepikan kerana kekurangan bukti dan wujudnya elemen-elemen fitnah terhadap sesuatu pihak yang sebenarnya tidak bersalah.

Lapan: Mentaliti bahawa UMNO akan terus hidup, berkembang, kukuh, mantap dan berpengaruh sepanjang zaman – dulu, kini dan selamanya. Ini menyebabkan komitmen sesetengah ahli UMNO memelihara kesejahteraan serta memperkasakan perjuangan parti jadi sambil lewa dan luntur.Tiada R & D

Sembilan: Wujudnya persepsi bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Ini menyebabkan sesetengah ahli UMNO gagal membezakan peranan kerajaan dan parti terhadap masyarakat.

Sepuluh: Terakhir dan bukannya kurang pentingnya, ketiadaan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (research and development) untuk memantau perkembangan UMNO, mengenalpasti masalah pengurusan UMNO, mengukur komitmen kepimpinan UMNO serta membuat perakuan-perakuan untuk sentiasa memperkasakan UMNO.Demikianlah sebahagian daripada punca rasuah dalam UMNO.

Saya yakin para pakar yang saya sebut di perenggan terawal dalam tulisan ini mampu menghalusinya untuk memberikan perspektif yang lebih berwibawa dan jelas.Posting saya di blog ini pada Sabtu, 22 November 2008, adalah diantara gagasan dangkal saya untuk mengatasi serta manbanteras gejala rasuah politik ini.

Friday, November 28, 2008

Ayah Pin Turun ke bumi untuk Pemilihan UMNO?


Sekitar tahun 1998, saya bertemu sekumpulan Melayu yang bercerita tentang keajaiban seorang manusia dari Trengganu dan mengenai Rijal alghaib (Lelaki Ghaib). Saya mengenal salah seorang dari mereka melalui kawan-kawan dalam Pemuda UMNO masa itu dan individu ini pernah menjadi rakan niaga kepada Zahid Hamidi (seperti dakwaan dialah).

Dalam satu pertemuan selepas maghrib di Masjid Bangsar, seramai lima orang ahli kumpulan ini bercerita kehebatan masing-masing kononnya diberikan 'kuasa' dalam melakukan beberapa perkara, seperti 'time machine' untuk kembali ke mana-mana zaman. Ada yang boleh ke mana-mana dengan sekelip mata. Ada yang boleh mengetahui gerak hati seseorang. Ada yang boleh buat duit dan mengambil duit dari ATM tanpa akaun bank! Bermacam lagi.Antara ahli kumpulan ini pernah menjadi orang besar sebuah gergasi telekomunikasi.

Mereka semua tidak bekerja kerana hanya bekerja terus dibawah Allah! MasyaAllah! Sewaktu berbual itu, salah seorang mereka berkata,"Ada Rijal Al Ghaib hadir bersama kita!"Dia pun bercakap sesuatu kepada yang ghaib itu dan 'menterjemah' kembali kepada saya setiap soalan dari Rijal Al Ghaib.....naik meremang bulu roma. Allahualam. Menurut Rijal Al ghaib yang hadir itu, salasilah keturunan saya dari Shaikh Sayyid 'Abd al-Qadir al-Jilani. MasyaAllah!Ketika itu saya tidak terdengar pun mengenai Ayah Pin. Teringat yang salah seorang dari mereka pernah memberikan telefon untuk bercakap dengan seorang 'tukang kayu' dari Trengganu.

Tukang kayu yang hebat kerana pernah sendiri pergi ke langit sana.Saya membuat anggapan kemudiannya, setelah kisah Ayah Pin menjadi hangat selepas tahun 2000, mungkin itu Ayah Pin, hanya Allah yang mengetahui kerana saya sudah terputus hubungan dengan kumpulan ini sebaik berhijrah ke UAE.Saya akan ceritakan pengalaman hampir setahun dengan kumpulan yang semua ahlinya mahu jadi Rijal Al Ghaib ini.

Malah ada membantu mereka berniaga dengan memberi maklumat mengenai dunia IT.Kini Ayah Pin dikatakan muncul kembali, apakah kena mengenai dengan pemilihan hebat dalam UMNO? Setahu saya, berkenalan dengan kumpulan tersebut, mereka semua adalah ahli UMNO yang setia dan percaya Dr. Mahathir itu diterima oleh kerajaan langit, manakala TG Nik Aziz dikatakan ditolak oleh kerajaan langit!





KUALA LUMPUR - "Ketika itu saya lihat kira-kira 60 lelaki berpakaian serba hitam mengiringi seorang lelaki yang memakai topi berjalan sambil tunduk."Mereka dilihat memasuki tiga buah bilik di sebuah premis karaoke di ibu negara dan tidak membenarkan sesiapa masuk serta menampal kata-kata aluan meraikan kedatangan pemimpin 'Kerajaan Langit'. Demikian cerita seorang lelaki yang mendakwa menyaksikan sendiri kemunculan semula seorang lelaki ala Ayah Pin berdekatan tempat kerjanya di ibu negara kira-kira sebulan lalu.

Menurut lelaki yang ingin dikenali sebagai Shah, 40-an, ketika itu, dia yang sedang bertugas ternampak kelibat seorang lelaki yang dikelilingi oleh puluhan pemuda pelbagai kaum pada 24 September kira-kira pukul 11 malam."Mereka terus memasuki premis karaoke tersebut dan menempah bilik yang dikhaskan untuk kumpulan mereka sahaja tetapi apa yang mereka lakukan di dalam bilik itu saya tidak tahu.

"Kira-kira tiga jam selepas itu, mereka keluar dan saya yang tidak berpuas hati telah pergi ke dalam bilik itu dan melihat banyak botol arak bersepah-sepah,'' katanya di sini semalam.

Tambahnya, dia yang pada mulanya tidak mengetahui mereka merupakan pengikut
kumpulan ajaran sesat itu sehinggalah dia ternampak kata-kata aluan yang ditampal pada dinding di premis yang sama.Menurut Shah, antara kata-kata itu termasuk 'Selamat ulang tahun God grandfather yang ke-4... Selamat sejahtera dan gilang gemilang dari Kawalan Bumi dan Kerajaan Langit'.

"Huruf-huruf itu ditempa dengan gabus dan ditampal pada sekeping papan sebelum dilekatkan pada dinding premis karaoke tersebut,'' katanya.Ujar Shah, melalui pemerhatiannya, kebanyakan lelaki yang menyertai kumpulan itu datangnya dari pinggir ibu negara terdiri daripada Melayu dan India.

Pemimpin Pakatan Rakyat Yang Gagal Tunai Manifesto Akan Diganti: AMK

By: Ramjit-->
SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa ia akan memastikan para pemimpin negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang gagal melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya umum diganti dengan pemimpin baru.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata janji itu termasuklah membersihkan kerajaan daripada pengaruh dan amalan rasuah."Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri pakatan rakyat teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.

Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK di sini hari ini.Beliau berkata perubahan itu mestilah dilakukan dengan segera bagi mengelakkan sokongan rakyat menjadi terhakis.AMK juga mendesak pucuk pimpinan PKR memberikan peluang yang adil dan tidak meminggirkan pergerakan itu daripada jawatan-jawatan dalam kerajaan pakatan rakyat dan dalam parti.

"Jangan berselindung di sebalik alasan mudah iaitu tiada pengalaman. Apakah selepas tsunami politik kita (AMK) terus dipinggirkan?.Shamsul Iskandar turut mencadangkan kerajaan persekutuan supaya mengadakan kongres ekonomi kebangsaan bagi membincangkan strategi baru untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.

Katanya, kongres ekonomi itu yang dicadangkannya perlulah melibatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang atau fahaman."Kerajaan perlu bersikap terbuka dan bersedia mengaplikasikan pendekatan baru bagi meminimumkan impak kegawatan ekonomi.
-- BERNAMA

Sanggupkah Kelantan Menerima Pengunduran Nik Aziz?


By: Ramjit-->
KOTA BAHARU, 28 Nov (Bernama) -- Pengumuman mengenai pengunduran Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari arena politik bukanlah yang pertama dibuat olehnya kerana sebelum ini sudah beberapa kali beliau melahirkan hasrat itu atas faktor kesihatan.
Berikutan itu, timbul isu di kalangan pemimpin Pas yang mula mempersoalkan selama mana Mursyidul Am Pas itu akan bertahan dan siapa akan menjadi penggantinya."Faktor ini menjadikan Pas mahupun rakyat Kelantan enggan memikirkankanya kerana di hati mereka tiada pemimpin yang sebijak dan merendah diri seperti tok guru (Nik Abdul Aziz) selain berani kerana agama," kata seorang ahli Pas yang enggan menyatakan identitinya kepada Bernama.
Kesan pengunduran Menteri Besar itu, yang menerajui Kelantan sejak 1990, juga akan mempengaruhi sentimen penyokong tradisi Pas di Kelantan dan menggugat kedudukan Pas, katanya.
Isu pengunduran Nik Abdul Aziz, 77, timbul berikutan laporan sebuah akhbar mingguan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.
Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.Reaksi daripada laporan akhabar itu Nik Abdul Aziz berkata beliau "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan dari Pas memintanya berbuat demikian.
Tetapi keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.Malahan bagi Setiausaha Politik Menteri Besar itu Anual Bakri Harun ketika dihubungi Bernama berkata adanya pihak yang cuba memburukkan nama Menteri Besar ketika waktu gemilangnya."Isu (pengunduran) itu tidak pernah timbul pada masa kini dan tiada siapa pun yang mahukan tok guru berundur.
Laporan akhbar itu tidak tepat dan tidak profesional," katanya.Perkara itu turut disokong oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat yang menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Nik Abdul Aziz berundur dari jawatannya.Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.
Begitu pun, masih ada pihak, yang berpayung di bawah Pas, meminta Nik Abdul Aziz supaya berani membuat keputusan tanpa menunggu desakan terlebih dahulu.Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali percaya keputusan itu akan mendapat sokongan semua pihak kerana sebagai pemimpin yang tidak memiliki kesihatan yang baik, ia akan menjejaskan urusan pentadbiran negeri.
Ibrahim berkata, secara peribadi, Nik Abdul Aziz perlu mementingkan kesihatannya kerana ia juga ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri.Mursyidul Am Pas itu memahami bahawa kudrat beliau untuk memimpin semakin berkurangan sehingga timbulnya desakan berundur dan golongan ini sebenarnya bukan tidak menghormati Nik Abdul Aziz.Sebaliknya mereka bimbang pemimpin yang disanjung oleh penyokong Pas itu akan menjadi bebanan kepada parti tersebut kerana gagal mentadbir Kelantan dengan baik dan sering mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Menurut sumber parti, beliau mengakui selama ini Pas bertahan di Kelantan kerana Menteri Besar itu dan penyokong Pas Kelantan tidak melihat calon lain yang lebih layak untuk meneruskan kepimpinan ulama di negeri itu selain Nik Abdul Aziz."Jika beliau berundur, ia sudah pasti akan menggugat kekuatan Pas, apatah lagi sepanjang tempoh 18 tahun beliau tidak pernah mengumumkan atau menonjolkan barisan pelapis bagi menggantikannya," katanya.Namun kini Nik Abdul Aziz sendiri mengakui beliau mempunyai beberapa calon penggantinya tetapi enggan mendedahkannya dan beliau berharap penyokong Pas faham hakikatnya tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti kepada dirinya.
"Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika (Bekas Presiden Pas) Datuk Asri (Muda) dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti."Kalau saya sebut, bermakna hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan Pas. Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan," katanya.
-- BERNAMA

Abdullah Harap Siasatan Politik Wang Dalam Umno Selesai Sebelum Mac

By: Ramjit-->
PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap siasatan Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac depan agar mereka yang bersalah boleh digugurkan daripada bertanding.

Perdana Menteri berkata langkah itu boleh memastikan pentadbiran parti berjalan lancar."Sekiranya seseorang yang sudah dipilih untuk memegang sesuatu jawatan dan selepas itu baru didapati bersalah dan jawatan itu terpaksa dikosongkan, ia akan merugikan parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata walaupun beliau mahu siasatan itu cepat, ia perlu dijalankan dengan rapi dan keputusan yang betul dibuat.Katanya mereka yang bersalah kerana terbabit dalam politik wang tetap akan dilucutkan jawatan sekiranya keputusan siasatan hanya diketahui setelah mereka memegang jawatan.

Beliau berkata Badan Pencegah Rasuah masih boleh menyiasat sekiranya wujud unsur-unsur rasuah membabitkan mereka yang bertanding.
-- BERNAMA

Ketuanan Melayu tidak lagi relevan - Mei Fun


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan hari ini atas alasan semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambil menyokong kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai perkara itu semalam, beliau berkata, di tanah air ini semua rakyat adalah tuan tanah Malaysia.
''Oleh itu kita sama-sama bangunkan negara,'' katanya selepas mempengerusikan dialog antara Exco Wanita MCA dengan 19 ahli bahagian Wanita, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Miri di sini hari ini.

Ditanya apakah pandangan Soi Lek itu selari dengan semangat UMNO yang menjadi ahli komponen dalam Barisan Nasional (BN), Mei Fun berkata:
''Kita tidak dapat memberi arahan supaya semua orang bersetuju dengan pandangan mereka.
''Biar mereka mempunyai pandangan yang tidak sama tetapi apa yang penting ada semangat kerjasama antara satu sama lain.

''Apa yang disuarakan oleh Soi Lek itu selaras dengan konsep kongsi kuasa dalam BN,'' katanya.
Mei Fun berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Soi Lek yang berpendapat konsep ketuanan Melayu tidak relevan hari ini dan telah ditolak rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Soi Lek berkata, konsep itu mungkin sesuai apabila ia dirangka sebelum kemerdekaan negara tetapi tidak lagi hari ini berikutan rakyat memberi isyarat jelas menerusi pilihan raya umum lalu.

Soi Lek memberitahu demikian ketika menyampaikan syarahan di Subang Jaya, kelmarin.

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Mat Sabu calon favourite!


PILIHANRAYA kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran pemergian ke rahmatullah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dijangka menjadi titik tolak sama ada keutuhan BN didalangi Umno mampu dipertahankan atau sebaliknya tidak lama lagi.


Walaupun bermacam-macam kaedah dan tolenrasi dipamerkan kepemimpinan BN untuk melembutkan hati rakyat selepas kekalahan teruk pada pilihanraya kebangsaan ke-12 lalu sehingga terpaksa menyerah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kepada Pakatan Rakyat, rakyat hari ini dikatakan masih menyimpan rasa sangsi keupayaan BN memerintah apatah lagi nada yang selama ini begitu lantang di Dewan Rakyat semakin hari semakin hilang dari pendengaran ramai kerana dibayangi kepetahan barisan pembangkang yang tidak memberi sedikit pun ruang untuk menteri kabinet dan anggota BN berasa selesa.


Tentunya ramai ternanti-nanti apakah PRK Kuala Terengganu bakal mencetus malapetaka lagi buat BN selepas tewas besar di Permatang Pauh? Tak kurang juga ada yang menganggap peluang BN mengekalkan kerusi tersebut semakin sukar bukan sahaja dibebani isu-isu kontroversi seperti kenaikan harga minyak dan barangan tetapi masih banyak urusan pembangunan di ibu negeri Terengganu ini gagal ditangani dengan baik malah mencetuskan fenomena rasa tidak puas hati warganya yang dikatakan sudah hilang kepercayaan kepada kepemimpinan BN.


Ada juga pendapat menyatakan bahawa PRK membuka ruang kepada Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu untuk mengadu untung nasib kembali bergelar YB selepas terpaksa menjadi penganggur kehormat apabila tewas tipis ditangan Razali Mac lalu. Setakat ini, Mohamad Sabu dilihat calon favourite mewakili PAS biarpun ada cubaan pihak tertentu mahu menampilkan pemimpin lain.


Pada pilihanraya kebangsaan lalu, parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Razali, Mohamad Sabu dan Maimun Yusuf seorang nenek dan calon paling tua. Razali yang memperolehi 32,562 undi berjaya mengungguli kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 628 undi sahaja mengenepikan cabaran Mohamad Sabu (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).


Dengan adanya pemimpin hebat berpidato seperti Mohamad Sabu di Dewan Rakyat nescaya suara Pakatan Rakyat dan rakyat Kuala Terengganu akan bergema lebih kuat lagi dan tidak hanya bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tuan Guru Abd Hadi Awang, Saifuddin Nasution, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob, Karpal Singh, Gobind Singh Deo, Teresa Kok dan Lim Guan Eng semata-mata.


Walaupun PRK dijangka berlangsung dalam tempoh 60 hari lagi, namun perkhabaran terbaru yang diterima menunjukkan golongan pengundi muda serta mereka yang berada ‘diatas pagar’ akan dilihat menjadi penentu kemenangan dan isu-isu semasa yang melanda negara termasuk harga minyak dan barangan akan terus menerus menjadi bahan kempen yang bakal bercambah tidak lama lagi.


{ Tentu ramai terindu-rindukan untuk mendengar pidato Mohamad Sabu bergema semula dalam sidang Dewan Rakyat. Siapa yang tak kenal kepetahannya bercakap dengan hujah -hujah penuh berapi diselangseli usikan yang pasti tidak menjemukan suasana dewan. }

Wacana Perdana


Thursday, November 27, 2008

Gambar-gambar Sempena Majlis Pelancaran Ride For Nature







RIDE FOR NATURE

DFR (Darulnaim Free Rider ) hari ini telah mengadakan suatu aktiviti yang dinamakan Ride For Nature melibatkan penunggang-penungggang motosikal kuasa besar dan Four Wheel Drive dari Rantau Panjang - Sungai Golok - Narathiwat. Program ini disertai oleh peserta daripada 3 negara iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand.

Pengerusi DFR, Saudara Kosing menjelaskan program ini bertujuan mengukuhkan persahabatan antara 3 negara terutama dikalangan mereka yang mempunyai minat yang sama dalam pengembaraan bermotosikal dan berkereta.


Acara juga turut dimeriahkan dengan lintas langsung THR Gegar dan Pakej Celcom Postpaid yang menawarkan hadiah telefon percuma.

Pelancaran telah dibuat oleh YB Dato Husam Musa dan Konsulat Thai ke Kelantan di Perkarangan Restoran Sri Tiga pada pukul 3.00 petang. Konvoi yang terdiri daripada hampir 50 buah 4WD dan 50 buah motosikal itu akan menginap di Genting Hotel, Sungai Golok dan akan meneruskan perjalanan mengelilingi bandar Narathiwat keesokannya.

Malam ini semua peserta akan diraikan dalam satu Majlis Makan Malam anjuran DO Sungai Golok.








Melayu perlu berniaga jika mahu kuasai ekonomi



Oleh Nassrul Hakim Md. Jani

MOTTO Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MeCD) "Keusahawanan Kerjaya Pilihan" jelas menunjukkan komitmen dan visi kementerian dan kerajaan ke arah melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa akan datang. Tetapi kebanyakan mahasiswa Melayu masih mengharapkan kerja makan gaji dengan swasta atau kerajaan.

Pada masa ini banyak program keusahawanan dijalankan. Jika di sekolah kita ada Program Usahawan Muda (PUM) sementara di Institusi Pengajian Tinggi pula ada Program Siswaniaga (PSN). Ini ditambah dengan program 'kemahiran insaniah' (softskill) yang sedang dilaksanakan di pusat-pusat pengajian tinggi yang berasaskan kepada beberapa teras utama. Dan salah satu terasnya ialah keusahawanan.

Nilai-nilai keusahawanan seperti kreatif, berdaya saing dan sentiasa mencari peluang merupakan contoh nilai keusahawanan yang bagus diterapkan di kalangan pelajar dan mahasiswa.

Apa yang ingin diterapkan melalui nilai-nilai keusahawanan ini sebenarnya bukanlah semata-mata untuk menjadikan seseorang sebagai usahawan tetapi ia boleh digunakan dalam kehidupan seharian dan dalam kerjaya mereka suatu hari nanti. Dan pelajar yang aktif dengan program keusahawanan semasa di sekolah atau IPT ini akhirnya menjadi eksekutif syarikat swasta atau pegawai kerajaan.

Mungkin kerana hanya menerapkan nilai keusahawanan sahaja menjadikan pelajar-pelajar yang pernah aktif dengan PUM atau yang menyertai PSN akhirnya tidak juga memilih keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Ini kerana mereka tidak diprogramkan untuk menjadi usahawan tetapi sekadar untuk mengambil nilai keusahawanan itu sahaja.

Tetapi pada masa sekarang kita sebenarnya menghadapi masalah kurangnya minat di kalangan orang Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Mengapa kita tidak menerapkan terus kepada pelajar-pelajar Melayu bahawa mereka mesti menjadi usahawan? Dengan itu menjadikan objektifnya lebih jelas dan mereka betul-betul faham hasrat sebenar arus perdana bangsa.

Masalah penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu harus diberi perhatian yang amat serius. Mungkin ramai yang berkata taraf hidup orang Melayu sekarang sudah meningkat berbanding dahulu. Orang Melayu kini ramai yang berpendidikan tinggi dan memegang jawatan sebagai pegawai tinggi kerajaan atau eksekutif di syarikat-syarikat swasta.

Sebenarnya orang Melayu harus berfikiran jauh ke arah menguasai ekonomi. Memegang jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat swasta sebagai pengurus atau CEO sekali pun tidak dikira sebagai menguasai ekonomi. Begitu juga dengan sesetengah orang Melayu yang menjadi ahli lembaga pengarah atau pengerusi syarikat atas keperluan kuota Melayu tetapi tidak mempunyai apa-apa saham dalam syarikat juga tidak boleh dikira sebagai menguasai ekonomi. Menguasai ekonomi bermakna memiliki aset dan perniagaan. Perniagaan tersebut milik kita, bukan kita hanya sebagai pekerja.

Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Malangnya sehingga sekarang orang Melayu masih leka dan tidak bersungguh-sungguh untuk menguasai ekonomi dan bidang perniagaan, walau pun sudah banyak usaha dilakukan dan pelbagai agensi ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang keusahawanan.
Ramai siswazah Melayu yang ingin menjadi usahawan sebenarnya tidak diberikan kefahaman yang jelas mengapa mereka perlu menjadi usahawan.

Sekadar menyatakan bahawa dengan menjadi usahawan mereka 'boleh jadi kaya' sahaja belum mencukupi.

Dan lebih menyedihkan apabila penceramah-penceramah dalam program keusahawanan untuk siswazah menyatakan "kalau tak dapat kerja jadilah usahawan". Kenyataan ini seolah-olah menggambarkan bahawa keusahawanan ini hanyalah pilihan terakhir sekiranya gagal mendapat pekerjaan dan bukannya keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Siswazah Melayu seharusnya diberikan kefahaman yang jelas bahawa mereka perlu menjadi usahawan adalah untuk memastikan survival Melayu pada masa akan datang. Mereka ini sebenarnya penyelamat kepada bangsa Melayu.

Mereka juga harus diberikan kefahaman bahawa perniagaan adalah fardu kifayah. Sekiranya tidak ada orang Islam yang menjalankan sesuatu perniagaan untuk memenuhi keperluan umat Islam setempat maka semua orang Islam di sesuatu tempat itu akan berdosa. Dan mereka yang terlibat dengan perniagaan telah menyelamatkan orang Islam yang lain daripada menanggung dosa.

Pada masa ini pemikiran mereka harus dibentuk untuk meminati kerjaya sebagai usahawan. Mereka harus diterapkan rasa yakin dan berani untuk mengambil risiko melibatkan diri sebagai usahawan apabila menamatkan pengajian kelak. Agar mereka tidak mengulangi kesilapan generasi Melayu sekarang yang terlalu mengagung-agungkan kerja makan gaji dan takut rugi jika menjadi usahawan.

Kita semua tahu bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kerana itu kita harus mengubah strategi daripada hanya menekankan kepada nilai keusahawanan semata-mata ke arah menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan kepada para pelajar Melayu. Jika tidak, orang Melayu akan terus menjadi bangsa makan gaji dan yang menguasai ekonomi adalah orang lain.

Adun PAS Nafi Wujud Desakan Supaya Nik Aziz Berundur



By: Ramjit-->
KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat hari ini menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian semalam.


Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.
Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.


Sementara itu, ADUN Pas Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu."Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.
ADUN Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan ADUN Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya."Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan ADUN Pas.-- BERNAMA

Beri sumbangan menyeluruh - Muhyiddin


MUAR 27 Nov. - Semua bahagian UMNO di seluruh negara sewajarnya keluar daripada perjuangan yang sempit dan memberi sumbangan bagi kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk perlu sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat yang bukan sahaja melibatkan kaum Melayu malah kaum lain.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata, kerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain adalah amat penting bagi memberi keyakinan kepada rakyat.

"Apabila semua parti bergerak atas landasan masing-masing, rakyat tidak nampak dan sebab itu (BN) tidak mendapat layanan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar, Pagoh, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menasihatkan pemimpin yang terpilih di peringkat bahagian supaya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

"Pemimpin yang terpilih perlu bekerja keras sebagai pasukan yang mantap dan saya nasihatkan untuk membantu masyarakat tanpa mengira kaum atau keturunan," katanya.

Beliau berhasrat untuk menggerakkan UMNO Bahagian Pagoh sebagai modul bahagian yang dapat mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap UMNO.

Katanya lagi, dengan berorientasikan masalah rakyat serta isu pendidikan dan ekonomi, matlamat tersebut diyakini berjaya dicapai.

Tuesday, November 25, 2008

Zulkifli Sulong, The Malaysian Insider


Dengan apa yang berlaku di Selangor, orang sudah membuat andaian bahawa akan berlaku perpecahan dalam Pas. Ia adalah pertembungan antara kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan penyokong kepimpinan ulama yang memimpin Pas sekarang.

Apabila Zubaidah Abu Bakar menulis dalam NST Isnin (24 November) lepas, orang-orang Erdogan mula dipancung di Selangor, ramai yang terkejut dengan berita itu. Ini kerana, bagi kebanyakan orang yang mengikuti politik Pas dengan baik, isu ini sudah selesai pada 12 Oktober lalu. Di mesyuarat Lajnah Politik (lajnah paling berkuasa dalam menentukan hala tuju politik Pas), sudah berlaku genjatan senjata. Namun jika benarlah apa yang ditulis itu sebagai tindakan memancung kumpulan Erdogan, ia satu yang dikesali.

Ekoran tulisan Zubaidah itu, saya diperkenalkan dengan satu blog baru muncul oleh penulis The Star, Joceline Tan. Blog itu bernama scandalasia.blogspot.com.

Tolak ketepi bahasa-bahasa kasarnya, ramai yang terkesan dengan kandungan tulisan pertama dalam blog ini. Ia memberikan satu imput yang sangat bernilai untuk mereka yang ingin faham dengan apa yang berlaku dan pemikiran yang bersimpang siur dalam Pas.

Hasilnya, Joceline berpendapat, boleh jadi pertandingan yang akan berlaku dalam Pas tahun depan lebih sengit dari apa yang berlaku dalam Umno kini.

Inilah persepsi pihak luar terhadap Pas. Benar atau tidak, persepsi tetap persepsi. Ia bakal membawa kepada kotak undi jika tidak ditangani dengan baik oleh pimpinan Pas.

Dengan apa yang berlaku di Selangor, orang sudah membuat andaian bahawa akan berlaku perpecahan dalam Pas. Ia adalah pertembungan antara kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan penyokong kepimpinan ulama yang memimpin Pas sekarang.

Tindakan Datuk Dr Hassan Ali sebagai pesuruhjaya Pas negeri mengenepikan Khalid Samad dan Shaari Sungib dari barisan kepimpinan utama Pas Selangor telah menyebabkan keyakinan orang terhadap persepsi adanya dua kumpulan dalam Pas ini semakin kuat.

Tambahan pula dengan rekod-rekod kenyataan Hassan Ali dan Khalid selama ini. Hassan dianggap berbeza dengan Khalid dalam mengendalikan isu perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS. Hassan membantah secara terbuka perlantikan itu dengan mempersoalkan “kenapa tidak melantik dua lagi timbalan pengurus besar” (yang Melayu) dianggap tidak menyokong perlantikan Madam Low kerana kecinaannya.

Khalid pula dalam kenyataan berkata, ketidaksetujuan beliau terhadap perlantikan itu kerana “mahu darah baru dari luar untuk memperkukuhkan PKNS”.

Bagi saya, isu hubungan Hassan dengan Khalid ini menjadi runcing bukan kerana erdorgan atau tidak. Ini kerana, isu ini sudah selesai dan tidak perlu berbangkit lagi. Isu sebenarnya, bagi saya, adalah hubungan tidak rapat antara Hassan Ali sebagai Exco kerajaan negeri Selangor dan juga pesuruhjaya Pas Selangor dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sejak awal lagi, nampak sangat hubungan kedua-duanya tidak berapa baik. Sejak isu konsert Mas Idayu lagi nampak hubungan antara keduanya kurang baik. Kebetulan pula Khalid Samad ini baik dan rapat dengan MB Selangor itu.

Banyak situasi berlaku yang menunjukkan hubungan kurang baik antara Hassan dengan kedua-dua Khalid ini. Misalnya, Hassan Ali selalu sahaja merungut dan melaporkan beliau tidak mendapat kepercayaan penuh Khalid Ibrahim. Tidak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, tidak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Zakat dan sebagai sebagainya. Dalam situasi sebegitu, Khalid Samad pula dilihat mempertahankan MB Selangor itu.

Menurut ceritanya, perkara ini selalu berlaku dalam mesyuarat yang disertai Hassan dan Khalid Samad itu. Yang terakhir adalah Dewan Harian Pas Selangor yang membawa kepada keputusan menggugurkan Khalid Samad itu.

Bagi Khalid Samad, Hassan Ali sepatutnya mempergunakan hubungan baik beliau dengan MB Selangor itu untuk kepentingan Pas, Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor. Tetapi, baginya, Hassan Ali tidak menggunakan peluang itu.

Kini, apa yang dibimbangi berlaku sudah berlaku. Hassan telah mengeluarkan Khalid dan Shaari dari inner circlenya. Beliau telah membawa dua pemimpin yang dianggap banyak bersama beliau selama ini ke dalam inner circle beliau itu.

Yang membuatkan saya tidak risau dengan apa yang berlaku adalak kenyataan Khalid Samad dan Shaari Sungib selepas mereka berdua dipecat. Shaari dengan jelas berkata, beliau menerima tindakan itu kerana itu hak pesuruhjaya manakala Khalid pula berkata, beliau boleh bermain dipadang yang lebih luas dengan tindakan ini.

"Kalau sebagai timbalan pesuruhjaya, saya hanya boleh aktif bercakap dalam mesyuarat Dewan Harian sahaja, masa mesyuarat Perhubungan (yang lebih ramai ahlinya), saya kena pertahankan keputusan harian.

"Kini saya bebas untuk bercakap kepada ahli mesyuarat yang lebih besar dengan disertai oleh lebih ramai ahli tanpa terikat dengan keputusan Dewan Harian," kata Khalid Samad.
Dewan Harian Pas Selangor dianggotai 10 anggota iaitu pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya (tiga orang), ketua-ketua dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat, setiausaha perhubungan, bendahari dan ketua penerangan.

Kalau masing-masing mengambil positif perkara ini, percayalah apa yang dinyatakan oleh Joceline Tan “pertarungan yang lebih hebat dari yang berlaku dalam Umno akan berlaku dalam Pas tahun depan” tidak akan berlaku.

Namun, semuanya terserah kepada mereka yang terlibat. Mereka yang melihat boleh menelah sahaja apa sebenarnya yang berlaku dan membuat persepsi masing-masing. Tuan ampunya dirilah yang lebih tahu apa yang mereka hendak sebenarnya

Benteras Politik Wang......Sukar


Saya bersetuju dengan pendapat Dato Seri Najib Tun Razak bahawa usaha membanteras politik wang perlu keazaman politik.


2. Soalnya - keazaman politik siapa?


3. Apakah keazaman politik mereka yang ingin dicalonkan dan sudah hulur wang sogokan?


4. Apakah keazaman pemimpin UMNO untuk lihat UMNO bersih daripada politik kotor?


5. Jika pemimpin yang perlu banteras, yang mana satukah pemimpin yang perlu berazam; pemimpin cawangankah, bahagian, Majlis Kerja Tertinggi atau Presiden parti?


6. Saya akui di masa saya jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri pun sudah ada politik wang.


7. Ia amat ketara semasa saya dan Tun Ghafar Baba dicabar pada tahun 1986.


8. Walaupun saya dapat pencalonan yang terbanyak (70 peratus) tetapi saya menang dengan kelebihan undi hanya 43 sahaja. Jelas perwakilan tidak undi ikut pencalonan oleh Bahagian.


9. Untuk mengelak perwakilan dipengaruhi semasa bersidang maka perlembagaan dipinda supaya 10 undi bonus diberi apabila dicalon oleh Bahagian.


10. Malangnya ada calon yang berjaya mendapat begitu banyak pencalonan sehingga lawannya terpaksa tarik diri.

Umno Perlu Buat Perubahan Utama Selepas Pemilihan Mac Depan

By: Ramjit-->
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata parti itu perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti tersebut.Beliau berkata ini penting bagi memastikan gejala seperti politik wang dan masalah disiplin anggota parti dapat diatasi."Isu ini (politik wang) telah dibangkitkan sering kali kita berhadapan dengan pemilihan.

Untuk menanganinya secara lebih berkesan ialah melihat semula struktur paksi kita."Ini saya percaya akan kita lakukan selepas pemilihan bulan Mac depan. Perkembangan yang positif ini mesti membenarkan kita juga melihat kepada struktur parti dalam perubahan yang ingin kita lakukan selepas Mac," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam Umno adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu hanya boleh dilakukan dengan kemahuan politik, kemampuan yang padu dan kesungguhan daripada mereka yang diberikan tempat dalam parti selepas pemilihan Mac nanti."Harap selepas pemilihan nanti mungkin kita boleh tengok, khusus dari segi strukturnya, perlembagaannya, perjuangan kita yang menuntut kita melihat semula apa yang perlu kita lakukan bukan hanya dalam Umno tetapi dalam Barisan Nasional selepas pilihan raya umum ke-12," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pendirian calon Ketua Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat sebagai ketua pergerakan itu pada pemilihan Mac depan, Hishammuddin berkata ia terpulang kepada hak masing-masing."Itu hak dia, kita sentiasa menawarkan diri untuk berkhidmat sekiranya kita diberikan tawaran untuk berkhidmat tidak kira apa jua keadaan.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, suka atau tidak Wee kena terima dan pikul kerana matlamat objektif kita menawarkan diri adalah untuk berkhidmat."Sekiranya pucuk pimpinan memikirkan bahawa kita mempunyai kelebihan untuk berkhidmat bukan sahaja dalam parti tetapi dalam kerajaan, kenapa tidak (dilantik memegang jawatan dalam kabinet)," katanya.
-- BERNAMA

Basikal Dua Tingkat


Keajaiban Nombor di dalam Al Qur'an..

Ajaib tetapi benar! Lihatlah sebahagian daripada hasil kajian seorang cendekiawan Islam terhadap kandungan Al-Quran. Didapati banyak perkara telah disentuh dan telah dibuat kajian oleh manusia seperti nombor, astronomi, angkasalepas, perubatan, geologi, kejuruteraan, minda dan sebagainya.

Bilangan tentang perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran:

DUNIA - 115 kali
AKHIRAT - 115 kali

MALAIKAT - 88 kali
SYAITAN - 88 kali

HIDUP - 145 kali
MATI - 145 kali

FAEDAH - 50 kali
KERUGIAN - 50 kali

UMMAH - 50 kali
PENYAMPAI - 50 kali

IBLIS : PENGHULU SYAITAN - 11 kali
MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA IBLIS - 11 kali

BALA/MUSIBAH - 75 kali
BERSYUKUR - 75 kali

BERSEDEKAH - 73 kali
BERPUAS HATI - 73 kali

ORANG YANG SESAT - 17 kali
ORANG YANG MENINGGAL DUNIA - 17 kali

MUSLIMIN - 41 kali
JIHAD - 41 kali

EMAS - 8 kali
KEMURAHAN HIDUP - 8 kali

KEAJAIBAN - 60 kali
FITNAH - 60 kali

ZAKAT - 32 kali
BERKAT - 32 kali

MINDA - 49 kali
NUR - 49 kali

LIDAH - 25 kali
SUMPAH - 25 kali

NAFSU - 8 kali
KETAKUTAN - 8 kali

BERCAKAP DI KHALAYAK RAMAI - 18 kali
BERDAKWAH - 18 kali

KESUSAHAN - 114 kali
KESABARAN - 114 kali

MUHAMMAD - 4 kali
SYARIAT - 4 kali

LELAKI - 24 kali
PEREMPUAN - 24 kali

SOLAT (SEMBAHYANG) - 5 kali
BULAN - 12 kaliHARI - 365 kali
LAUTAN - 32 kali
DARATAN - 13 kali
LAUT dan DARAT = 32 + 13 = 45

Justeru itu, peratusan laut = 32/45 x 100 = 71.11111111 peratus
Peratusan daratan = 13/45 x 100 = 28.88888889 peratus
JUMLAH = 100 peratus

Kajian sains oleh manusia telah membuktikan bahawa air meliputi 71.111 peratus daripada bumi dan tanah meliputi 28.889 peratus.

Begitulah kebesaran dan keagungan ciptaan Allah SWT!!

Nota: Diterjemahkan daripada karya asal yang dipetik daripada "The Series Of The Scientific Miracles In Quraan," oleh Dr. Tariq Al Suwaidan

Sunday, November 23, 2008

SHAHRIZAT


MINGGUAN:
Apa komen Datuk Seri apabila dianggap ingkar dengan keputusan Wanita UMNO apabila menolak pelan peralihan kuasa?
SHAHRIZAT:

Pada 4 Ogos lalu, semasa program Pemimpin Bersama Wanita yang dirasmikan oleh Presiden parti, satu pelan peralihan jawatan untuk wanita telah diumumkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz. Nawaitu pelan itu ialah pertama, untuk menentukan Wanita UMNO stabil supaya pelan peralihan Presiden kepada Timbalan Presiden berjalan dengan lancar pada 2010. Nawaitu kedua ialah untuk menentukan tidak ada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Nawaitu ketiga ialah untuk menentukan perpaduan sedia wujud dalam Wanita UMNO. Saya setuju dengan pelan peralihan atas dasar yang murni itu.
Allah SWT telah memakbulkan kesemua nawaitu peralihan itu. Untuk mencapai matlamat, maka pelan itu perlu dipercepatkan hanya tiga bulan sahaja kepada bulan Mac sempena Perhimpunan Agung UMNO. Keputusan saya untuk bertanding kerana apabila pencalonan dibuat saya insaf bahawa pada akhirnya tiada sesiapa yang mampu atau patut buat keputusan untuk orang lain. Ada wanita yang gembira dengan pelan peralihan tersebut dan ada pula merasakan hak mereka tidak dihormati. Mereka mahu hak mereka dikembalikan kepada peringkat akar umbi dan tidak memaksa mereka untuk terikat kepada persetujuan di antara Rafidah dan saya.


Pernahkah pelan peralihan ini dirunding sebelum ini?
SHAHRIZAT:

Ketika Rafidah berehat di rumah selepas pembedahan lutut, saya mengunjunginya dan beliau ada menyatakan sedang fikir pelan peralihan. Saya segan nak bertanya kalau nak alih kepada siapa dan bila. Kebiasaannya saya dengar sebab dia bos saya. Kita daripada generasi yang lama, kita tidak menyoal. Saya dengar mungkin pada 2010 dan jawatan itu akan diberikan kepada saya tetapi saya tidak bertanya atau membincangkannya.
Selain itu apa yang perlu difahami, semasa saya bersetuju pelan peralihan itu, senario politik berbeza kerana ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan akan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 manakala Perhimpunan Agung UMNO ditetapkan berlangsung pada Disember tahun ini.


Persoalannya, kalau ada bantahan atau rasa tak puas hati kenapa ia tidak dibangkitkan awal-awal lagi, kenapa ia dibuat selepas pencalonan?
SHAHRIZAT:

Mungkin ini sukar untuk orang luar mendalami hubungan saya dengan Rafidah. Ini sebenarnya bukan hanya berlandaskan hubungan emosi. Saya tak kenal ketua lain selain Rafidah dan buat seketika, Datuk Dr. Siti Zaharah. Saya sentiasa meletakkan diri sebagai Naib Ketua kepada Rafidah dan apa juga pendapat, kemahuan Rafidah, saya ikut. Sebab itu selama saya jadi Naib Ketua, keadaan aman damai, sebab kita ada satu ketua.


Datuk Seri memang terima pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Selepas pelan peralihan itu diumumkan dan mesyuarat exco mengesahkannya selepas itu, saya memang terima pelan tersebut sebab atas nawaitu yang murni itu dan senario politik yang Presiden akan mengalihkan jawatan kepada Timbalan Presiden pada 2010. Kalau kita tengok dari segi undang-undang pun persetujuan saya berasaskan tiga fakta (nawaitu) itu, tetapi kalau saya setuju pun, pada akhirnya kalau Wanita bahagian tak setuju, tiada apa yang kita boleh buat, sebab matlamat akhirnya terletak dalam tangan perwakilan. Perwakilan tidak terikat, hanya Rafidah dan saya serta mungkin Exco terikat.
Saya terikat nawaitu itu sebab itu saya beranikan diri untuk mengesyorkan kalau Rafidah boleh buat adjustment, maka kalau bulan Mac, ketiga-tiga nawaitu berkenaan akan jadi kenyataan. Selepas itu apabila ada mesyuarat exco ramai yang tanya kenapa saya tidak stand up. Di sinilah perhubungan antara saya dan Rafidah menjadi satu faktor. Memang susah untuk saya nak berbincang. Saya tidak mungkir janji tetapi berpaksikan tiga nawaitu murni itu dan jika peralihan berlaku pada Mac ketiga-tiga nawaitu itu akan menjadi kenyataan tapi kalau kita tidak buat ubah suai dan peralihan ditetapkan juga pada Jun maka akan ada pertandingan.


Apa reaksi Datuk Seri apabila Tan Sri Rafidah mendakwa Datuk Seri ingkar terhadap persetujuan yang dicapai mengenai pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Apabila dikatakan saya mungkir janji, itu tidak tepat, janji saya berpaksikan nawaitu pelan peralihan.
Kita kena lihat, bahagian saya beri pencalonan kepada Rafidah dan ramai daripada mereka mahu perubahan untuk menerima pelan peralihan. Kalau betul-betul kenal mungkin orang tak tahu siapa dia, tapi kita tahu siapa yang mahu perubahan. Dalam 117 pencalonan itu walaupun ramai yang mahu perubahan tapi pada akhirnya kita akur pada pelan peralihan. Namun bahagian-bahagian Wanita membuat keputusan mereka sendiri, tidak mampu kita untuk menunjuk ajar kepada Wanita di peringkat akar umbi, ada kebangkitan Wanita di peringkat akar umbi yang mahu menyuarakan pendapat dan hak mereka. Memang ada rasa suara hati, jadi kenapa suara mereka hendak diperkecilkan.


Pelan peralihan gagal, maka akan ada pertandingan, adakah suara pencalonan ini tulen atau berdasarkan faktor lain?
SHAHRIZAT:

Sebenarnya apa yang berlaku ramai ikut pelan peralihan. Sebanyak 90 peratus sokong pelan peralihan yang mahu perubahan pun beri sokongan kepada pelan peralihan. Pencalonan itu adalah bayangan, bagi saya itu bukan muktamad. Dari segi suara exco pun tujuh exco tidak pilih pelan peralihan. Memang saya nampak ada belah bahagi, ada yang mahu Jun ada yang mahu Mac.


Bermakna pencalonan tidak mencerminkan keputusan pada Mac nanti?.
SHAHRIZAT:

Pencalonan tidak mencerminkan hasrat yang sebenarnya. Kita tidak boleh ketepikan pencalonan itu, ia hanya bayangan sahaja tetapi tidak muktamad.


Dengan adanya pertandingan dan perpecahan dalam Wanita mungkin tidak dapat dielakkan
SHAHRIZAT:

Saya memang risau, tetapi saya yakin kita orang politik, mana ada parti politik yang tidak ada pertandingan. Bertanding adalah satu hakikat dalam berpolitik. Pada saya yang menjadi masalah ialah apa yang akan berlaku antara sekarang hingga Mac.
Sebab itu semasa kempen, kita mesti berhati-hati. Saya hormat Rafidah, saya akan tetap ikuti program Wanita. Cuma saya minta berhati-hati dalam pertuturan sebab kadang kala kalau tidak berhati-hati kita akan menyinggung perasaan orang lain. Jangan nanti antara Rafidah dan saya tak ada apa-apa tetapi pihak lain pula bermusuhan.


Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Tan Sri sekarang?
SHAHRIZAT:

Saya telah berazam walau apa pun yang terpaksa saya harungi, Rafidah adalah orang yang saya hormat. Beliau pangkat kakak dan ketua saya. Sebab itu jangan kita memfitnah, kita mesti menghormati.
Sebagai peguam, saya mampu terima pendapat yang berbeza. Itu lumrah hidup saya, sebab itu saya ambil masa untuk buat keputusan, saya dengar pendapat, keluhan orang lain dahulu. Kalau kita tak setuju, kita tak setuju secara berhemah tak payah personal, guna kata-kata kesat.


Tidakkah Datuk Seri bimbang wujud puak-puak di dalam Wanita UMNO?
SHAHRIZAT:

Secara realistiknya akan wujud `kem’ buat sementara dari sekarang hingga Mac. Sebab itu saya kata kalau kita jaga bahasa kita, lepas Mac sesiapa juga yang jadi ketua mesti merapatkan balik barisan.


Dengan perpecahan yang dijangka berlaku, apakah ada kemungkinan Datuk Seri dan Rafidah melakukan sesuatu supaya perpecahan itu tidak ketara, berkompromi misalnya?
SHAHRIZAT:

Dalam hidup ini macam-macam boleh berlaku, dalam politik pun begitu. Saya berdoa menjelang Mac ini satu penyelesaian terbaik untuk Wanita dapat kita capai. Sebenarnya Allah telah memberi satu cara penyelesaian pada Mac yang terbaik dengan jawatan Ketua dan Naib Ketua tak perlu dipertandingkan. Saya masih menaruh harapan yang tinggi bahawa penyudahnya adalah satu penyudah yang positif.


Ada tanggapan wujud pakatan antara Datuk Seri dan Kamilia apabila pelan peralihan ditolak selepas pencalonan membolehkan Kamilia menang tanpa bertanding. Ia bertujuan menafikan peluang exco lain untuk bertanding Naib Ketua?.
SHAHRIZAT:

Apa yang berlaku ialah Kamilia memang dah tawar diri awal tapi oleh kerana kita nak push untuk pelan peralihan, saya nampak beliau satu ketika, tak minat, tetapi apabila ada pencalonan untuk Datuk Azalina, nama Datuk Kamilia naik semula dan sebenarnya kalau ada calon wanita lain yang minat dia boleh naik masa itu.


Adakah mungkin mereka yang tidak menawarkan diri bertanding kerana menghormati pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Saya juga hormat pelan itu, tetapi pelajaran kepada saya dalam politik, mungkin 50 peratus atau 60 peratus ahli boleh dengar cakap kita, yang lain tak dengar. Mesej yang hendak mereka hantar perlu kita terima dan jangan menidakkan hak orang lain walau di mana pun mereka berada. Kita tidak boleh anggap bahawa 100 peratus akan setuju dengan keputusan kita. Siapa kita yang hendak paksa 100 peratus ahli ikut cakap dan arahan kita. Naluri manusia jangan kita tekan sangat dengan tidak menghormati pendapat dan perasaan orang lain.


Rafidah didakwa mahu mempertahankan jawatan ketua kerana mahu kembali dalam Kabinet, dakwaan yang sama turut ditujukan kepada Datuk Seri.
SHAHRIZAT:

Itu tidak menjadi matlamat. Saya sudah 28 tahun dalam UMNO, saya dah tengok naik turun seseorang pemimpin. Sebenarnya selain daripada ikhtiar, kerja-kerja perjuangan pada akhirnya Allah menentukan. Kes Datuk Kamilia, ini betul-betul menunjukkan kita hanya boleh merancang, akhirnya Kamilia akan jadi Naib Ketua dengan tidak ditandingi. Pada saya ini bukti walau macam mana kita berpolitik, merancang menaikkan atau menjatuhkan seseorang, kalau tak ada rezeki tak ada siapa boleh mengatasi qadak dan qadar.


Datuk Seri boleh bekerjasama dengan Kamilia?
SHAHRIZAT:

Secara prinsipnya saya lebih selesa bila saya pandang ciri-ciri positif seseorang sebab saya seorang yang optimis. Saya percaya Datuk Kamilia akan jadi Naib Ketua yang baik. Beliau telah banyak menyumbang kepada Wanita, seorang yang pendiam, tapi banyak berkorban masa, idea dan rajin bekerja. Beliau tidak banyak politiking tapi apabila diamanahkan kerja ia dijalankan dengan baik.


Pertandingan kali ini dianggap kalah mati, sebab calon yang tewas akan hilang segala-galanya. Datuk Seri sedia hadapi segala kemungkinan?
SHAHRIZAT:

Itu semestinya, pada saya yang lebih mustahak ialah perjuangan Wanita UMNO, bukan diri saya. Saya nak tengok Wanita UMNO dihormati, masih relevan mempunyai misi yang baru, kalah menang bukan satu masalah bagi saya.


Kalau tewas bagaimana Datuk Seri hendak laksanakan pelan strategik bagi mengukuhkan Wanita?
SHAHRIZAT:

Di mana saya berada saya harap isu wanita dan keluarga dekat di hati saya. Melalui Sekretariat Pembelaan dan Memperkasa Wanita Islam (Senada) saya akan berusaha untuk menentukan ia menjadi suara wanita Islam di negara ini dan saya juga berharap ia mampu menjadi suara penyatuan wanita Islam tidak kira apa juga ideologi politik dan latar belakang mereka.


Apakah mungkin tanpa pelan peralihan, pencalonan yang diterima Rafidah akan lebih banyak?
SHAHRIZAT:

Mereka yang betul-betul ikut perkembangan di peringkat bahagian, akar umbi tahu keadaan sebenarnya, bukan untuk saya buat kenyataan. Kalau betul-betul kita tahu naluri dan cita rasa Wanita kita tahu apa yang sebenarnya berlaku.


Dalam kenyataan sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan Wanita perlu berani bawa perubahan dan pembaharuan, kenapa?
SHAHRIZAT:

Suka atau tidak kita mesti terima hakikat kita menghadapi satu keputusan yang mengejutkan pada pilihan raya baru-baru ini. Saya seorang calon yang tewas, saya banyak belajar apa yang berlaku. Wanita UMNO mesti wujudkan satu visi dan misi serta Pelan Strategik dan Pelan Tindakan sebagai asas perjuangan kita masa kini. Kita perlu perubahan dan pembaharuan di dalam cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab supaya kita terus relevan di dalam konteks politik hari ini dan masa hadapan. Ini adalah realiti Wanita UMNO.
Sebenarnya, Wanita UMNO sarat dengan pengalaman, potensi, dedikasi dan komitmen untuk kembali semula menjadi suara utama bukan hanya untuk wanita Islam tetapi untuk keseluruhan rakyat jelata. Saya minat untuk menentukan isu-isu wanita dan keluarga diperjuangkan dengan cara lebih terancang. Suara kita mesti tegas memperjuangkan supaya lebih ramai wanita diberi tempat di dalam membuat keputusan sama ada dalam parti, kerajaan atau luar kerajaan sejajar dengan polisi sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mesti ada ditempat membuat keputusan yang diperjuangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tempoh hari. Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diberi tempat di arus perdana parti dan bukan hanya terkongkong dalam sayapnya sahaja di cawangan, bahagian, negeri, nasional. Jika kita ada perancangan yang praktikal, baik dan teliti, saya percaya kaum bapa di dalam UMNO akan bersama-sama kita di dalam perjuangan ini kerana mereka juga tidak mahu Wanita UMNO ketinggalan zaman.Kita juga kena eratkan lagi kerjasama dengan Puteri selaku ibu dan kakak supaya jika wujud apa-apa isu yang perlu bimbingan dan penyelesaian di antara kedua sayap ini, biarlah ia dijalankan dalam satu suasana yang positif. Suntikan semangat perjuangan yang baru ini untuk Wanita UMNO mesti bermula di peringkat akar umbi. Kepimpinan Wanita di peringkat cawangan dan bahagian mesti terus diupayakan (empower) dengan hala tuju dan program yang jelas dan nyata. Saya percaya jika kita bersatu kita semua mampu untuk menangani cabaran politik masa kini.


Berdasarkan kepada reaksi yang diterima setakat ini, adakah Datuk Seri yakin mampu mencapai kemenangan dalam pemilihan kali ini?
SHAHRIZAT:

Bagi saya dalam sesuatu pertandingan, semua calon yang bertanding mempunyai peluang yang sama.

RAFIDAH


Di dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal malah dalam politik juga tidak pernah ada istilah perjanjian abadi, apatah lagi bagi tukan suatu kedudukan yang berkaitan rapat dengan soal kekuasaan. Mungkin inilah yang berlaku dalam Pergerakan Wanita UMNO sekarang apabila ia bakal menyaksikan pertembungan dua pemimpin iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd.Jalil yang selama ini bukan sahaja sahabat dan kawan dalam politik malah tinggal berjiran di kawasan perumahan yang sama di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pelan peralihan kuasa yang sejak awal lagi dilihat janggal dan dimeterai pada 4 Ogos lalu akhirnya hanya menjadi catatan mesyuarat. Jika mengikut pelan berkenaan, Rafidah akan menyerahkan kuasa Ketua Wanita kepada Shahrizat pada Jun 2009 tetapi pencalonan bahagian-bahagian yang bermula akhir Oktober lalu mengubah segala-galanya.

Kini mereka akan bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan Ketua Wanita. Dalam pertemuan berasingan dengan Mingguan Malaysia, kedua-dua pemimpin itu memberi pandangan masing-masing berhubung kemelut yang berlaku.

Di Tingkat 37, Menara Dato’ Onn, Rafidah menjelaskan kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD. RAZAK kenapa beliau akhirnya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan manakala di Bukit Damansara pula, Shahrizat menerangkan kepada AZMAN ANUAR dan ROSNI HASSAN kedudukan sebenar kenapa beliau memilih untuk mencabar ketuanya itu.

Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Wanita UMNO.
Hanya sahut cabaran

MinGGUAN:
Sejak awal lagi ada pandangan yang menyatakan hakikatnya pelan peralihan yang dilakukan tidak diterima, apa pandangan Tan Sri?
RAFIDAH:
Pada 4 Ogos lalu, kita mencadangkan satu proses peralihan jawatan memandangkan Perhimpunan Agung UMNO pada masa itu masih ditetapkan pada Disember. Saya kata kalau jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak ditandingi, saya dan Shahrizat akan memegang jawatan sehingga Jun dan pada bulan berkenaan saya akan menyerahkan jawatan itu bagi membolehkan beliau memangku jawatan sehingga penggal berakhir.

Itu telah saya kemukakan kepada ramai pemimpin termasuk di hadapan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Malah ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat exco dan pertemuan empat mata dengan Shahrizat. Sepanjang tempoh itu hingga 9 November tidak ada apa- apa bantahan, bahkan semuanya bersetuju dan menyokong malah Shahrizat sendiri bukan sahaja menyokong tetapi juga mengatakan dia tidak akan bertanding sungguhpun dicalonkan.

Walaupun pencalonan menyaksikan saya mendapat 118 pencalonan untuk memegang jawatan sehingga Jun dan ada juga bahagian yang menyokong beliau untuk bertanding ketua tetapi hakikatnya lebih ramai yang inginkan peralihan berjalan.

Justeru bagi saya tidak timbul soal orang tak terima kerana tidak pernah dengar apa-apa bantahan. Saya hairan kenapa selepas semua yang bertanding cukup pencalonan barulah timbul desakan untuk mempercepatkan peralihan kepada Mac. Kalau Mac maknanya bukanlah peralihan tetapi menyerah bulat-bulat jawatan tanpa bertanding kepada Shahrizat.

Tetapi kenapa Tan Sri begitu hendak mempertahankan tempoh tiga bulan tersebut seolah-olah ada agenda tersembunyi?

RAFIDAH: Saya ada sebab yang sangat besar untuk memberi masa, bukan tiga bulan sebenarnya tetapi enam bulan jika Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada Disember tahun ini. Orang kata apalah tiga bulan. Saya nak kata sikap seperti inilah yang menghancurkan parti. Dalam masa 13 hari pilihan raya kita boleh ditumbangkan di lima negeri dan dalam masa itu juga rakyat menolak kita malah Shahrizat sendiri kalah. Inilah sikap yang mengatakan apalah tiga bulan. Saya hendak beritahu, tiga bulan itulah yang akan menentukan sama ada kita akan kalah atau menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ini kerana hasrat saya ialah jika pelan peralihan dipersetujui, dalam tiga bulan selepas Perhimpunan Agung UMNO saya akan pergi ke akar umbi dan berjumpa Wanita Bahagian dan menyediakan kerangka kerja untuk pilihan raya umum supaya apabila Shahrizat mengambil alih beliau tidak terawang-awang.

Apakah ini bermaksud Tan Sri tidak mempercayai kewibawaan Shahrizat untuk melakukan tugas itu?

RAFIDAH:
Bukan tak percaya, kawasan dia pun dia kalah, habis itu macam mana? Minta maaf cakap, saya cakap tak pandai depan lain, belakang lain. Ini masa krisis, ini bukan masa pilihan raya kita menang landslide victory. Kalau menang besar ambillah, saya pun tidak hairan, tetapi ini masa genting, hari-hari kita diasak di Parlimen oleh pembangkang, hari-hari kerajaan negeri pembangkang buat macam-macam kerja dan kita menghadapi masalah amat besar menyediakan pasukan untuk PRU Ke-13.

Jangan sesekali siapa pun menidakkan tiga bulan atau kata apalah tiga bulan. Inilah sebabnya kita kalah di Lembah Pantai, inilah sebabnya kita kalah di lima negeri, sebab sikap ‘apalah tiga bulan’. Dalam tiga bulan ini saya berazam untuk turun ke bawah, tetapi sekarang ini tidak timbullah tiga bulan, kalau diizinkan Allah dan dengan sokongan Wanita saya akan teruskan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Tidakkah tindakan memberi Shahrizat memangku jawatan sebagai tindakan tidak adil kerana ia akan menyukarkan peranan beliau?

RAFIDAH:
Inilah saya hairan kenapa perkataan memangku ini dimain-mainkan kerana kalau kita tengok sejarah, dulu pada tahun 1976 Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn memangku jawatan Presiden selama setahun sembilan bulan. Berbanding memangku jawatan Presiden dan Perdana Menteri, memangku jawatan Ketua Wanita UMNO tidak ada portfolio, mesyuarat pun dua tiga bulan sekali. Yang buat kerja ialah Wanita di bawah, kita sebagai koordinator di atas, kita ada exco, kita ada biro dan kita ada negeri. Dalam soal memangku ada dalam Perlembagaan mengatakan boleh memangku.

Malah dalam Pemuda UMNO sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah memangku Ketua Pemuda selama dua tahun selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah pun Hishammuddin merungut. Kalau Wanita UMNO remeh temehkan nama jawatan, padahnya menanti dalam pilihan raya akan datang. Kita harus mementingkan kerja, saya bukan menteri tetapi saya bekerja macam menteri juga termasuk berbincang dengan komponen BN. Apalah ada pada nama pemangku ke tidak.

Ada juga berpendapat kalau memangku agak sukar untuk mempengerusikan mesyuarat Wanita BN?

RAFIDAH:
Saya pun hairan juga macam mana agak Tun Hussein Onn menjadi Pengerusi BN waktu dia memangku Presiden UMNO. Sebenarnya tidak ada masalah, Presiden UMNO sama ada memangku atau tidak adalah Pengerusi BN dan Shahrizat sebagai pemangku Ketua Wanita UMNO, tidak ada masalah, beliau akan menjadi Pengerusi Wanita BN. Ini kerana perkataan memangku cuma dari segi nama, hakikatnya beliau adalah ketua. Takkan beliau tidak faham tetapi tak apalah saya kena terangkan dan Naib Ketua BN bukannya Naib Ketua Wanita UMNO, Naib Ketua Wanita BN ialah semua ketua parti komponen.

Apakah mungkin Tan Sri mempertahankan tempoh tiga bulan itu kerana menaruh harapan untuk kembali ke Kabinet?

RAFIDAH:
Orang yang berpandangan macam ini saya minta beristigfar banyak-banyak. Jangan nilai orang lain dengan nilai diri sendiri, kalau mereka yang agaknya nak sangatkan jawatan. Saya tengok Wanita UMNO di peringkat bawah tiada yang riuh rendah mahukan jawatan. Saya terima hakikat bahawa saya orang pencen. Saya gembira sebagai orang pencen bahkan kalau jadi ketua lagi saya ada banyak masa untuk tumpukan kepada UMNO.

Saya kata awal-awal lagi sewaktu saya meninggalkan MITI, saya sangat bersyukur kerana sudah menjadi menteri selama 28 tahun, kalau Tuhan kata setakat itu rezeki, maka saya terimalah pencen bulan-bulan. Saya masih ahli Parlimen dan diberi kekuatan, maka tidak terlintas di kepala saya kembali ke Kabinet. Kalau saya teringin jadi menteri Kabinet buat apa saya buat pelan peralihan? Buat apa saya tawar awal-awal untuk berhenti Jun? Sudah tentulah awal-awal saya kata saya takkan berhenti. Sebab itu saya kata niat itu mustahak tapi kalau kita cakap macam ini tentu orang tak percaya, yang mustahaknya Allah percaya, Allah mengetahui.

Cuba fikir, logik atau tidak pada Ogos saya kata nak serah Jun, pada masa itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum beliau akan pegang jawatan sampai 2010, saya dah tawar Jun 2009, adakah itu nak jawatan Kabinet? Kalau itulah saya pun akan tetapkan 2010 supaya matchinglah. Saya dah nekad hendak serah jawatan pada 2009. Ini kerana saya tahu ada kerja harus dibuat memandangkan keadaan parti berbeza dari dulu, begitu juga keadaan negara yang memerlukan Wanita sebagai tulang belakang UMNO bekerja betul-betul. Bagi saya tugas itu banyak, masa enam bulan itu saya akan isi dengan buat kerja, dan sebahagian dari masa itu untuk BN.

Faham- faham la BN sekarang bukan macam BN dulu, saya kena selesaikan di peringkat Wanita BN kerana buat masa ini saya anggota Dewan Kerja Tertinggi BN. Saya sudah nyatakan dalam mesyuarat exco, sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO, saya, Shahrizat dan kawan-kawan akan turun padang berjumpa dengan semua Wanita negeri untuk menetapkan kerja apa hendak dibuat. Pemulihan UMNO memerlukan pemulihan semangat dan saya rasa kita sama-sama mem bantu memulihkan semangat masing-masing. Itulah sebabnya masa enam bulan dan lepas itu Shahrizat ambil alih. Jika itu tidak diterima dan dicabar maka terpaksalah. Saya tidak mencabar dan saya tidak sepatah pun bercakap, saya hanya menyahut cabaran kerana saya mendapat 118 bahagian beri pencalonan, ia bukan sedikit.

Tetapi sudah ada bahagian yang sebelum mencalonkan Tan Sri telah mengalihkan sokongan mereka?

RAFIDAH:
Tidak tahulah, mungkin mereka tidak ikhlas, saya tak tahu. Kita tidak usah kaji apa yang dah berlaku, kita tunggu 24 Mac di situ perwakilan menentukan siapa pemimpin. Buat apa kita nak debat dan berpolemik. Saya dah dicabar kerana saya ada pencalonan yang banyak, lebih daripada Shahrizat maka saya terpaksa menghargai proses demokrasi, yang dua tiga yang lari itu tidak apalah. Bagi saya kalau proses peralihan tidak dihormati, maka bertandinglah kita.

Ada dakwaan yang menyatakan terdapat bahagian yang menerima surat arahan agar mencalonkan Tan Sri.

RAFIDAH:
Kalau itu dakwaan mereka tunjukkan kepada saya surat arahan tersebut. Itu semua adalah fitnah. Saya hairan dengan dakwaan seumpama ini, oleh itu saya hendak minta melalui media jangan jadikan fitnah sebagai asas untuk berlawan.

Apabila ada pertandingan pasti akan berlaku perpecahan, bagaimana Wanita hendak mengendalikan keadaan ini?

RAFIDAH:
Itu terpulang kepada pemimpin dan ahli- ahli Wanita sendiri. Kalau dalam pemilihan ini mereka berkempen bermati-matian, kata mengata, fitnah memfitnah dan tersinggung hati maka akan berlakulah perpecahan, tetapi kalau kita berkempen dengan hasrat untuk menentukan ketua dan kemudiannya bersatu semula di bawah ketua, maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

Sejarah UMNO membuktikan, pencalonan yang banyak bukan jaminan seseorang calon itu boleh menang dalam pemilihan, apa pandangan Tan Sri?

RAFIDAH:
Tidak apa, saya terima hakikat itu, tetapi yang menandakan boleh bertanding atau tidak ialah pencalonan. Kita tidak boleh nak ramal hati manusia dan jangan lupa kita orang Islam penentuannya adalah Allah SWT. Buat apa kita hendak analisis banyak-banyak. Mengapa tidak kita kata yang menentang pada hari ini berbalik pula ke pangkal jalan menyokong saya. Oleh itu kita tunggu 24 Mac. Jangan pandang sebelah saja, mana kita nak tahu yang menyokong Shahrizat itu akan terus menyokong dia.

Tindakan terlalu beria-ia untuk terus mempertahankan jawatan akan dilihat Tan Sri seorang yang gila kuasa?

RAFIDAH:
Kalau gila kuasa bertanding teruslah dari awal, buat apa nak buat pelan peralihan kuasa. Cuba orang yang buat analisis fikir. Kalau gila kuasa tak tersentuh di kepala saya nak buat pelan peralihan.

Benarkah dakwaan bahawa pelan peralihan yang dilakukan adalah langkah Tan Sri untuk menghalang pemimpin tertentu bertanding?

RAFIDAH:
Saya tidak meragui sesiapapun hendak masuk Wanita tetapi saya tahu kalau ada orang berlawan naib ketua dan ketua serentak, kita sesama sendiri akan bercakaran. Saya cuma syorkan peralihan kuasa, kalau tak bersetuju cakap, boleh kita batalkan tak ada masalah, ini bukan benda yang termaktub, kalau dari awal kata ini tidak elok dan tidak perlu dilakukan, semua boleh bertanding, tidak menjadi masalah. Cuma saya mengingatkan ini situasi luar biasa, kalau UMNO gagah perkasa dan menang di semua tempat, kita tidak cakap tentang peralihan kerana pada masa itu peralihan pucuk pimpinan pun tidak akan berlaku.

Ada kawan-kawan kata kenapa nak buat peralihan, teruskan saja. Saya kata saya insaf, saya ni 65 tahun, Shahrizat pun kata dia dah umur 55, dalam exco pun dia kata, sudah jadi naib ketua selama lapan tahun, bila begitu saya pun terasa juga. Saya dengar juga ada segelintir Wanita kata buat apa nak sokong kak Rafidah, dia bukan menteri lagi.

Baru-baru ini seorang ketua Wanita bahagian menganggap saya Quran buruk, bila dah macam itu saya pun insaflah, demi parti saya akan buat kerja enam bulan dan setelah semuanya disusun dengan elok maka saya akan serahkan jawatan.

Kenapa awal-awal Tan Sri menamakan Shahrizat sebagai pengganti, apakah kerana beliau Naib Ketua atau memang layak menjadi Ketua Wanita?

RAFIDAH:
Sebab dia naib ketua, saya biasanya tak nak melangkah bendul, itu tradisi dalam UMNO, kena ikut tradisi UMNO. Tambahan pula dia pun kata dia dah lapan tahun jadi naib ketua, memang tradisi kita.

Tidakkah tindakan menamakan Shahrizat adalah satu perbuatan menghalang demokrasi kerana ia akan menyekat orang lain untuk bertanding?

RAFIDAH:
Memang betul, tetapi perkara ini dipersetujui kerana keadaan UMNO yang sekarang ini gawat. Semasa tidak gawat dulu saya ditandingi Dr. Siti Zaharah dan kalah, tak ada masalah. Cuba fikir senario yang lebih besar, jangan tengok jawatan ketua, tengok dalam konteks UMNO dan negara. UMNO tergugat hari ini percayalah cakap saya. Saya dah cakap, Shahrizat sendiri fikirlah, Lembah Pantai pun dia kalah, saya cakap dengan ikhlas sebab saya risau, satu kerusi Parlimen kalah, kurang satu majoriti kita di Parlimen. Hasrat kita ialah hendak menang balik, untuk itu kenalah tumpu pada kerja bukan kepada keadaan memangku tak memangku.
Bagaimana pula hubungan Tan Sri dengan Kamilia yang kini sudah pasti akan menjadi Naib Ketua Wanita?
RAFIDAH: Saya dan beliau tidak ada apa-apa masalah. Kamilia adalah Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar, malah beliau turut mencalonkan saya. Oleh itu tidak perlu kita membuat tafsiran sama ada hubungan saya dan beliau akan renggang atau tidak. Semua pemimpin dan ahli Wanita adalah anak buah saya, cuma yang saya tidak tahu ialah perasaan mereka terhadap saya.

Kalau menang, adakah ia bererti Tan Sri akan terus memimpin Wanita?

RAFIDAH:
Sebelum ini, saya sudah membuat tawaran untuk berkhidmat sehingga Jun dan menyerahkan jawatan berkenaan secara elok kepada pengganti saya, tetapi saya dicabar justeru saya perlu bertanding dan kalau menang ia melibatkan tempoh sepenggal.

Keputusan bertanding juga menunjukkan Tan Sri ingin terus berkuasa dalam Wanita?

RAFIDAH:
Ini bukan keinginan saya, ia keinginan orang hendak melawan saya. Sampai saat akhir saya tidak bercakap sepatah pun, saya masih dengan pelan peralihan. Apabila keluar kenyataan kata nak lawan saya. Ini maknanya nak rebut jawatan bukan nak buat kerja, jadi sungguhpun lutut saya baru berganti lutut besi, saya gagah juga, jadi tak terdesaklah dalam enam bulan hendak buat kerja. Bolehlah kita phase out lepas ini insya-Allah kalau menang, kalau tak menang itu kuasa tuhan. Kita bertanding.

Saturday, November 22, 2008

Menilai Lidah Calon Ketua Pemuda Umno

DUA calon Ketua Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir dan Mohammad Khir Toyo masing-masing masang janji mereka tidak akan menerima apa-apa tawaran untuk memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya mereka menang sebagai Ketua Pemuda kelak.

Keduanya mahu jawatan itu untuk mengukuhkan parti bukannya sebagai tikit untuk menjadi menteri Kabinet. Mukhriz mahu menggunakan jawatan itu bagi mengukuhkan parti di samping menyelesaikan berbagai isu yang menimpa Umno dewasa ini. Lantaran itu katanya beliau tidak berminat dengan jawatan menteri.

Kenyataan itu membayangkan Mukhriz mempunyai iltizam tinggi untuk membawa Pemuda Umno ke era kegemilangan seperti sebelum ini. Ataupun anak bekas PM itu menyedari bahawa tahap kekuatan atau wibawa pergerakan itu kini semakin merudum. Manakala Khir Toyo pula mahu menjadikan Pemuda sebagai kumpulan pendesak yang berani dalam mengemukakan hujjah. Mungkin dalam pemerhatian bekas MB Selangor itu pemuda di era Hishamuddin pondan dan mandul; penakut dan tidak peka kepada isu-isu membela Melayu.

Pengkauan mereka berdua berbau ilkhlas dan jujur! Itulah pejuang sebenar dan pemuda bangsa yang sayangkan negara dan partinya. Mereka memberi gambaran mereka meletakkan kepentingan parti melebihi daripada segala-galanya. Syabas dan tahniah!Berlainan pula dengan Khairy Jamaluddin. Sehingga ini ahli Parlimen Rembau itu belum menyatakan pendirian berhubung perkara itu. Cuma dalam satu interviu dengan Siasah beliau ada menyebut soal jawatan bukan sesuatu yang ditagih tetapi terserah kepada Perdana Menteri kelak.

"Saya tidak fikirkan soal jawatan, tetapi terserah kepada Perdana Menteri yang akan menentukan," begitu kata Khiry dalam interviu dengan akhbar Siasah.Di sini Khairy agak berlapik dalam kenyataanya. Beliau tidak menolak terus seperti mana kedua calon itu. Ada sedikit kebijaksanaan beliau dalam hal ini. Khairy tidak menjadikan soal penolakan jawatan sebagai modal kempen dan daya penarik perwakilan.Mengapa begitu, mungkin Khairy tahu sifat politik sebelum seseorang mendapat kuasa apa lagi dalam usaha mendapatkannya mereka hanya berkata yang senang dan disuaki ramai. Tetapi bila lepas menang segala-galanya akan berubah. Mungkin menantu PM itu tidak mahu munafik kepada perwakilan dan dirinya sendiri.

Sudah banyak ahli politik tidak mengotakan katanya dan ada setengahnya rela menjadi saleintia.Apapun kita mengharap pengakuan kedua calon Ketua Pemuda itu betul dan benar. Ia bukan sekadar untuk dijadikan daya tarikan atau modal kempen saja. Jangan pual selepas ini apabila sudah menang mereka akan berarak ke rumah PM atau menggunakan berbagai teknik untuk melobi untuk dilantik menjadi menteri Kabinet.Jangan pula dipaksa PM selepas ini agar melantik mereka dan menuntut jawatan Kabinet itu dengan alasan itu adalah hak Ketua Pemuda Umno. Jangan pula menggunakan soal tradisi dan percedent untuk mendapatkannya.

Kita berharap mereka akan berpegang teguh dengan kata-kata itu. Apakah mereka berjanji kalau mereka diminta juga untuk memegang jawatan dalam Kabinet mereka tetap akan menolaknya?Pun begitu bagi saya, kenyataan dan pengakuan Mukhriz dan Khir Toyo itu tidak lebih daripada gimik saja. Jika dilihat kepada suasana yang berlaku dalam Umno, kenyataan itu tidak lebih daripada untuk memperesonakan perwkilan Umno saja. Umum tahu bahawa setiap kaki orang politik yang melangkah dalam kancah politik cita-cita mereka ialah untuk memiliki jawatan tertinggi. Apakah setelah berhabis ratusan ribu mereka akan lupakan begitu saja peluangnya?

Jadi adalah anih dan ajaib kalau sesudah menang menjadi Ketua Pemuda kelak, kalau mereka enggan mengambil kesempatan itu. Selalunya Pemuda Umno diberikan kuota untuk menduduki Kabinet. Beberapa Ketua pemuda sebelum ini termasuk Hishamuddin Hussein mendapat tuah dan layanan istimewa kerana beliau memegang jawatan itu, kecualilah Ahamd Zahid Hamidi yang terlepas kerana beliau tidak sehaluan dengan Perdana Menteri ketika itu. Kalau Zahid besedia untuk menjadi pak pandi kepada Mahathir beliau juga akan dilantik menjadi menteri.

Hishamuddin Hussein kalau beliau bukan Ketua Pemuda, mungkin beliau tidak akan merasai bagaimana sedap dan bahagiannya duduk dalam Kabient. Kerana jika dilihat kepada kebolehan dan kemampuannya untuk beliau jadi mandol di kebun teh di Johor pun belum tahu layak lagi.Justeru itu pengakuan Mukhriz dan Khir Toyo itu sebagai gimik saja. Mungkin kalau Khir Toyo menang ketua pemuda beliau tidak mahu memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana beliau tidak menjadi ahli Parlimen.

Khir terpaksa kena tunggu sehingga beliau dilantik senator ataupun menjadi ahli Parlimen dulu. Ini berlainan dengan Mukhriz yang kini sudah menjadi ahli Parlimen. Saya berani jamin kalau Mukhriz menang tidak sampai lima hari dia akan masuk ke dalam Kabinet!Apakah kerana kedudukan itu maka Khir membuat kenyataan demikian? Apabila Khir sudah menyuarakan demikian maka beliau kena berpegang kepada kata-kata. Jika beliau langgar kata-kata itu pasti kalau beliau menang tidak sampai sepenggal beliau akan kena sapu.

Jadi di sini Khairy nampak ada sedikit keikhlasan dan tidak berhipokrit. Beliau tidak mengeluarkan kata-kata yang sukar untuk dipraktikan bila sampai masanya anti. Khiry lebih gentleman. Apakah berdasarkan sikap awal ini ia akan memberi peluang kepada ahli dan perwakilan Pemuda untuk menilai siapa yang ikhlas, hipokrit ataupun awal-awal lagi cuba menipu mereka!


--Petikan Blog Mohd Sayuti bin Omar