Terdetik di hatiku pagi ini untuk meneropong dari jauh apa yang bakal terjadi kepada Persidangan Perwakilan Pemuda Bahagian Rantau Panjang pada pagi nanti. Kehebatan dan kehangatannya sudah diduga kerana inilah satu-satunya Bahagian Pemuda UMNO yang awal-awal lagi telah mencatatkan rekod bantahan peringkat cawangan sebanyak 190 bantahan. Tertinggi di Malaysia dan mungkin juga di dunia.
Aku lantas menghidupkan motosikalku yang lama ku sandarkan di tepi rumah. Sebaik tiba di perkarangan Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, deruman motosikal ku telah menarik perhatian para ketua pemuda cawangan, perwakilan pemuda cawangan dan pemerhati-pemerhati yang begitu berminat untuk mengetahui episod persidangan pada hari ini.
Sebaik bermulanya persidangan didahului dengan doa mohon kesejahteraan dan keamanan kepada Allah SWT. Ucapan perasmian ketua pemudanya bagaikan ceramah agama di radio Kelantan penuh dengan nasihat, pesanan dan pelbagai ulasan tentang kedudukan UMNO pada hari ini.
Ucapan perasmian oleh Pemangku Ketua Bahagian ringkas tetapi penuh bersahaja. Antara yang diperkatakannya ialah beliau mengajak semua ahli-ahli pemuda untuk bermain bola dengannya selepas ini kerana sepanjang beliau bersalaman tadi didapati tangan-tangan para perwakilan panas-panas belaka.
Sebaik sahaja Pengerusi Tetap mengumumkan bilangan perwakilan yang hadir, terdengar sayup-sayup suara daripada salah seorang perwakilan memohon supaya persidangan pada hari ini mohon ditangguhkan dahulu ke suatu tarikh lain kerana isu bantahan dan penyelewengan di peringkat pemuda cawangan masih belum selesai. Sebagaimana biasa, bantahan sebegini tidak dilayani dengan sebaiknya oleh Pengerusi Persidangan yang bertugas semata-mata untuk memenuhi kehendak mereka yang rakus dengan kuasa dalam politik.
Halangan dan tindakan mengenepikan pandangan dan permohonan daripada ahli perwakilan jelas tidak membawa natijah yang baik terhadap parti. Lebih-lebih lagi apabila seorang Exco Pergerakan Pemuda Bahagian juga turut melahirkan kekesalan terhadap apa yang berlaku dan menganggapkan apa yang terjadi sebagai " sangat memalukan UMNO".
Bantahan menjadi sebuah episod yang lebih sukar apabila seorang ketua pemuda cawangan dari Cawangan Tepi Sungai tampil sambil bersumpah bahawa dia merupakan ketua pemuda cawangan berkenaan mengakui bahawa 2 orang perwakilan pemuda yang sah semasa persidangan peringkat cawangan diketepikan daripada senarai perwakilan ke Persidangan Perwakilan Pemuda Bahagian. Kedua-dua mangsa ketamakan dan kedurjanaan dalam memenuhi cita-cita politik pemimpin pemuda yang rakus telah masuk ke dalam dewan dengan disaksikan oleh hampir 461 orang perwakilan dan wakil perhubungan.
Tidakkah ini merupakan suatu penganiayaan? Tidakkah ini merupakan suatu penafian hak? Tidakkah ini merupakan suatu gejala kotor yang cuba di bawa masuk ke dalam perjuangan Pemuda UMNO. Mengapa harus terjadi 2 orang yang tidak tahu apa-apa berkaitan persidangan di peringkat cawangan gah membawa tauliah berwarna biru memasuki dewan persidangan?Siapakah sebenarnya yang nak ditipu?
Namun batas-batas kesusilaan dan kemelayuan masih terus utuh dalam diri mereka yang agak tersinggung dengan tindakan yang dikelaskan sebagai tidak bertamaddun ini. Suatu penghormatan yang tidak ternilai harganya harus diberikan kepada pihak polis dan FRU yang bergegas masuk ke dewan apabila ada suara-suara yang meminta supaya di bawa keluar perwakilan yang disyaki menimbulkan kekecohan. Polis tidak sebodoh mereka yang telah dicucuk hidungnya untuk melakukan tindakan yang bersifat berat sebelah. Mereka sekadar menuntut hak sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam parti.
Alhamdulillah nampaknya keadaan tidak sebagaimana yang digambarkan. Bantahan adalah bersifat realiti dan tidak membawa kepada unsur-unsur pergaduhan ataupun perbalahan yang melampaui batas. Ada perwakilan yang bercakap pasal masa kerana hari ini merupakan hari Jumaat ( Penghulu Segala Hari ).
Pengundian, pencalonan 10 perwakilan pemuda ke Persidangan Bahagian dan pencalonan Pemuda Malaysia berjalan lancar walaupun ada suara-suara tidak puas hati. Segalanya boleh diterima secara rasional.
Wah.....betapa hebatnya persidangan Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang pada kali ini. Kalau inilah semangat yang ada dalam diri mereka, pastinya UMNO akan jadi kuat. Tetapi hakikat sebenarnya tidak begitu kerana dalam semangat yang tinggi ini ada dendam yang pastinya terbawa-bawa hingga ke PRU yang akan datang.
Masyaallah................................sudah pukul 1.40 tengahari. Bagaimana dengan sembahyang Jumaat ku pada hari ini? Tidak sepatutnya sebuah parti yang berjuang demi agama, bangsa dan negara mengenepikan suatu perintah besar daripada Allah SWT. Sewajarnya ada perlu ada waktu untuk para perwakilan dan wakil perhubungan yang berjumlah mencecah 500 orang menghadiri Sembahyang Jumaat.
Malulah aku kerana walaupun pernah bertanding sebagai calon bebas, aku masih merasakan UMNO itu sebahagian dari hidup ku. Tetapi lebih memalukan lagi apabila Ketua Pemuda Bahagian yang telah menang tanpa ditandingi oleh mana-mana calon bertaraf ulamak, ilmuan Islam, pemidato dan sorang ustaz gagal menghentikan mesyuarat bahagian tatkala khatib sedang menghabiskan khutbah keduanya di atas mimbar.
Ya Allah....... aku bertaubat kepada MU.
Friday, October 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment