Monday, October 20, 2008

Perhimpunan UMNO kekal Mac

Oleh saiful haizan hasam dan amirah amaly syafaat

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Perhimpunan Agung UMNO pada Mac depan tidak akan dipercepatkan walaupun beberapa pihak menyifatkan tempoh kempen untuk pemilihan parti itu terlalu panjang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Presiden UMNO itu berkata, ketika ini tiada sebarang cadangan dibuat untuk mempercepatkannya.

"Tidak ada sebarang cadangan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia kali kelima di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, tempoh kempen sehingga Mac tahun depan terlalu panjang dan menjejaskan produktiviti calon terutama yang memegang portfolio dalam kerajaan.

Kenyataan Muhyiddin itu mengundang rasa kecewa Abdullah kelmarin yang menyifatkan beliau sebagai sudah tidak sabar untuk memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Mengenai kenyataan Muhyiddin Sabtu lalu yang mahu membuat penjelasan mengenai perkara itu kepadanya, Abdullah berkata, sehingga hari ini masih belum ada apa-apa yang berlaku.
"Itu kata beliau tetapi sampai hari ini belum ada apa-apa lagi," katanya.

Ditanya sama ada retreat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini akan membincangkan isu mengenai Muhyiddin, Abdullah berkata: "Tunggulah... tunggulah, selepas itu seperti biasa kita akan jumpa media dan kita akan beritahu."

0 comments: