Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk diri atau puaknya, maka dengan lantang dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada diri dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk, ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.
Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran dilacurkan untuk mendapatkan keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan meminta saya menggunakan nama dan pengaruh dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mendapat faedah kewangan. Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi belum bersedia melelong agama. Nas-nas Allah dan rasul-Nya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia.
Keadaan seperti ini juga menjadikan ramai yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan sangat berbeza. Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka bertukar-tukar cakap dan prinsip. Kesemuanya akan dijawab: “Ini keputusan parti”. Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasul-Nya bukanlah kerja mudah. Allah menguji insan membuktikan keikhlasan dirinya dalam membela ajaran Tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya. Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia fana ini.
Entah berapa ramai para nabi dan pejuang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran. Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semestinya setiap pejuang itu berpeluang menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga juga demikian. Betapa ramai pembela dan pejuang kebenaran diseksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.
Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi namun masanya tidak diketahui. Para sahabah yang syahid di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak.
Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi SAW dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Rasulullah pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.
Tuesday, October 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment