Tuesday, October 21, 2008

Politik fitnah lemahkan negara

Sifat tipikal Melayu feudal jelas tercatat dalam Hikayat Sejarah Melayu akan watak Si Kitol, Pateh Karma Wijaya, Tun Ali dan ramai lagi yang gemar membuat fitnah. Fitnah lahirnya daripada perasaan cemburu di atas kebolehan dan kesenangan yang dinikmati orang lain. Fitnah adalah manifestasi perasaan rendah diri individu kerana gagal untuk menyaingi orang lain secara gentlemen. Fitnah akhirnya dilancarkan untuk membunuh karekter peribadi, memalukan maruah dan menjatuhkan air muka orang lain.

Dalam konteks sejarah Islam, unsur fitnah yang dipelopori oleh pemuka Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam Abdullah Ibni Sabak telah menghuruharakan penggal kedua pemerintahan Saidina Uthman Ibni Affan, salah seorang sahabat Rasullululah SAW yang dijamin syurga.

Justeru, saya khuatir tentang tiga perkara. Apakah tanpa fitnah, seseorang itu tidak boleh percaya? Kenapa tidak dijayakan segala kehendak dengan usaha murni dan bersungguh-sungguh? Kenapa sebagai orang yang beragama tidak mahu percayakan takdir dan ketentuan Allah SWT? Apakah fitnah yang kini disebarkan seiring dengan teknologi komunikasi bakal menjadi satu ciri penting untuk menaik dan menjatuhkan kepimpinan seseorang?

Lantaran itu, belum pun Datuk Seri Najib Tun Razak disahkan ke jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri sudah berjalan pembunuhan karakter ke atas beliau. Isunya siapa yang memulakan fitnah ini? Tentulah golongan yang berniat mahu menyerang karakter, peribadi dan usaha kecemerlangan pentadbiran yang telah dibuktikan kesungguhan oleh Najib.

Juga kalangan yang tidak senang dengan kemampuan, bakat dan kejayaan kepimpinannya yang diwarisi daripada ayahandanya, Tun Abdul Razak. Isunya juga dari mana golongan ini beroleh sumber maklumat dan apakah maklumat yang didapati itu hanyalah dari tepi jalan, maklumat 'cakap dengar' yang belum disahkan kebenarannya? Adakah golongan yang membuat fitnah dan memburuk-burukkan Najib ini diupah dan berapa harga bayaran mereka untuk membuat kerja sedemikian rupa?

Jika keadaan ini berlanjutan, maka banyak urusan negara akan tergendala. Sepanjang masa, rakyat dan masyarakat akan diajak untuk mendengar berita palsu dan kurang menyenangkan ini. Setiap ketika juga kita akan kehilangan seorang demi seorang tokoh pimpinan yang berkaliber kerana pada pandangan pembuat fitnah ini semuanya tidak layak. Lama-kelamaan negara menjadi kelam kabut, situasi negara kucar-kacir, permusuhan dan keresahan bakal timbul lantas ketidaktentuan akan menggugat tamadun negara.

Apabila politik fitnah dibiar menjadi budaya, makanan dan amalan setiap pihak, kita tidak mampu memacu bangsa dan negara ini ke mercu jaya. Sebaliknya kontroversi, konflik dan peralihan kerajaan dan kepimpinan secara revolusi boleh berlaku. Hal ini tentulah tidak baik untuk kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.

Semoga golongan broker yang menjadi dalang di sebalik penyebaran fitnah ini sama ada melalui khidmat pesanan ringkas, blog, laman web akan insaf dan sedar bahawa 'dosa menfitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh.' Semoga politik dan budayanya di negara ini bakal disemai dengan unsur muafakat, berbaik sangka dan berhati mulia.

SOBRI SUDIN
Sentul, Kuala Lumpur

0 comments: