Monday, October 20, 2008

Teliti Dengan Serius Semua Aduan, Rayuan Bahagian – Hishammuddin

Oleh Kazman Kamal
Kuala Lumpur -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Huseein mengarahkan semua Badan-badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri untuk meneliti dengan serius dan menyelesaikan bantahan-bantahan dan rayuan yang diterima daripada semua bahagian.

Tegasnya segala masalah termasuk bantahan dan rayuan yang diterima daripada pelbagai peringkat Pemuda UMNO mengenai mesyuarat dan persidangan berkenaan, akan dinilai dan diteliti sebaik mungkin oleh pihak urusetia.

Walau bagaimanapun beliau bersyukur kerana kebanyakan Persidangan Pemuda UMNO Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian yang telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing berjalan dengan lancar dan semangat kekeluargaan.

”Saya telah mengarahkan semua Badan-badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri untuk meneliti dengan serius dan menyelesaikan bantahan-bantahan dan rayuan yang diterima itu.
”Semua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri akan menyelesaikannya pada peringkat negeri masing-masing dan begitu proaktif mengambil tindakan sewajarnya ke atas aduan-aduan yang diterima setakat hari ini”, katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, demi kepentingan semua ahli dan parti, penelitian dan penyelesaiannya hendaklah dilaksanakan dengan seadilnya, tanpa khuatir atau pilih kasih, tidak berbelah bahagi dan dengan berkesan demi kebaikan UMNO.

”Saya sendiri sedang memantau terus setiap Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri kerana saya mahu semua masalah selesai secepat mungkin.

”Apa yang penting Perhimpunan Agung UMNO, Mac nanti, kita akan dapat bersidang dengan semangat kekeluargaan yang tinggi dan menumpukan perhatian kita kepada agenda utama yang diamanahkan kepada kita, khususnya pemilihan barisan kepimpinan baru Pemuda”, ujarnya.
Sehingga hari ini, sebanyak 73 Pemuda bahagian telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing dan lebih 50 bantahan serta aduan telah diterima Pemuda pusat.

0 comments: