Wednesday, October 22, 2008

Masalah tiga bahagian

Umno Kelantan ambil alih, kendali perjalanan mesyuarat

KOTA BHARU: Badan Perhubungan Umno Kelantan akan mengambil alih pengendalian persidangan tiga bahagian iaitu Rantau Panjang, Tanah Merah dan Pengkalan Chepa berikutan masalah berbangkit dan bantahan yang dihadapi bahagian masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tan Sri Annuar Musa, berkata semua ahli Umno dalam bahagian terbabit diminta bertenang dan memberi kerjasama kepada Umno negeri menyelesaikan masalah itu selaras dengan arahan Ibu Pejabat Umno."Bagi bahagian lain yang tidak berdepan masalah, surat pengesahan sudah dikeluarkan untuk mereka menjalankan persidangan masing-masing pada tarikh yang sudah ditetapkan," katanya.

Annuar berkata, setakat ini Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau yang dibentuk Umno negeri menerima hampir 800 bantahan daripada ahli Umno berhubung perjalanan mesyuarat masing-masing. Umno Bahagian Rantau Panjang mencatat aduan bantahan tertinggi iaitu 345 aduan, Kubang Kerian (169), Pengkalan Chepa (66), Kota Bharu (65) dan Pasir Puteh (61). "Semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini, kita akan menilai sebaik mungkin bantahan yang dikemukakan ahli Umno setiap peringkat," katanya.

Sementara itu di PASIR PUTEH, Ketua Umno bahagian, Datuk Kamaruddin Md Noor akan berdepan saingan tiga penjuru bagi mempertahankan jawatannya pada persidangan bahagian itu pada 8 November ini. Beliau yang memperoleh 95 pencalonan bagi mempertahankan jawatan yang disandang sejak 1990 itu, berdepan saingan Ketua Pemuda Umno bahagian, Zawawi Othman yang menerima 72 pencalonan, manakala Naib Ketua bahagian, Hashim Ismail, mendapat 42 pencalonan bagi bertanding jawatan itu.

Di PASIR MAS, kira-kira 40 pemimpin akar umbi yang mewakili 23 cawangan Pergerakan Wanita Umno bahagian Pasir Mas kelmarin menyerahkan memorandum bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan berikutan pembatalan mesyuarat yang dijalankan cawangan masing-masing.

0 comments: