Friday, October 17, 2008

Mesyuarat Pemuda UMNO Rantau Panjang - Bantahan Menepati Proses Demokrasi Dalam Parti



RANTAU PANJANG 17 Okt. - Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Rantau Panjang di sini kecoh sehingga Unit Tindakan Ringan (LSF) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas terpaksa dipanggil untuk menenangkan keadaan daripada menjadi lebih serius.

Bagaimanapun mesyuarat tetap diteruskan oleh Pengerusi Tetap Pemuda bahagian itu, Che Nordin Ibrahim walaupun diprotes hampir kesemua perwakilan yang terus mendesak supaya mesyuarat ditangguhkan bagi membolehkan segala bantahan dan pertikaian status perwakilan diselesaikan terlebih dahulu.

Pertikaian bermula kira-kira pukul 10 pagi apabila Che Nordin yang memulakan mesyuarat di Dewan Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di sini mengumumkan kehadiran perwakilan seramai 461 daripada 144 cawangan. Dalam masa yang sama masih terdapat hampir 17 orang perwakilan sah dari cawangan seperti Kubang Kual dan Gual Bunutyang mana tauliah milik mereka telah ditukar nama kepada beberapa individu lain.

Pengumuman itu mendapat bantahan seorang perwakilan, Suhaimi Che Hussin dari Cawangan Taman Seri yang juga calon Naib Ketua Pemuda, yang bangun mempertikaikan jumlah itu dengan mendakwa ia adalah tidak sah dan wujudnya kehadiran ahli hantu yang terhasil daripada mesyuarat-mesyuarat bungkus yang telah tidak dijalankan secara sempurna. Perkara ini adalah ekoran daripada jadual mesyuarat pemuda yang hanya diedarkan seminggu selepas aktiviti mesyuarat dimulakan. Ini pun kerana mengambilkira ketetapan yang telah dibuat dalam mesyuarat AJK UMNO Bahagian Rantau Panjang. Sebanyak 96 cawangan telah terlibat dalam proses yang penuh kontroversi ini.

"Jumlah ini tidak sah dan wujudnya ahli hantu dan sepatutnya ditangguh kerana terdapat beberapa bantahan yang dikemukakan oleh cawangan masih belum diselesaikan. Jawatankuasa Pemilih dan Pemantauan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan juga dianggap tidak telus dan adil dalam menangani isu bantahan ini. Ramai pengadu tidak dipanggil untuk mengemukakan bukti dan keputusan yang dibuat secara senyap dan arahan mesyuarat semula dijalankan secara tidak demokratik ," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Brother Mohd. Afandi Yusoff kemudiannya menjelaskan bahawa segala bantahan itu telah diselesaikan oleh jawatankuasa tersebut dan pihak berkenaan telah menghantar surat rasmi mengenainya hari ini bagi membolehkan mesyuarat diteruskan mengikut jadual. Cuma ada juga beberapa cawangan yang terpaksa ditukarkan perwakilannya di saat-saat akhir. Ini memang permainan politik bagi memastikan kemenangan mudah bagi pihaknya sebagaimana yang telah terjadi di cawangan Tepi Sungai Rantau Panjang. 2 orang perwakilan hantu cawangan berkenaan iaitu Mohd Hamizy Hamid dan Ab. Aziz Hamat dengan mengenepikan perwakilannya yang sah iaitu Mahadi bin Mohd Nor dan Zul Abdullah.
Melihatkan suasana yang agak memalukan ini, Exco Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang Saudara Mohamad Che'I yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO bahagian turut melahirkan kekecewaannya terhadap perkara yang tidak sepatutnya berlaku itu. Beliau dukacita kerana hak-hak ahli di peringkat cawangan diketepikan dan amalan demokrasi dalam parti telah dinafikan. " Saya mohon mencadangkan agar persidangan kita pada hari ni ditangguhkan dahulu ke satu tarikh lain sehinggalah semua perkara bantahan dan pertikaian ini diselesaikan terlebih dahulu " katanya dengan nada penuh kekesalan.
Penangghan bukan perkara pelik kerana MT sendiri pun bersetuju menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO dari bulan Dis 2008 ke bulan Mac 2009. Ini tindakan yang rasional bagi memastikan permasalahan dalam UMNO dapat diselesaikan.

Bagaimanapun penjelasan itu tidak diterima dan perwakilan terus memprotes sehingga Pasukan FRU terpaksa dipanggil masuk oleh Pengerusi Tetap untuk menenangkan keadaan sekali gus membolehkan mesyuarat dijalankan secara lancar dan mencapai maksud yang dicita-citakan.

Sementara itu, Brother Mohd. Afandi ketika ditemui mendakwa usaha untuk mencetuskan suasana huru-hara itu memang diketahui oleh pihaknya sejak sebulan lalu. Ini susulan kerana mesyuarat-mesyuarat bungkus yang telah dibuat sehinggakan terdapat Ketua-ketua Cawangan yang langsung tidak tahu siapa Ketua Pemuda Cawangannya. Apatah lagi 2 orang perwakilan pemuda cawangan mereka. Inilah kehebatan yang telah dicipta oleh tokoh politik muda ini sewaktu mengendalikan mesyuarat pemuda cawangan sebelum ini.

Beliau yakin pihak berkenaan akan turut berbuat demikian pada mesyuarat Wanita, Puteri dan bahagian yang akan diadakan pada masa terdekat. Ini memberikan peluang kepada pihaknya memalukan barisan yang bakal bertanding dengan pihaknya. Kalau pun tak berlaku beliau mesti mengatakan pasti berlaku supaya moral barisan lawannya merudum.

Beliau menang tanpa bertanding jawatan itu setelah pencabarnya, Saudara IR Fauzi Omar digantung keahlian selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin parti baru-baru ini. Penggantungan ini adalah berkaitan laporan yang telah beliau buat memandangkan jika berlaku perlawanan, beliau bakal menghadapi masalah yang besar.

Saudara IR Fauzi Omar merupakan Timbalan Pengarah DUN Meranti bagi PRU 12 yang lalu. Selain itu beliau juga merupakan Pengerusi Pengundi-Pengundi Luar Anak Kelantan di Kuala Lumpur. Pengorbanannya membawa pulang beratus-ratus pengundi muda yang bekerja di sekitar Lembah Kelang akhirnya dibalas dengan pukulan "KO" sebelum masuk ke gelanggang. Namun bagi Saudara IR Fauzi Omar yang turut menjadikan pejabatnya sebagai tempat operasi untuk menguruskan proses membawa pulang pengundi-pengundi dalam PRU 12 yang lalu, inilah hadiah kepada gurkha dalam UMNO.

Brother Mohd. Afandi mendakwa suasana agak panas itu berpunca daripada sikap segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penggantungan empat pemimpin bahagian itu termasuk Saudara IR Fauzi Omar.

Mereka yang digantung selama tiga tahun setelah disabitkan kesalahan melakukan sabotaj terhadap parti ialah Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd. Zain Ismail, Bendahari UMNO Bahagian, Tuan Haji Ghazali bin Ismail; Pengerusi Biro Kebudayaan dan Sukan Rakyat UMNO Bahagian, IR Fauzi bin Omar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Pauziah Che Wook.

"Saya percaya segelintir perwakilan mendakwa penggantungan empat pemimpin itu adalah kerana berpunca daripada pihak kami yang bertindak sebagai dalang, saya nafikan perkara ini," tegasnya. Pun begitu jelas diketahui ramai bahawa perkara ini ibarat menutup bangkai gajah dengan sehelai saputangan. Episod ini bakal mendatangkan kemusnahan besar jika tidak ditangani dengan sebaiknya oleh kepimpinan UMNO diperingkat pusat.

0 comments: