Thursday, October 23, 2008

Pemilihan kekal Mac

Daripada MARHAINI KAMARUDDIN

BEIJING 23 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan pemilihan UMNO kekal pada Mac tahun depan, seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan tarikh pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu akan diawalkan mengikut jadual asal pada Disember ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Perwakilan Khazanah Nasional Berhad di sini hari ini, iaitu pejabat antarabangsa pertama syarikat milik kerajaan (GLC) itu di luar negara.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO melahirkan kebimbangan mengenai kesan tempoh kempen yang panjang memandangkan Perhimpunan Agung UMNO diadakan Mac depan.
Abdullah tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini selepas mencapai persetujuan dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa pada Mac tahun depan.

Najib setakat ini menyapu bersih pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO daripada 66 bahagian yang telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. Pemilihan Mac ini juga akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, naib presiden, anggota MT, ketua dan naib ketua bagi ketiga-tiga pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.
Sementara itu, ditanya oleh pemberita Bloomberg mengenai pengakuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau ‘kehabisan pilihan’ mengenai tarikh untuk menubuhkan kerajaan baru, Abdullah berkata, perkara tersebut sudah dijangkakan akan berlaku.

“Sebab apa pun yang Anwar katakan tak pernah menjadi. Saya tak fikir apa jua andaian tentang penukaran kerajaan akan berlaku lagi. “Segala janjinya sebelum ini untuk membentuk kerajaan baru tidak pun menjadi kenyataan malah parti pemerintah semakin kuat terutama dengan kemunculan pemimpin-pemimpin baru dan pembaharuan yang kita laksanakan," tegasnya.
Dalam hal ini, Abdullah berkata, beliau tidak "fikir akan berlaku sebarang perubahan kepada kerajaan yang memerintah kerana kerajaan BN akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang".

Diminta mengulas dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pembangkang mahu Abdullah terus menjadi Perdana Menteri bagi membuka ruang kepada mereka untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, katanya, beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

0 comments: