Thursday, October 23, 2008

Lapan ahli UMNO langgar disiplin

KUALA LUMPUR 23 Okt. - UMNO semakin tegas membendung politik wang apabila dua lagi ketua bahagian iaitu dari Seremban, Datuk Ishak Ismail dan Ketua Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman diberikan amaran setelah disabit kesalahan melanggar disiplin parti.
Selain mereka, empat lagi ahli UMNO turut dikenakan tindakan sama dan dua yang lain pula berhadapan dengan kemungkinan dipecat daripada parti.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, Ishak dikenakan tindakan mengikut Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO yang dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli UMNO kerana melakukan sabotaj terhadap parti semasa pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, Suhaili pula disabitkan kesalahan mengikut Perkara 5 Tataetika Ahli UMNO iaitu terbabit melakukan rasuah politik.

"Beliau (Suhaili) juga melanggar etika kerana sebagai Ketua Bahagian merasmikan mesyuarat cawangan," katanya pada sidang akhbar di pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tindakan terbaru Lembaga Disiplin ini diambil tidak sampai dua minggu selepas sembilan ahli UMNO termasuk yang berjawatan Ketua Bahagian dikenakan tindakan gantung keahlian selama tiga tahun kerana didapati terbabit dalam beberapa kesalahan parti.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, turut diberikan amaran adalah ahli dari Bahagian Raub iaitu Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid dan Datuk Abdullah Abu Bakar.

Beliau berkata, Mustaffar yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub sebelum ini bertanding untuk jawatan Ketua UMNO bahagian itu manakala Abdullah pula bertanding jawatan Naib. Kedua-dua mereka bagaimanapun tewas.

0 comments: