Petang kelmarin tatkala aku bersembang sambil minum kopi, aku mendapat satu maklumat baru berkenaan perwakilan hantu. Dulu masa PRU 12 ada juga kedengaran cakap-cakap pasal pengundi hantu. Kalau pun ada aku yakin bilangan pengundi hantu pada masa itu hanya dalam lingkungan 330 orang sahaja. Inilah jumlah undi yang aku perolehi sebagai calon bebas di P23 Rantau Panjang.
Yang peliknya apabila istilah perwakilan hantu ini disebut-sebut, maka timbullah cerita yang sangat kelakar dan melucukan. Seorang pemuda yang tinggal disebuah kampung di belakang Pejabat Haiwan Rantau Panjang ada menceritakan bahawa dia terkejut beruk kerana namanya ada dalam senarai ahli pemuda sebuah cawangan UMNO yang mana ketua cawangannya telah meninggal dunia baru-baru ini. Al-Fatihah untuknya.
Menjelang 17 Oktober 2008, dia didatangi oleh manusia yang mungkin juga daripada spesis hantu mengajaknya menghadiri Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang dengan diberikan sehelai watikah dan sekeping kertas kecil berkaitan nombor-nombor calon yang bakal diundinya. Selebihnya tentu ada lagi adegan-adegan yang lain yang tidak payahlah untuk kita dedahkan.
Maka berangkatlah saudara kita ini menghadiri persidangan pemuda dengan penuh kebingungan dan kekeliruan. Seumurnya hidupnya dia bukannya pernah menghadiri persidangan yang sebegini hebat dengan kawalan keselamatan yang ketat, ada jaga, petugas keselamatan, polis dan FRU. Mesyuarat peringkat cawangan pun tak pernah dihadirinya.
Namun hatinya tersedu, tatkala sebelum persidangan dimulakan ada pertikaian tentang perwakilan yang tidak sah berada di dalam dewan. Dengan penuh ketakutan dia mendiamkan dirinya tanpa berkata apa-apa. Dia sedar yang dia kini bukan lagi manusia tetapi HANTU kerana kehadirannya ke sini adalah tanpa melalui proses yang betul sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti UMNO.
Saturday, October 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment