Saturday, October 25, 2008

Ahmad Zahid Sokong Sistem Kuota Umno Dihapuskan

By: Ramjit-->

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyokong saranan supaya sistem kuota Umno dihapuskan.Beliau berkata selepas pemilihan Umno Mac depan, sistem kuota perlu dikaji semula untuk memberikan ruang kepada Umno memperlihatkan ketelusan dan demokrasinya parti itu.

"Saya juga yakin ia akan menjadi antara agenda yang bakal dipertimbangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengambil alih pucuk pimpinan nanti," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.Mengulas sama ada penghapusan sistem kuota dapat membanteras politik wang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata menghapuskan sistem kuota belum tentu menjamin amalan politik wang dapat dibanteras.

"Undang-undang boleh diterap...peraturan boleh dicatat...kalau diletak sebesar mana pun undang-undang tetapi jika kita sendiri tidak mahu berubah masalah tidak selesai juga," katanya.Ahmad Zahid berkata yang penting ialah kerohanian, keperibadian dan kepimpinan pemimpin itu sendiri, katanya sambil menyangkal dakwaan kononnya gejala politik wang dalam Umno begitu teruk.

"Sebenarnya bukan semua pemimpin mengamalkan politik wang hanya segelintir sahaja, janganlah diberikan gambaran seolah-olah semua pemimpin macam itu," katanya.Baru-baru ini terdapat banyak gesaan daripada pemimpin Umno agar sistem kuota dihapuskan kerana ia disalahgunakan sesetengah pihak dengan menggunakan kuasa wang semata-mata untuk dicalonkan sekaligus menafikan hak mereka yang layak untuk bertanding kerana tidak cukup pencalonan.

Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Seminar dan Bengkel Antarabangsa Mengenai Amalan dan Etika Dalam Perubatan anjuran Konsortium Hospital Islam Malaysia dan membentangkan kertas kerja bertajuk "Reinventing The New Paradigm Of Healthcare Giver For The Ummah".

-- BERNAMA

0 comments: