Friday, October 24, 2008

Lapor terus ke Lembaga Disiplin

Oleh ZULHISHAM ISHAK

KOTA KINABALU 24 Okt. - Sebarang aduan berhubung amalan politik wang atau salah guna kuasa pada persidangan perwakilan UMNO bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri perlu diajukan terus kepada Lembaga Disiplin parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia bagi membolehkan Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Beliau menegaskan, pucuk pimpinan parti tidak akan berkompromi terhadap politik wang yang berlaku semasa pemilihan sama ada masalah itu kritikal atau sebaliknya."Kalau berlaku amalan politik wang atau salah guna kuasa di mana-mana peringkat bahagian, terus laporkan kepada Tengku Ahmad Rithauddeen.

"Kita dengar kenyataan ini setiap kali berdepan dengan pemilihan parti. Tindakan akan diambil, pihak jawatankuasa parti sedang bermesyuarat dan beberapa tindakan sudah diambil," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa amalan politik wang pada persidangan parti kali ini sudah mencapai tahap kritikal.
Semalam, Ahmad Rithauddeen secara terbuka melahirkan kerisauan bahawa amalan tersebut akan bertambah buruk jika tempoh pemilihan parti dikekalkan sehingga Mac 2009.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, aduan masih lagi relevan untuk dilaporkan di peringkat badan perhubungan negeri tetapi jika sudah keterlaluan ia lebih baik dilapor terus ke lembaga disiplin.

Berhubung trend pencalonan UMNO kali ini yang lebih mengutamakan kehendak akar umbi, beliau berharap perkembangan itu akan dibawa pada pemilihan peringkat tertinggi, Mac tahun depan.

"Pengundian di peringkat pencalonan kali ini merupakan fenomena baru, kita tengok 80 hingga 90 peratus pencalonan yang dibuat di peringkat bahagian merupakan proses pengundian," katanya.

0 comments: