Monday, October 20, 2008

Beranikah Kita Untuk Berubah?

Mohd Faizal Mohd Salleh

Pilihan Raya Umum ke-12 sejak negara mencapai kemerdekaan telah berlangsung pada 8 Mac 2008 dalam semangat yang mencerminkan bahawa amalan demokrasi di negara kita terus utuh dan terus dipertahankan.

Setiap pihak sama ada parti-parti politik yang bertanding, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelbagai jentera kerajaan, pasukan keselamatan dan orang-orang perseorangan telah berusaha untuk memelihara kestabilan negara demi menjamin kuasa pemerintahan awam dapat diteruskan.

Sedarlah, Pilihan Raya Umum yang baru berlangsung tujuh bulan yang lalu telah mengubah pola penguasaan politik di dalam negara kita.

Kita bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) masih dapat berkuasa menerajui kerajaan pusat, walaupun tanpa kelebihan dua pertiga majoriti. BN turut kehilangan lima buah negeri di samping Kelantan yang masih gagal kita tawan.

Hakikatnya BN berjaya melawan arus perubahan namun bagi kawasan yang dimenangi calon BN terutamanya di kawasan-kawasan pengundi Melayu, majoriti BN mula menurun dan merosot.
Realiti ini tidak membolehkan BN leka dilamun mimpi kejayaan walaupun masih berkuasa. Pola pengundian di kalangan pengundi Melayu wajar dilihat sebagai loceng amaran bahawa pengaruh UMNO dan BN mula tercabar.

Hakikatnya, kita perlu SEDAR realiti ini menuntut kita berfikir secara serius supaya dapat mengenal pasti punca kelemahan hingga UMNO dan BN kini, kurang mendapat kepercayaan rakyat, kurang mendapat kepercayaan dari bangsa kita sendiri, kurang mendapat kepercayaan dari anak-anak muda yang bakal mewarisi kemerdekaan yang telah UMNO perjuangkan sejak 62 tahun yang lalu.

Adakah kita bangga dengan kejayaan kita dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Adakah kita bangga melihat prestasi UMNO dan BN sejak kebelakangan ini, adakah kita bangga menjadi anak merdeka hasil perjuangan UMNO sejak sekian lama ini?

Kemerosotan prestasi UMNO dilukis sebagai kejayaan besar buat parti pembangkang. Kelemahan UMNO telah memberi kekuatan kepada pakatan pembangkang.
Kelebihan undi yang kelihatan memihak kepada pembangkang digembar-gembur sebagai tanda UMNO akan berkubur. Mereka dengan megah membuat pengistiharan akan menawan Malaysia berpandukan Teori Dominonya.

Tarikh 16 September 2008 meletakkan harapan palsu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang sebagai tarikh kejatuhan BN dan tarikh kebangkitan suara rakyat, kononnya.
Mereka kini terus bermimpi, mereka terus memasang cita-cita, mereka terus memberikan harapan agar Malaysia jatuh ke tangan mereka.

Tetapi, sekiranya kita alpa dan lalai, percayalah bahawa mimpi, cita-cita dan harapan pakatan pembangkang untuk menguburkan UMNO dan BN, pasti menjadi realiti.
Walaupun pahit untuk ditelan, walaupun sakit mata memandang, walaupun pekak telinga mendengar... kita harus terima hakikat bahawa masyarakat khususnya orang muda mahu melihat satu pembaharuan, UMNO perlu berubah jika mahu kembali diterima.
Namun, beranikah kita untuk berubah, tepuk dada tanyalah hati kita sendiri?

0 comments: