Thursday, October 23, 2008

Tempoh pemilihan panjang galakkan politik wang

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kempen pemilihan UMNO yang panjang sehingga tiga bulan selepas mesyuarat bahagian berakhir boleh mengundang lebih banyak kes politik wang. Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, sudah menjadi lumrah politik wang meningkat ketika musim pemilihan dan tempoh yang panjang akan membuka lebih banyak ruang ke arah itu.

"Politik wang ini tiap-tiap kali pemilihan parti berlaku, jikalau dipanjangkan lagi kemungkinan berlaku lagi politik wang, saya rasa ini menambah politik wang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kerisauan sesetengah pihak bahawa tempoh antara tamatnya mesyuarat bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO pada Mac depan akan membuka ruang yang sangat luas untuk politik wang berlaku dalam parti. Disebabkan itu, ada juga pihak yang mencadangkan agar perhimpunan itu diawal yakni kepada Disember tahun ini untuk mengekang perkara itu daripada berlaku.

Tengku Ahmad Rithauddeen bagaimanapun menambah, tempoh yang panjang itu akan memberikan peluang juga kepada pihaknya untuk melakukan lebih banyak siasatan terhadap aduan yang diterima.

Katanya, Jawatankuasa Disiplin pimpinannya mampu menangani politik wang tetapi ia hanya boleh dihapuskan sepenuhnya jika ahli dan calon mahu melihat ia berakhir. Namun kata beliau, sikap yang ditunjukkan semua pihak ialah lebih ramai yang bertanding adalah sesuatu yang menggembirakan kerana lebih banyak wang yang akan diterima.

"Lagi banyak orang bertanya lagi bagus, lagi banyak wang datang, mereka (ahli parti) ini masih lagi berkehendakkan wang," katanya.

Padang sidang akhbar itu, Tengku Ahmad Rithauddeen memberitahu bahawa beliau pernah mendengar cerita ada Ketua cawangan UMNO yang pulang menaiki kereta Kancil baru selepas Perhimpunan Agung.

Katanya, cerita seumpama itu memalukan UMNO dan jelas memperlihatkan bahawa politik wang sudah menjadi satu budaya yang kini berada dalam teras UMNO itu sendiri.
Kata beliau, politik wang sudah jadi satu budaya kepada ahli parti sejak 20 tahun lalu dan semakin menjadi berbanding ketika beliau mula-mula menyertai UMNO dahulu.
Katanya, mind set pada ahli UMNO perlu diubah jika mahu melihat politik wang berakhir dalam UMNO.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang anggota parti yang melanggar disiplin perlu tampil dan jangan mengambil masa terlalu lama untuk membuat laporan.

"Sesiapa yang buat aduan akan diberi imuniti dan dirahsiakan identiti mereka, jadi tak usahlah takut untuk tampil kerana jika tidak bagaimana nak hapuskan gejala yang memberi keburukan kepada parti, individu dan negara itu," katanya.

Mengenai cadangan ahli MT UMNO Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa lepas supaya semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara tender, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, ia sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan. "Kita tidak boleh lakukan sebagai tender. Adakah kita akan dapat orang yang betul-betul boleh memimpin kita melalui kaedah tender ini? Barangkali dia (Rais) bukan serius apabila mengemukakan cadangan itu," katanya.

0 comments: