Tuesday, October 21, 2008
Politik wang hakis maruah UMNO
Oleh roslee mardan
Pada ketika ini, kita melihat proses pemilihan dalam kepimpinan UMNO sedang rancak berjalan. Ahli-ahli UMNO sedang memperjuangkan proses demokrasi parti bagi menentukan siapakah pemimpin seterusnya yang mampu memimpin parti terutama tanggungjawab dalam memulihkan semangat orang Melayu setelah tercalar pada pilihan raya lalu.
Seorang pemimpin yang dipilih haruslah mempunyai sikap peribadi yang terpuji selain mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dan 'futuristik'. Hanya dengan memiliki nilai-nilai diri yang baik, seorang pemimpin akan mampu kekal dengan statusnya sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab mengendalikan kehidupan masyarakat lain.
Jika kita perhati, sesetengah pemimpin mempunyai asas dalaman seperti memiliki pengetahuan agama yang tinggi, kebolehan berkomunikasi yang baik dan mempunyai pengaruh yang kuat untuk menarik kepercayaan orang lain terhadapnya. Sementara itu ada juga pemimpin yang mempunyai kelebihan seperti memiliki tahap ketajaman fikiran, bijak mengatur strategi, peka kepada perubahan semasa, tahap pengetahuan yang mendalam terhadap pelbagai bidang kehidupan manusia dan sebagainya.
Adakalanya, ada pemimpin yang mungkin tidak mempunyai kebanyakan ciri-ciri yang disebutkan itu tetapi mempunyai keupayaan dari segi material seperti harta benda dan wang. Bagi seseorang yang sedang dalam proses memilih pemimpin, kebiasaannya akan melihat kredibiliti calon tersebut berdasarkan kriteria yang disebutkan seperti baik budi bahasa, boleh berkomunikasi, pandai mengambil hati dan dilihat mempunyai kekuatan-kekuatan yang lain seperti tahap pendidikan serta rekod.
Namun dalam pemilihan kepimpinan politik terutamanya dalam UMNO, oleh kerana calonnya adalah orang Melayu yang terkenal dengan budaya ramah dan bijak mengambil hati rakan, para pengundi (ahli UMNO) tidak dapat membezakan kualiti kepimpinan mereka.
Oleh itu kecenderungan mereka memilih adalah berdasarkan kepada calon yang mampu memberi kekayaan kepada mereka. Tanpa rasuah atau politik wang dalam UMNO, sukar bagi seseorang calon untuk mengetengahkan dirinya dalam kelompok kepimpinan parti. Walau sebaik mana sekalipun, walau seramah mana sekalipun, tetapi jika tidak menggunakan wang, sukar bagi seseorang mendapat gelaran atau status sebagai pemimpin.
Manusia tidak akan melepaskan peluang kekayaan lebih-lebih lagi sekiranya apa yang diperolehinya itu adalah wang. Politik wang sudah cukup sinonim dalam UMNO. Ia bukan lagi satu barah berbahaya. Malah untuk jangka masa, politik wang atau rasuah politik akan menjadi budaya kemestian dalam UMNO sekiranya seseorang ingin menjadi pemimpin. Seandainya seorang calon memperuntukan RM10,000 hingga RM50,000 untuk membeli undi, maka nilai itulah yang menjadi harga kepada maruahnya sebagai pemimpin.
Sedangkan tanpa menyedari, penilaian Tuhan terhadap seorang pemimpin yang diamanahkan untuk memimpin manusia lain adalah lebih tinggi daripada jumlah wang yang ditabur oleh calon. Membuktikan betapa rendahnya maruah dan harga diri calon-calon yang menggunakan wang untuk membeli undi. Betapa rendahnya harga kepimpinan orang Melayu jika politik wang terus diamalkan.
Kita tidak boleh berkata bahawa parti-parti politik yang lain juga ada mengamalkan rasuah. Sekiranya ramai yang beranggapan sebegini, maka UMNO tidak ada bezanya dengan parti politik yang lain. Sebaik-baiknya, UMNO perlu memperlihatkan contoh proses pemilihan kepimpinan yang baik supaya parti ini mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan parti-parti lawan.
UMNO bertanggungjawab sebagai ketua dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti orang Melayu perlu menunjukkan etika yang baik. Jika perkara ini diabaikan maka UMNO akan semakin gagal membela orang Melayu dalam masyarakat yang pelbagai bangsa di negara ini.
Pada hari ini kita dapat melihat, UMNO sering dikritik oleh parti-parti komponen BN. Ini menggambarkan bahawa, dalam UMNO tidak boleh pemimpin yang benar-benar berkualiti. Kewibawaan mereka tercemar dan terhakis. Adakah ini disebabkan ahli-ahli UMNO tidak tahu menilai pemimpin atau disebabkan wang dan harta benda membiarkan diri mereka memilih pemimpin yang tidak layak atau tidak berkualiti untuk memimpin?
Pada zaman sekarang, orang Melayu semakin senang atau kaya. Soal wang tidak menjadi masalah kepada mereka. Ahli pula menjadikan kesempatan politik wang sebagai sungai kekayaan yang bersifat sementara. Mereka tidak menyedari bahawa, tindak-tanduk mereka itu menjahanamkan UMNO.
Mereka tidak malu dan segan melaungkan kononnya memelihara UMNO dan membela orang Melayu. Tetapi apabila mereka ditabur dengan wang dan kekayaan harta benda, soal maruah dan prinsip parti diketepikan.
Senario politik hari ini menuntut supaya ahli UMNO dan pemimpin UMNO menilai tindakan mereka. Sekiranya mereka hanya mampu menilai kesilapan orang lain dan tidak mahu mengakui kesilapan diri sendiri, UMNO akan dipenuhi ahli dan pemimpin yang ego dan mementingkan diri.
Politik wang atau rasuah politik akan melahirkan ahli dan pemimpin UMNO yang kelak akan merosakkan parti pada masa akan datang. Sekiranya mereka terfikir bahawa tidak ada sesiapa dalam UMNO yang akan menghukum mereka kerana mengamalkan politik wang, setidak-tidaknya, wang yang ditabur dan wang yang diterima adalah najis dalam agama dan bangsa.
Jika ini pun ahli mahupun pemimpin UMNO tidak mahu menerima, maka kita tidak boleh menyesal sekiranya generasi Melayu akan datang hanya akan menatap UMNO dalam galeri sejarah.
Semua warga UMNO perlu memikirkannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment