Soalan:
Apakah hukum dan kedudukan isteri yang memberikan kata dua kepada suami supaya menceraikannya jika berkahwin lagi, sedangkan suami mampu dari segi zahir dan batin untuk beristeri lebih seorang? Suami juga taat kepada suruhan Allah dan bertanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada anak dan masih menyayangi isteri pertama dan tidak mahu menceraikannya.
Mahu Poligami,
Kangar, Perlis.
Jawapan:
Haram hukumnya seorang isteri meminta cerai sedangkan suami mempunyai kemampuan dari segi pemberian nafkah dan sanggup berlaku adil.
Isteri tidak wajar memohon cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak seperti diriwayatkan daripada Aisyah R.A "Wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, haram ke atasnya bau syurga." (kitab Nil Al-Awtar) kerana sesungguhnya hadis Rasulullah SAW juga menyatakan mengenai persoalan talak yang bermaksud "Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak." (kitab Mughni Muhtaj).
Oleh kerana itu talak dibenar dan disyariatkan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi membubarkan perkahwinan pasangan suami isteri bermasalah yang tidak menemui jalan penyelesaian lain.
Suami yang tidak mengikut permintaan isteri agar diceraikan tidak dianggap dayus selagi boleh mengekalkan kasih sayang dan keadilan. Allah menyatakan lebih baik mengekalkan hubungan dan berbaik daripada memikirkan perceraian kerana mengundang lebih kemudaratan seperti fitnah kepada wanita, mengganggu keharmonian berkeluarga, menyukarkan persoalan pembahagian nafkah dan penjagaan serta pendidikan anak.
Ini dapat dilihat pada firman Allah SWT bermaksud "Dan jika seseorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiada salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian antara mereka berdua secara sebaik-baiknya kerana itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai, sedangkan sifat bakhil (tidak suka memberi dan bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku, baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. (an- nisa' : 128)
Sunday, November 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment