Friday, November 7, 2008

Masyarakat tidak jujur punca penyakit sosial


DARIPADA Huzaifah, katanya: "Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua hadis; salah satu daripadanya sudah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis kedua.

"Hadis pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang, kemudian turun al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunah Rasulullah SAW. "Hadis kedua, mengenai pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah daripada hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul selepas mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan.

" Pada masa itu kelak hampir saja tidak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong keimanan. "

Kata Huzaifah: Pada masa silam, zaman kejujuran itu sudahku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya. " Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah)." (Hadis riwayat Muslim)

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera dan pelbagai lagi kejadian yang menyentuh hati serta membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah dari jiwa manusia. Sesungguhnya pada akhir zaman ini amat sukar mencari orang yang amanah sedangkan apa juga perkara dan tindakan diambil perlukan sifat amanah.

Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin oleh penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur. Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya.

Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran itu membawanya kepada kekufuran. Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: