Thursday, November 20, 2008

Shahrizat lawan Rafidah

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pelan peralihan kepimpinan Wanita UMNO yang dirancang pada Jun 2009 tidak menjadi kenyataan apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding menentang Tan Sri Rafidah Aziz bagi merebut jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan Mac depan.

Hari ini, selepas berteka-teki mengenai kedudukannya, Shahrizat yang kini Naib Ketua pergerakan itu mengesahkan untuk bertanding menentang Rafidah sebagai penyelesaian atas kemelut pelan peralihan Wanita UMNO.

Difahamkan, Rafidah akan membuat kenyataan esok mengenai pendiriannya untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya selama lima penggal itu.

Dalam satu kenyataan dua perenggan di sini hari ini, Shahrizat berkata, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO.
“Wanita UMNO mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan,” katanya dalam kenyataan itu.

Keputusan Shahrizat itu juga bermakna Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang mendapat 56 pencalonan jawatan Naib Ketua, menang tanpa bertanding.

Shahrizat, 55, sebelum ini memperoleh 73 pencalonan bagi bertanding jawatan Ketua Wanita, selain 102 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Rafidah pula menerima sebanyak 117 pencalonan untuknya mempertahankan jawatan yang disandangnya kini.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menerajui Wanita UMNO sejak 1984 kecuali satu penggal berikutan kekalahannya kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti 1996.

Pada Ogos lalu, Rafidah mengumumkan akan menyerahkan jawatannya kepada Shahrizat melalui satu pelan peralihan yang dijadualkan pada Jun 2009.

Shahrizat yang bersetuju dengan pelan tersebut meminta ahli Wanita UMNO supaya tidak mencalonkannya untuk menentang Rafidah kerana tidak mahu berlakunya perpecahan dalam pergerakan itu.

Bagaimanapun, setelah persidangan perwakilan bahagian selesai pada 9 November lalu, Shahrizat menukar pendirian dengan meminta supaya Rafidah mempercepatkan pelan peralihan dari Jun kepada Mac 2009 selari dengan pelan peralihan kuasa kepimpinan tertinggi UMNO.

Ia juga berikutan desakan daripada akar umbi yang mahu Shahrizat bertanding dan bukan hanya memangku tugas Ketua Wanita UMNO sekiranya pelan peralihan dilaksanakan pada Jun 2009.

Bagaimanapun, permintaan Shahrizat itu ditolak Rafidah yang tetap mahu meneruskan pelan peralihan jawatan seperti yang telah dipersetujui sebelum itu.

Tindakan kedua-dua pihak itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan akan bertemu kepimpinan Wanita untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan sebaik mungkin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, jalan penyelesaian terakhir berhubung krisis kepimpinan dalam Pergerakan Wanita UMNO terletak pada keputusan yang diambil oleh kedua-dua calon Ketuanya, Rafidah dan Shahrizat.

Shahrizat yang menyertai UMNO pada tahun 1960, memenangi kerusi Naib Ketua tanpa bertanding bagi penggal 2004-2007.

0 comments: