KUALA LUMPUR 20 Nov. - Para pemimpin Wanita UMNO menyifatkan keputusan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac depan sebagai tindakan yang tepat dan bijak.
Exco Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, keputusan Shahrizat itu juga adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peringkat akar umbi di seluruh Malaysia.
"Apabila beliau mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan ketua, semua menanti apa pendiriannya dan kini keputusan itu adalah suatu yang tepat sekali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan terbaru Shahrizat hari ini yang mengesahkan akan bertanding menentang penyandang Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz pada Mac 2009.
Rosni berkata, bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya pertandingan antara Rafidah dan Shahrizat itu ditukar kepada penyerahan jawatan ketua oleh Rafidah kepada naibnya itu pada pemilihan parti.
"Lebih baik tiada pertandingan. Kita berharap Rafidah akan dapat membuktikan keikhlasannya dengan mempercepatkan pelan peralihan jawatan kepada Mac 2009," katanya.
Menyentuh mengenai calon Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang menang tanpa bertanding sebaik Shahrizat mengumumkan keputusannya itu, Rosni berkata:"Itu adalah rezeki Kamilia.
"Saya yakin beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut dan beliau kena bersedia untuk itu."
Sementara itu, seorang lagi Exco Wanita UMNO, Datuk Hazizah Mohd. Sultan berkata, keputusan Shahrizat untuk bertanding jawatan tertinggi itu merupakan hak beliau setelah dicalonkan peringkat akar umbi.
"Daripada segi politik, itu adalah pendirian beliau. Beliau perlu ada pendirian lebih-lebih lagi setelah dicalonkan dan melepasi kuota pencalonan," katanya.
Tambahnya, beliau yakin perpecahan tidak sesekali akan berlaku dalam Wanita UMNO apabila adanya pertandingan jawatan ketua pergerakan itu.
Ini kerana pergerakan itu sudah matang dan mampu menilai baik buruknya sesuatu tindakan yang diambil ahlinya.
"Ini menunjukkan Wanita UMNO sentiasa mengamalkan demokrasi. Tidak akan ada masalah jika ada pertandingan sekalipun," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO Kedah, Noor Hasita Mad Isa berkata, pendirian Shahrizat untuk bertanding adalah tepat bagi memastikan kedudukan pergerakan itu di dalam UMNO lebih terjamin.
"Bukan kami tidak berterima kasih kepada Rafidah yang telah lama berjasa kepada parti, namun kami mahu beliau memberi peluang kepada muka baru untuk menerajui pergerakan ini.
"Keputusan Shahrizat untuk bertanding juga tidak akan menimbulkan perpecahan di dalam parti kerana Wanita sudah matang," katanya ketika ditemui di Alor Star.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Sharifah Azizah Datuk Syed Zain pula berkata, lebih 80 peratus ahli Wanita UMNO Johor menyokong penuh hasrat Shahrizat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita.
Katanya, sokongan terhadap Shahrizat itu bukan bermakna mereka menolak Rafidah sebaliknya, apa yang dikehendaki oleh akar umbi ialah Rafidah perlu menyerahkan kuasanya secara terhormat kepada Shahrizat.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Hamisa Samat berkata, keputusan Shahrizat itu menunjukkan beliau menghormati suara akar umbi.
Katanya, keputusan tersebut amat dialu-alukan dan membuktikan demokrasi sentiasa subur dalam wanita.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar berkata, keputusan Shahrizat mungkin akan menimbulkan sedikit keretakan dalam sayap itu untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, katanya suara di peringkat bahagian tidak boleh disekat jika mereka mahukan pembaharuan memandangkan ada yang tidak bersetuju dengan pelan peralihan jawatan Jun 2009 itu.
Thursday, November 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment