Thursday, November 27, 2008

Beri sumbangan menyeluruh - Muhyiddin


MUAR 27 Nov. - Semua bahagian UMNO di seluruh negara sewajarnya keluar daripada perjuangan yang sempit dan memberi sumbangan bagi kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk perlu sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat yang bukan sahaja melibatkan kaum Melayu malah kaum lain.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkata, kerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain adalah amat penting bagi memberi keyakinan kepada rakyat.

"Apabila semua parti bergerak atas landasan masing-masing, rakyat tidak nampak dan sebab itu (BN) tidak mendapat layanan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar, Pagoh, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menasihatkan pemimpin yang terpilih di peringkat bahagian supaya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

"Pemimpin yang terpilih perlu bekerja keras sebagai pasukan yang mantap dan saya nasihatkan untuk membantu masyarakat tanpa mengira kaum atau keturunan," katanya.

Beliau berhasrat untuk menggerakkan UMNO Bahagian Pagoh sebagai modul bahagian yang dapat mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap UMNO.

Katanya lagi, dengan berorientasikan masalah rakyat serta isu pendidikan dan ekonomi, matlamat tersebut diyakini berjaya dicapai.

0 comments: