By: Ramjit-->
SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa ia akan memastikan para pemimpin negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang gagal melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya umum diganti dengan pemimpin baru.
Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata janji itu termasuklah membersihkan kerajaan daripada pengaruh dan amalan rasuah."Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri pakatan rakyat teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.
Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK di sini hari ini.Beliau berkata perubahan itu mestilah dilakukan dengan segera bagi mengelakkan sokongan rakyat menjadi terhakis.AMK juga mendesak pucuk pimpinan PKR memberikan peluang yang adil dan tidak meminggirkan pergerakan itu daripada jawatan-jawatan dalam kerajaan pakatan rakyat dan dalam parti.
"Jangan berselindung di sebalik alasan mudah iaitu tiada pengalaman. Apakah selepas tsunami politik kita (AMK) terus dipinggirkan?.Shamsul Iskandar turut mencadangkan kerajaan persekutuan supaya mengadakan kongres ekonomi kebangsaan bagi membincangkan strategi baru untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.
Katanya, kongres ekonomi itu yang dicadangkannya perlulah melibatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang atau fahaman."Kerajaan perlu bersikap terbuka dan bersedia mengaplikasikan pendekatan baru bagi meminimumkan impak kegawatan ekonomi.
-- BERNAMA
Friday, November 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment