KESEMUA 191 bahagian UMNO pada dasarnya telah menyelesaikan tugas dan persidangan perwakilan masing-masing semalam.
Namun perkara penting yang masih belum selesai ialah dakwaan berlaku gejala rasuah dalam sesetengah mesyuarat bahagian bagi memilih calon-calon untuk diletakkan bagi memimpin parti di peringkat bahagian mahupun UMNO pusat.
Bayangkan lebih 900 aduan mengenai gejala politik wang diterima setakat ini oleh Lembaga Disiplin UMNO. Walaupun berulang kali amaran mengenai politik wang dilaungkan, malangnya lebih banyak pula aduan diterima kali ini berbanding pemilihan empat tahun lalu, ia suatu yang memalu dan menyedihkan.
Walaupun aduan tersebut belum lagi terbukti tetapi jika benar berlaku, ke manakah hilangnya harga diri atau integriti pemimpin UMNO sekarang hingga tidak rasa takut atau malu untuk melakukan amalan politik wang?
Ia bukan sahaja mengecewakan ahli-ahli setia kepada perjuangan UMNO tetapi juga rakyat biasa yang sentiasa yakin pada matlamat UMNO sejak sebelum merdeka lagi.
Namun kita masih percaya, sebenarnya bukan semua ahli UMNO terlibat dengan aktiviti rasuah politik itu, yang terlibat mungkin beberapa kumpulan yang muncul kerana ingin mengambil kesempatan daripada calon-calon yang menawarkan diri.
Entah mengapa kumpulan ini pula nampaknya lebih 'berkuasa' untuk menentukan siapa yang layak dicalonkan pada persidangan perwakilan bahagian sebulan lalu atau yang bakal dipilih pada pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Mac depan.
Persoalannya, jika pemimpin UMNO sendiri tahu dan mengenal pasti kumpulan yang jelas cuba merosakkan nama baik parti itu, kenapa mereka takut untuk membuat aduan berserta dengan bukti.
Buat dakwaan ke atas mereka. Mengapa perbuatan itu dibiarkan hingga berlarutan hingga menjadi sukar dikawal?
Barangkali segelintir pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa tanggungjawab masing-masing untuk memenangi semula hati rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu. Rakyat sudah beri mesej.
Sebab itu, ahli UMNO diseru jangan memberi mesej yang salah kepada rakyat dengan menunjukkan mereka lebih sibuk susun strategi politik menjelang pemilihan UMNO tahun depan daripada prihatin terhadap isu-isu rakyat.
Rakyat sedang memerhatikan tingkah laku dan hala tuju perjuangan politik orang UMNO. Masalah politik wang jika gagal ditangani, ia boleh membawa UMNO kepada kehancuran.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti bertegas untuk menjaga imej UMNO daripada dirosakkan oleh pengamal politik wang. Sesungguhnya, rakyat akan menilai UMNO melalui pemimpin yang akan diketengahkannya.
Carilah mekanisme bagi membendung gejala ini, waima melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jika rang undang-undang mengenai pembentukan SPRM diluluskan Parlimen, diharap ia menjadikan kes amalan rasuah dalam UMNO sebagai siasatan kes pertamanya.
Ingatlah, UMNO memerlukan pemimpin yang memiliki kredibiliti dan bersih, bukan berada dalam parti dan kerajaan kerana diangkat melalui amalan politik wang.
Sunday, November 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment