Sunday, November 23, 2008

SHAHRIZAT


MINGGUAN:
Apa komen Datuk Seri apabila dianggap ingkar dengan keputusan Wanita UMNO apabila menolak pelan peralihan kuasa?
SHAHRIZAT:

Pada 4 Ogos lalu, semasa program Pemimpin Bersama Wanita yang dirasmikan oleh Presiden parti, satu pelan peralihan jawatan untuk wanita telah diumumkan oleh Tan Sri Rafidah Aziz. Nawaitu pelan itu ialah pertama, untuk menentukan Wanita UMNO stabil supaya pelan peralihan Presiden kepada Timbalan Presiden berjalan dengan lancar pada 2010. Nawaitu kedua ialah untuk menentukan tidak ada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Nawaitu ketiga ialah untuk menentukan perpaduan sedia wujud dalam Wanita UMNO. Saya setuju dengan pelan peralihan atas dasar yang murni itu.
Allah SWT telah memakbulkan kesemua nawaitu peralihan itu. Untuk mencapai matlamat, maka pelan itu perlu dipercepatkan hanya tiga bulan sahaja kepada bulan Mac sempena Perhimpunan Agung UMNO. Keputusan saya untuk bertanding kerana apabila pencalonan dibuat saya insaf bahawa pada akhirnya tiada sesiapa yang mampu atau patut buat keputusan untuk orang lain. Ada wanita yang gembira dengan pelan peralihan tersebut dan ada pula merasakan hak mereka tidak dihormati. Mereka mahu hak mereka dikembalikan kepada peringkat akar umbi dan tidak memaksa mereka untuk terikat kepada persetujuan di antara Rafidah dan saya.


Pernahkah pelan peralihan ini dirunding sebelum ini?
SHAHRIZAT:

Ketika Rafidah berehat di rumah selepas pembedahan lutut, saya mengunjunginya dan beliau ada menyatakan sedang fikir pelan peralihan. Saya segan nak bertanya kalau nak alih kepada siapa dan bila. Kebiasaannya saya dengar sebab dia bos saya. Kita daripada generasi yang lama, kita tidak menyoal. Saya dengar mungkin pada 2010 dan jawatan itu akan diberikan kepada saya tetapi saya tidak bertanya atau membincangkannya.
Selain itu apa yang perlu difahami, semasa saya bersetuju pelan peralihan itu, senario politik berbeza kerana ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan akan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 manakala Perhimpunan Agung UMNO ditetapkan berlangsung pada Disember tahun ini.


Persoalannya, kalau ada bantahan atau rasa tak puas hati kenapa ia tidak dibangkitkan awal-awal lagi, kenapa ia dibuat selepas pencalonan?
SHAHRIZAT:

Mungkin ini sukar untuk orang luar mendalami hubungan saya dengan Rafidah. Ini sebenarnya bukan hanya berlandaskan hubungan emosi. Saya tak kenal ketua lain selain Rafidah dan buat seketika, Datuk Dr. Siti Zaharah. Saya sentiasa meletakkan diri sebagai Naib Ketua kepada Rafidah dan apa juga pendapat, kemahuan Rafidah, saya ikut. Sebab itu selama saya jadi Naib Ketua, keadaan aman damai, sebab kita ada satu ketua.


Datuk Seri memang terima pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Selepas pelan peralihan itu diumumkan dan mesyuarat exco mengesahkannya selepas itu, saya memang terima pelan tersebut sebab atas nawaitu yang murni itu dan senario politik yang Presiden akan mengalihkan jawatan kepada Timbalan Presiden pada 2010. Kalau kita tengok dari segi undang-undang pun persetujuan saya berasaskan tiga fakta (nawaitu) itu, tetapi kalau saya setuju pun, pada akhirnya kalau Wanita bahagian tak setuju, tiada apa yang kita boleh buat, sebab matlamat akhirnya terletak dalam tangan perwakilan. Perwakilan tidak terikat, hanya Rafidah dan saya serta mungkin Exco terikat.
Saya terikat nawaitu itu sebab itu saya beranikan diri untuk mengesyorkan kalau Rafidah boleh buat adjustment, maka kalau bulan Mac, ketiga-tiga nawaitu berkenaan akan jadi kenyataan. Selepas itu apabila ada mesyuarat exco ramai yang tanya kenapa saya tidak stand up. Di sinilah perhubungan antara saya dan Rafidah menjadi satu faktor. Memang susah untuk saya nak berbincang. Saya tidak mungkir janji tetapi berpaksikan tiga nawaitu murni itu dan jika peralihan berlaku pada Mac ketiga-tiga nawaitu itu akan menjadi kenyataan tapi kalau kita tidak buat ubah suai dan peralihan ditetapkan juga pada Jun maka akan ada pertandingan.


Apa reaksi Datuk Seri apabila Tan Sri Rafidah mendakwa Datuk Seri ingkar terhadap persetujuan yang dicapai mengenai pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Apabila dikatakan saya mungkir janji, itu tidak tepat, janji saya berpaksikan nawaitu pelan peralihan.
Kita kena lihat, bahagian saya beri pencalonan kepada Rafidah dan ramai daripada mereka mahu perubahan untuk menerima pelan peralihan. Kalau betul-betul kenal mungkin orang tak tahu siapa dia, tapi kita tahu siapa yang mahu perubahan. Dalam 117 pencalonan itu walaupun ramai yang mahu perubahan tapi pada akhirnya kita akur pada pelan peralihan. Namun bahagian-bahagian Wanita membuat keputusan mereka sendiri, tidak mampu kita untuk menunjuk ajar kepada Wanita di peringkat akar umbi, ada kebangkitan Wanita di peringkat akar umbi yang mahu menyuarakan pendapat dan hak mereka. Memang ada rasa suara hati, jadi kenapa suara mereka hendak diperkecilkan.


Pelan peralihan gagal, maka akan ada pertandingan, adakah suara pencalonan ini tulen atau berdasarkan faktor lain?
SHAHRIZAT:

Sebenarnya apa yang berlaku ramai ikut pelan peralihan. Sebanyak 90 peratus sokong pelan peralihan yang mahu perubahan pun beri sokongan kepada pelan peralihan. Pencalonan itu adalah bayangan, bagi saya itu bukan muktamad. Dari segi suara exco pun tujuh exco tidak pilih pelan peralihan. Memang saya nampak ada belah bahagi, ada yang mahu Jun ada yang mahu Mac.


Bermakna pencalonan tidak mencerminkan keputusan pada Mac nanti?.
SHAHRIZAT:

Pencalonan tidak mencerminkan hasrat yang sebenarnya. Kita tidak boleh ketepikan pencalonan itu, ia hanya bayangan sahaja tetapi tidak muktamad.


Dengan adanya pertandingan dan perpecahan dalam Wanita mungkin tidak dapat dielakkan
SHAHRIZAT:

Saya memang risau, tetapi saya yakin kita orang politik, mana ada parti politik yang tidak ada pertandingan. Bertanding adalah satu hakikat dalam berpolitik. Pada saya yang menjadi masalah ialah apa yang akan berlaku antara sekarang hingga Mac.
Sebab itu semasa kempen, kita mesti berhati-hati. Saya hormat Rafidah, saya akan tetap ikuti program Wanita. Cuma saya minta berhati-hati dalam pertuturan sebab kadang kala kalau tidak berhati-hati kita akan menyinggung perasaan orang lain. Jangan nanti antara Rafidah dan saya tak ada apa-apa tetapi pihak lain pula bermusuhan.


Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Tan Sri sekarang?
SHAHRIZAT:

Saya telah berazam walau apa pun yang terpaksa saya harungi, Rafidah adalah orang yang saya hormat. Beliau pangkat kakak dan ketua saya. Sebab itu jangan kita memfitnah, kita mesti menghormati.
Sebagai peguam, saya mampu terima pendapat yang berbeza. Itu lumrah hidup saya, sebab itu saya ambil masa untuk buat keputusan, saya dengar pendapat, keluhan orang lain dahulu. Kalau kita tak setuju, kita tak setuju secara berhemah tak payah personal, guna kata-kata kesat.


Tidakkah Datuk Seri bimbang wujud puak-puak di dalam Wanita UMNO?
SHAHRIZAT:

Secara realistiknya akan wujud `kem’ buat sementara dari sekarang hingga Mac. Sebab itu saya kata kalau kita jaga bahasa kita, lepas Mac sesiapa juga yang jadi ketua mesti merapatkan balik barisan.


Dengan perpecahan yang dijangka berlaku, apakah ada kemungkinan Datuk Seri dan Rafidah melakukan sesuatu supaya perpecahan itu tidak ketara, berkompromi misalnya?
SHAHRIZAT:

Dalam hidup ini macam-macam boleh berlaku, dalam politik pun begitu. Saya berdoa menjelang Mac ini satu penyelesaian terbaik untuk Wanita dapat kita capai. Sebenarnya Allah telah memberi satu cara penyelesaian pada Mac yang terbaik dengan jawatan Ketua dan Naib Ketua tak perlu dipertandingkan. Saya masih menaruh harapan yang tinggi bahawa penyudahnya adalah satu penyudah yang positif.


Ada tanggapan wujud pakatan antara Datuk Seri dan Kamilia apabila pelan peralihan ditolak selepas pencalonan membolehkan Kamilia menang tanpa bertanding. Ia bertujuan menafikan peluang exco lain untuk bertanding Naib Ketua?.
SHAHRIZAT:

Apa yang berlaku ialah Kamilia memang dah tawar diri awal tapi oleh kerana kita nak push untuk pelan peralihan, saya nampak beliau satu ketika, tak minat, tetapi apabila ada pencalonan untuk Datuk Azalina, nama Datuk Kamilia naik semula dan sebenarnya kalau ada calon wanita lain yang minat dia boleh naik masa itu.


Adakah mungkin mereka yang tidak menawarkan diri bertanding kerana menghormati pelan peralihan itu?
SHAHRIZAT:

Saya juga hormat pelan itu, tetapi pelajaran kepada saya dalam politik, mungkin 50 peratus atau 60 peratus ahli boleh dengar cakap kita, yang lain tak dengar. Mesej yang hendak mereka hantar perlu kita terima dan jangan menidakkan hak orang lain walau di mana pun mereka berada. Kita tidak boleh anggap bahawa 100 peratus akan setuju dengan keputusan kita. Siapa kita yang hendak paksa 100 peratus ahli ikut cakap dan arahan kita. Naluri manusia jangan kita tekan sangat dengan tidak menghormati pendapat dan perasaan orang lain.


Rafidah didakwa mahu mempertahankan jawatan ketua kerana mahu kembali dalam Kabinet, dakwaan yang sama turut ditujukan kepada Datuk Seri.
SHAHRIZAT:

Itu tidak menjadi matlamat. Saya sudah 28 tahun dalam UMNO, saya dah tengok naik turun seseorang pemimpin. Sebenarnya selain daripada ikhtiar, kerja-kerja perjuangan pada akhirnya Allah menentukan. Kes Datuk Kamilia, ini betul-betul menunjukkan kita hanya boleh merancang, akhirnya Kamilia akan jadi Naib Ketua dengan tidak ditandingi. Pada saya ini bukti walau macam mana kita berpolitik, merancang menaikkan atau menjatuhkan seseorang, kalau tak ada rezeki tak ada siapa boleh mengatasi qadak dan qadar.


Datuk Seri boleh bekerjasama dengan Kamilia?
SHAHRIZAT:

Secara prinsipnya saya lebih selesa bila saya pandang ciri-ciri positif seseorang sebab saya seorang yang optimis. Saya percaya Datuk Kamilia akan jadi Naib Ketua yang baik. Beliau telah banyak menyumbang kepada Wanita, seorang yang pendiam, tapi banyak berkorban masa, idea dan rajin bekerja. Beliau tidak banyak politiking tapi apabila diamanahkan kerja ia dijalankan dengan baik.


Pertandingan kali ini dianggap kalah mati, sebab calon yang tewas akan hilang segala-galanya. Datuk Seri sedia hadapi segala kemungkinan?
SHAHRIZAT:

Itu semestinya, pada saya yang lebih mustahak ialah perjuangan Wanita UMNO, bukan diri saya. Saya nak tengok Wanita UMNO dihormati, masih relevan mempunyai misi yang baru, kalah menang bukan satu masalah bagi saya.


Kalau tewas bagaimana Datuk Seri hendak laksanakan pelan strategik bagi mengukuhkan Wanita?
SHAHRIZAT:

Di mana saya berada saya harap isu wanita dan keluarga dekat di hati saya. Melalui Sekretariat Pembelaan dan Memperkasa Wanita Islam (Senada) saya akan berusaha untuk menentukan ia menjadi suara wanita Islam di negara ini dan saya juga berharap ia mampu menjadi suara penyatuan wanita Islam tidak kira apa juga ideologi politik dan latar belakang mereka.


Apakah mungkin tanpa pelan peralihan, pencalonan yang diterima Rafidah akan lebih banyak?
SHAHRIZAT:

Mereka yang betul-betul ikut perkembangan di peringkat bahagian, akar umbi tahu keadaan sebenarnya, bukan untuk saya buat kenyataan. Kalau betul-betul kita tahu naluri dan cita rasa Wanita kita tahu apa yang sebenarnya berlaku.


Dalam kenyataan sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan Wanita perlu berani bawa perubahan dan pembaharuan, kenapa?
SHAHRIZAT:

Suka atau tidak kita mesti terima hakikat kita menghadapi satu keputusan yang mengejutkan pada pilihan raya baru-baru ini. Saya seorang calon yang tewas, saya banyak belajar apa yang berlaku. Wanita UMNO mesti wujudkan satu visi dan misi serta Pelan Strategik dan Pelan Tindakan sebagai asas perjuangan kita masa kini. Kita perlu perubahan dan pembaharuan di dalam cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab supaya kita terus relevan di dalam konteks politik hari ini dan masa hadapan. Ini adalah realiti Wanita UMNO.
Sebenarnya, Wanita UMNO sarat dengan pengalaman, potensi, dedikasi dan komitmen untuk kembali semula menjadi suara utama bukan hanya untuk wanita Islam tetapi untuk keseluruhan rakyat jelata. Saya minat untuk menentukan isu-isu wanita dan keluarga diperjuangkan dengan cara lebih terancang. Suara kita mesti tegas memperjuangkan supaya lebih ramai wanita diberi tempat di dalam membuat keputusan sama ada dalam parti, kerajaan atau luar kerajaan sejajar dengan polisi sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mesti ada ditempat membuat keputusan yang diperjuangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tempoh hari. Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diberi tempat di arus perdana parti dan bukan hanya terkongkong dalam sayapnya sahaja di cawangan, bahagian, negeri, nasional. Jika kita ada perancangan yang praktikal, baik dan teliti, saya percaya kaum bapa di dalam UMNO akan bersama-sama kita di dalam perjuangan ini kerana mereka juga tidak mahu Wanita UMNO ketinggalan zaman.Kita juga kena eratkan lagi kerjasama dengan Puteri selaku ibu dan kakak supaya jika wujud apa-apa isu yang perlu bimbingan dan penyelesaian di antara kedua sayap ini, biarlah ia dijalankan dalam satu suasana yang positif. Suntikan semangat perjuangan yang baru ini untuk Wanita UMNO mesti bermula di peringkat akar umbi. Kepimpinan Wanita di peringkat cawangan dan bahagian mesti terus diupayakan (empower) dengan hala tuju dan program yang jelas dan nyata. Saya percaya jika kita bersatu kita semua mampu untuk menangani cabaran politik masa kini.


Berdasarkan kepada reaksi yang diterima setakat ini, adakah Datuk Seri yakin mampu mencapai kemenangan dalam pemilihan kali ini?
SHAHRIZAT:

Bagi saya dalam sesuatu pertandingan, semua calon yang bertanding mempunyai peluang yang sama.

0 comments: