Saturday, November 29, 2008

RANTAU ASIA SELATAN AKAN JADI MEDAN TEMPUR PAG YANG KEEMPAT?


Ruhanie Ahmad

Peristiwa keganasan berdarah di New York dan Washington DC pada 11 September 2001 - dikenali sebagai tragedi 911 - telah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) melancarkan Perang Antiterorisme Global (PAG) kononnya untuk menghapuskan terorisme Islam antarabangsa.

Anehnya, seluruh medan tempur PAG ini adalah di pelbagai wilayah Islam di benua Asia. Ia membuktikan pemilihan medan tempur ini adalah dirancang secara teliti dan menyeluruh dengan beberapa agenda penuh rahsia.Medan tempur PAG yang pertama adalah di Asia Tengah. Mulai 24 Oktober 2001, tentera AS dan sekutunya pun menyerang Afghanistan.

Alasannya, negara itu kononnya kubu persembunyian Osama Ben Laden yang didakwa sebagai ketua al-Qaeda yang dituduh melakukan teror di AS pada 11 September 2001. Negara itu juga jadi sasaran kerana kononnya memberikan perlindungan kepada al-Qaeda.Akibatnya, Afghanistan diperangi secara semberono sehingga jadi padang jarak padang tekukur dan rakyat jelatanya ramai yang terkorban dan cedera parah.

PAG di Afghanistan juga menyebabkan pertukaran rejim. Negara itu terus bergolak hingga ke hari ini.Mulai Januari 2002, AS membuka medan tempur PAG yang kedua. Kali ini AS mengerahkan tenteranya berpangkalan di selatan Filipina, di Asia Tenggara. Alasannya adalah untuk menghapuskan militen Islam di wilayah itu kerana dituduh jadi sekutu rapat al-Qaeda di Asia Tenggara.Akibatnya, mulai saat itu selatan Filipina pun mula bergolak dan sering bermandi darah.

Akibatnya empat siri pengeboman berlaku di Indonesia - di Bali pada 12 Oktober 2002 dan 1 Oktober 2005 dan di Jakarta pada 5 Ogos 2003 dan 9 September 2004 – di mana sasarannya adalah warga asing dan kepentingan asing. Seluruh keganasan ini kononnya angkara Jemaah Islamiah (JI). Akibatnya, hingga ke hari ini wilayah Islam di selatan Thailand juga terus bermandi darah kononnya angkara PULO.

Medan tempur PAG yang ketiga adalah di Asia Barat. Maka, mulai 19 Mac 2003, tentera AS dan sekutunya pun menyerang dan menjajah Iraq, kononnya untuk menumpaskan negara itu yang didakwa mempunyai WMD.Hingga ke hari ini tiada satu pun WMD ditemui di Iraq. Tetapi, Iraq sudah pun menjalani pertukaran rejim, Saddam Hussein sudah dihukum gantung sampai mati, puak syiah dan sunni terus bertelagah dan rakyat jelatanya terus bermandi darah.

Pada malam 26 November 2008, beberapa siri pengeboman dan tembak menembak berlaku di dua hotel antarabangsa serta beberapa lokasi strategik di Mumbai, India, di Asia Selatan. 160 orang dikatakan terkorban dan lebih 300 lagi cedera parah.Dengan sekelip mata, jentera propaganda barat pun menuduh bahawa keganasan itu adalah angkara sebuah pertubuhan Islam yang dikenali sebagai Deccan Mujahidin.Maka, soalnya di sini, adakah tragedi di Mumbai ini akan mendorong AS dan sekutunya menjadikan Asia Selatan sebagai medan tempur PAG yang keempat.

Jika hakikatnya demikian, maka seluruh wilayah Islam di benua Asia – Asia Tengah mulai Oktober 2001, Asia Tenggara mulai Januari 2002, Asia Barat mulai Mac 2003 dan Asia Selatan mulai November 2008 – pun menjadi medan tempur ciptaan AS.Dengan itu, negara atau wilayah Islam manakah yang akan jadi sasaran khusus PAG menerusi pembukaan medan tempur di Asia Selatan ini kelak? Pakistan atau Khasmir? Atas alasan apa pula medan tempur ini dibuka?Akhir sekali, kita perlu insaf bahawa PAG adalah peperangan yang dilakukan oleh AS dan sekutunya secara preemtif, tanpa restu PBB, tanpa musuh yang jelas dan tanpa alasan yang serupa.

Pada waktu yang sama, jangan mudah kita terpengaruh bahawa seluruh keganasan yang mengiringi kewujudan medan tempur PAG sejak 2001 hingga sekarang, atau keganasan yang berlaku setelah pembukaan sesuatu medan tempur PAG, adalah angkara teroris Islam yang kononnya bersekutu dengan al-Qaeda.

Webster Griffin Tarpley dalam bukunya 9/11 Synthetic Terror telah merumuskan bahawa seluruh keganasan yang kononnya dilakukan oleh teroris Islam antarabangsa sejak 2001 hingga hari ini adalah angkara teroris upahan yang melaksanakan operasi bendera palsu bagi pihak pelbagai agensi perisikan barat semata-mata untuk memfitnahkan umat Islam.

Sebab itulah berpuluh-puluh lagi buku mengenai PAG dan Tragedi 911 hari ini merumuskan bahawa PAG bukannya untuk membanteras keganasan teroris Islam, tetapi peperangan yang dilaksanakan untuk memudahkan teroris upahan melakukan keganasan bagi membolehkan kuasa barat tertentu mencapai agenda rahsianya di wilayah yang menjadi medan tempur PAG.

Apa pun Noam Chomsky dalam bukunya Hegemony Or Survival: America’s Quest For Global Dominance pernah mengatakan bahawa di sebalik sesuatu peperangan adalah tersembunyi pelbagai agenda, termasuklah matlamat mengembangkan industri dan perniagaan yang berkaitan dengan peperangan itu sendiri.Maka, mungkinkah ini antara agenda rahsia di sebalik PAG di abad ke-21? Mungkin benarkah antara lain-lain agenda PAG adalah usaha mewujudkan semula hegemoni ketenteraan, Fikir-fikirkanlah dengan sepenuh keinsafan!

– diposkan daripada Tehran, Iran

0 comments: