Sunday, November 9, 2008

Saingan lapan penjuru rebut jawatan Naib Presiden

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Perebutan tiga tempat untuk jawatan Naib Presiden UMNO akan menyaksikan persaingan lapan penjuru pada pemilihan parti Mac depan, selepas 186 daripada 191 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan hari ini.

Terbaru, dua lagi calon yang telah layak pada hari terakhir persidangan perwakilan bahagian hari ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Kedua-dua mereka mengiringi enam lagi calon yang melepasi kelayakan bertanding jawatan tersebut iaitu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Sementara itu, Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik masih mempunyai harapan untuk melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan ini.

Beliau mengharapkan empat lagi pencalonan daripada lima bahagian yang ditangguhkan persidangan iaitu Tenom, Pengkalan Chepa, Tanah Merah, Seremban dan Larut.

Abdul Rahim menerima tiga pencalonan lagi daripada bahagian Kelana Jaya, Lembah Pantai dan Bayan Baru untuk mengumpul 16 pencalonan.

Sementara itu, Jamaluddin layak selepas menerima tujuh lagi pencalonan pada hari ini daripada bahagian Temerloh, Ampang, Hulu Selangor, Lembah Pantai, Kuala Lipis, Sungai Siput dan Kota Marudu untuk menjadikan jumlah sebanyak 26 pencalonan.

Begitu juga dengan Rais mendapat lapan pencalonan baru untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26.

Beliau menerima pencalonan daripada bahagian Putatan, Rembau, Temerloh, Ampang, Kelana Jaya, Tenggara, Putrajaya dan Kudat.

Hishammuddin terus unggul sebagai calon tertinggi untuk jawatan ini apabila menambah 16 pencalonan lagi dan keseluruhan mendapat 151, diikuti oleh Ahmad Zahid menerima 11 lagi pencalonan untuk mengumpul 106.

Empat lagi calon yang turut menerima pencalonan ialah Mohd. Shafie (81), Mohamed Khaled (72), Syed Hamid (70) dan Mohd. Isa (27).

Calon-calon lain yang bertanding jawatan sama tetapi tidak layak ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (dua), Tan Sri Annuar Musa (dua), Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Halimah Mohamad Sadique, Datuk Dr. Affifuddin Omar dan Datuk Seri Adnan Yaakob masing-masing mendapat satu pencalonan.

0 comments: