Monday, November 17, 2008

Politik Melayu Mesti Diperkukuh

By: Ramjit-->
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata politik Melayu mesti diperkukuhkan menerusi bilangan mereka yang banyak bagi mengelak daripada terus diaib dan dicemuh oleh bangsa lain.

Beliau berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu seolah-olah bangsa tersebut sudah hilang maruah dan punca."Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka."Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing," katanya dalam ucaptama pada program wacana isu perundangan dan hak-hak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn, di sini.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata orang Melayu perlu mengenal sejarah bangsa untuk dijadikan panduan perjuangan politik mereka."Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya atau Land of the Malays," katanya.

Beliau berkata perkara itu sama seperti India dikenali sebagai negara bagi orang berketurunan India dan China bagi mereka yang berbangsa Cina atau orang Arab di Timur Tengah yang negaranya dikenali sebagai Arab Saudi.Rais berkata struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.Katanya, apa yang dianggap sebagai ketuanan Melayu sebenarnya adalah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu.

"Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan jiwa keMelayuan," kata beliau.Bangsa Melayu juga, katanya, perlu mengenal pasti kelemahan politik dan ekonomi serta mengatasinya dengan muhasabah diri.Beliau berkata, kenyataan mengenai ketuanan Melayu tidak boleh dibuat secara kosong atau egopolitik kerana keistimewaan itu perlu dilampini dengan kebolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

"Bila kita kuat, barulah kita boleh kata kita tuan. Perkara ini perlu diperhalusi dan seseorang pemimpin Melayu perlu menunjukkan kebolehan serta kekuatan dalam politik."Tetapi jika ada pemimpin Melayu masih membeli undi untuk naik maka sampai bila-bila pun kita tidak akan kuat dan dihormati sebagai tuan di tanah air sendiri," katanya.

Rais berkata sehubungan itu, politik Umno sebagai parti kaum Melayu perlu dirobah dan Fasal 3 Perlembagaan parti (Asas dan tujuan) tersebut perlu dihayati kerana terkandung agenda Melayu yang sebenarnya.Selain itu, beliau berkata, orang Melayu juga perlu mewujudkan lapisan muda yang berilmu dan berbudaya Melayu."Dalam perlembagaan, takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas, pertama, seseorang itu hendaklah menganut agama Islam, kedua bercakap dalam bahasa Melayu secara lazim dan ketiga, menurut atau mengamalkan adat istiadat Melayu," katanya.

Rais juga berkata orang Melayu perlu menolak nisbah "sekurang-kurangnya 30 peratus" dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.Selain itu, katanya, semua dasar berkaitan Melayu dan pribumi serta Islam perlu diputuskan terlebih dahulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan."Dalam hal ini, Umno perlu ke depan dan memainkan peranan bagi menyatu padukan orang Melayu dengan mencari faktor-faktor kesamaan antara mereka seperti agama Islam, kebudayaan dan kuasa tradisi," katanya.

Selain itu, Rais berkata orang Melayu perlu menghindari perkara-perkara yang mampu melemahkan imej mereka."Pada ketika ini, Umno ibarat ayam dalam raga. Orang lain yang berada di luar hanya memerhatikan siapa yang cedera, terkorban atau yang kena sembelih," katanya.Beliau berkata di sebalik polemik yang berlaku pada masa ini, perkara positif yang timbul ialah tindakan Raja-Raja Melayu yang tampil ke hadapan memberi bantuan ketika diperlukan."Mungkin Raja-Raja Melayu berasa terpanggil untuk berbuat demikian dan kita amat menghargainya.

Tindakan Raja-Raja Melayu ini juga nampaknya diterima oleh pengamal politik di negara ini," katanya.Rais turut mengesyorkan sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar yang dijamin pantas dan saksama bagi mengekang pihak-pihak tertentu daripada terus mempertikaikan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu.

-- BERNAMA

0 comments: