Thursday, November 20, 2008

Mukhriz: Saya tak minat jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya dipilih menerajui pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Katanya, pendirian itu dibuat kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang.

Katanya, lantikan dalam Kabinet dikhuatiri akan mengalihkan perhatian beliau untuk melakukan yang terbaik buat parti terlebih dahulu.

"Yang itu berat (anggota Kabinet), yang ini tak kurang berat (Ketua Pemuda), kalau nak buat dua dua payah sikit.

"Bukan kerana saya rasa saya tidak mampu tetapi saya mahu beri masa dan tumpuan untuk meyakinkan semula rakyat di lima negeri dan tempat lain yang kita kalah," katanya pada sidang akhbar Anugerah Francais Malaysia 2008 di sini hari ini.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mendesak pengurusan parti supaya bertindak tegas terhadap calon-calon pemilihan parti yang mengamalkan politik wang.

Katanya, jumlah aduan politik wang yang diterima Lembaga Disiplin terlalu tinggi apabila telah melebihi 1,000 aduan walaupun UMNO hanya mempunyai 191 bahagian.

0 comments: