Sunday, November 9, 2008

Lima UMNO bahagian gagal bersidang

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Lima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara didapati gagal untuk mengadakan persidangan setelah tempoh yang ditetapkan berakhir hari ini.

Bahagian tersebut ialah dua di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pengkalan Chepa dengan selebihnya masing-masing satu di Perak iaitu Larut, Tenom di Sabah dan terakhir bahagian Seremban.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bahagian-bahagian tersebut akan diberi tarikh baru bagi mengadakan persidangan masing-masing.
Katanya, buat masa ini, tarikh tersebut belum ditetapkan dan ia kebiasaannya akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Apa pun, kita akan teliti secara terperinci laporan berhubung masalah yang dihadapi bahagian-bahagian tersebut sebelum tarikh baru diberikan kepada mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tempoh 9 Oktober hingga hari ini sebagai tarikh persidangan perwakilan 191 bahagian di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menjelaskan, mana-mana UMNO bahagian yang didapati bermasalah masih boleh meneruskan persidangan masing-masing meskipun selepas tarikh akhir hari ini.

UMNO Bahagian Tanah Merah yang sepatutnya bersidang semalam terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat perintah mahkamah.

Seorang ahli jawatankuasanya, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu Rabu lalu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda bahagian itu, Ikmal Hisham Abdul Aziz menyertai persidangan bahagian itu.

0 comments: