Sunday, November 2, 2008

Khir Toyo pintas Khairy

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang semalam berada dalam kedudukan seri dengan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bagi pencalonan jawatan Ketua Pemuda UMNO hari ini berjaya memintas Ahli Parlimen Rembau itu dengan kelebihan tiga pencalonan.

Beliau yang sebelum ini menjadi calon terakhir melayakkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO hari ini mendapat pencalonan dari Kudat, Sungai Besar dan Pengerang, menjadikan jumlah 54 pencalonan.

Khairy kekal dengan 51 pencalonan apabila kelima-lima Pemuda bahagian yang bersidang hari ini tidak mencalonkannya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir terus berada pada kedudukan teratas dengan 71 pencalonan termasuk dua yang diterima petang ini dari Temerloh dan Kangar.
Seorang lagi calon iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menarik diri pada 23 Oktober lalu kekal dengan satu pencalonan.

Jawatan Naib Ketua menyaksikan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim kekal tempat teratas dengan 88 pencalonan. Razali mendapat tiga pencalonan terbaru dari Temerloh, Kangar dan Pengerang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Reezal Merican Naina Merican kekal pada kedudukan kedua tertinggi dengan 79 pencalonan termasuk dua yang diterimanya dari Kudat dan Sungai Besar.

Jumlah minimum diperlukan untuk layak bertanding jawatan Ketua Pemuda ialah 39 pencalonan manakala Naib Ketua 29 pencalonan.

Setakat ini, 177 daripada 191 Pemuda bahagian telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sejak 9 Oktober lalu.

0 comments: