Sunday, November 2, 2008

Amalan Berpuak Dalam Umno Timbulkan Perpecahan

By: Ramjit-->

BAGAN DATOH, 2 Nov (Bernama) -- Amalan berpuak-puak dalam Umno tidak wajar digalakkan kerana ia boleh menimbulkan perpecahan kepada parti, kata anggota Majlis Tertingginya Datuk Mustapa Mohamed.Katanya beliau amat kecewa amalan berkenaan masih ada dalam usaha untuk memantapkan kedudukan parti selepas pilihan raya umum lepas dan menjelang pemilihan Umno Mac depan.

"Kekalahan kita di lima negeri dalam pilihan raya lalu harus dijadikan iktibar untuk memantapkan kedudukan parti kerana itu amalan berpuak-puak akan memberi kesan buruk kepada parti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan nelayan di sini, Ahad.Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata Umno hanya ada satu puak yang mampu menguatkan parti.

Mengenai amalan politik wang pula, beliau menyeru anggota Umno menentang habis-habisan gejala itu kerana ia akan menjejaskan imej parti sekaligus menghakis keyakinan rakyat terhadap Umno.Mustapa meminta semua anggota Umno patuh kepada arahan Majlis Tertinggi yang membuat ketetapan menentang amalan politik wang seperti amaran yang dikeluarkan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut membenarkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibenarkan menyiasat kes politik wang menjelang pemilihan Umno.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Samad berpendapat amalan berpuak-puak merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti politik tetapi yang penting setiap anggota bertaut semula setelah selesai musim pemilihan."Pihak yang menang dan kalah jangan menyimpan rasa dendam sebaliknya mereka harus bersatu untuk mengukuhkan perpaduan dalam parti," katanya kepada pemberita di mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan di sini.

Mengenai politik wang, Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut menyokong usaha BPR untuk membanteras gejala itu dan ia harus diberi kerjasama oleh semua pihak."Menjadi tugas BPR untuk memantau kegiatan politik wang dalam Umno malah tidak menjadi halangan untuk mendakwa individu yang terbabit perbuatan yang tidak bermaruah itu," katanya.Shahrir berkata sebagai parti yang mempunyai integriti dan maruah, Umno perlu patuh kepada peraturan dan undang-undang sekiranya didapati bersalah serta dikenakan tindakan.

-- BERNAMA

0 comments: