Sunday, November 23, 2008

RAFIDAH


Di dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal malah dalam politik juga tidak pernah ada istilah perjanjian abadi, apatah lagi bagi tukan suatu kedudukan yang berkaitan rapat dengan soal kekuasaan. Mungkin inilah yang berlaku dalam Pergerakan Wanita UMNO sekarang apabila ia bakal menyaksikan pertembungan dua pemimpin iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abd.Jalil yang selama ini bukan sahaja sahabat dan kawan dalam politik malah tinggal berjiran di kawasan perumahan yang sama di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pelan peralihan kuasa yang sejak awal lagi dilihat janggal dan dimeterai pada 4 Ogos lalu akhirnya hanya menjadi catatan mesyuarat. Jika mengikut pelan berkenaan, Rafidah akan menyerahkan kuasa Ketua Wanita kepada Shahrizat pada Jun 2009 tetapi pencalonan bahagian-bahagian yang bermula akhir Oktober lalu mengubah segala-galanya.

Kini mereka akan bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan Ketua Wanita. Dalam pertemuan berasingan dengan Mingguan Malaysia, kedua-dua pemimpin itu memberi pandangan masing-masing berhubung kemelut yang berlaku.

Di Tingkat 37, Menara Dato’ Onn, Rafidah menjelaskan kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan NORAINI ABD. RAZAK kenapa beliau akhirnya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan manakala di Bukit Damansara pula, Shahrizat menerangkan kepada AZMAN ANUAR dan ROSNI HASSAN kedudukan sebenar kenapa beliau memilih untuk mencabar ketuanya itu.

Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Wanita UMNO.
Hanya sahut cabaran

MinGGUAN:
Sejak awal lagi ada pandangan yang menyatakan hakikatnya pelan peralihan yang dilakukan tidak diterima, apa pandangan Tan Sri?
RAFIDAH:
Pada 4 Ogos lalu, kita mencadangkan satu proses peralihan jawatan memandangkan Perhimpunan Agung UMNO pada masa itu masih ditetapkan pada Disember. Saya kata kalau jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak ditandingi, saya dan Shahrizat akan memegang jawatan sehingga Jun dan pada bulan berkenaan saya akan menyerahkan jawatan itu bagi membolehkan beliau memangku jawatan sehingga penggal berakhir.

Itu telah saya kemukakan kepada ramai pemimpin termasuk di hadapan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Malah ia juga turut dibincangkan dalam mesyuarat exco dan pertemuan empat mata dengan Shahrizat. Sepanjang tempoh itu hingga 9 November tidak ada apa- apa bantahan, bahkan semuanya bersetuju dan menyokong malah Shahrizat sendiri bukan sahaja menyokong tetapi juga mengatakan dia tidak akan bertanding sungguhpun dicalonkan.

Walaupun pencalonan menyaksikan saya mendapat 118 pencalonan untuk memegang jawatan sehingga Jun dan ada juga bahagian yang menyokong beliau untuk bertanding ketua tetapi hakikatnya lebih ramai yang inginkan peralihan berjalan.

Justeru bagi saya tidak timbul soal orang tak terima kerana tidak pernah dengar apa-apa bantahan. Saya hairan kenapa selepas semua yang bertanding cukup pencalonan barulah timbul desakan untuk mempercepatkan peralihan kepada Mac. Kalau Mac maknanya bukanlah peralihan tetapi menyerah bulat-bulat jawatan tanpa bertanding kepada Shahrizat.

Tetapi kenapa Tan Sri begitu hendak mempertahankan tempoh tiga bulan tersebut seolah-olah ada agenda tersembunyi?

RAFIDAH: Saya ada sebab yang sangat besar untuk memberi masa, bukan tiga bulan sebenarnya tetapi enam bulan jika Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada Disember tahun ini. Orang kata apalah tiga bulan. Saya nak kata sikap seperti inilah yang menghancurkan parti. Dalam masa 13 hari pilihan raya kita boleh ditumbangkan di lima negeri dan dalam masa itu juga rakyat menolak kita malah Shahrizat sendiri kalah. Inilah sikap yang mengatakan apalah tiga bulan. Saya hendak beritahu, tiga bulan itulah yang akan menentukan sama ada kita akan kalah atau menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Ini kerana hasrat saya ialah jika pelan peralihan dipersetujui, dalam tiga bulan selepas Perhimpunan Agung UMNO saya akan pergi ke akar umbi dan berjumpa Wanita Bahagian dan menyediakan kerangka kerja untuk pilihan raya umum supaya apabila Shahrizat mengambil alih beliau tidak terawang-awang.

Apakah ini bermaksud Tan Sri tidak mempercayai kewibawaan Shahrizat untuk melakukan tugas itu?

RAFIDAH:
Bukan tak percaya, kawasan dia pun dia kalah, habis itu macam mana? Minta maaf cakap, saya cakap tak pandai depan lain, belakang lain. Ini masa krisis, ini bukan masa pilihan raya kita menang landslide victory. Kalau menang besar ambillah, saya pun tidak hairan, tetapi ini masa genting, hari-hari kita diasak di Parlimen oleh pembangkang, hari-hari kerajaan negeri pembangkang buat macam-macam kerja dan kita menghadapi masalah amat besar menyediakan pasukan untuk PRU Ke-13.

Jangan sesekali siapa pun menidakkan tiga bulan atau kata apalah tiga bulan. Inilah sebabnya kita kalah di Lembah Pantai, inilah sebabnya kita kalah di lima negeri, sebab sikap ‘apalah tiga bulan’. Dalam tiga bulan ini saya berazam untuk turun ke bawah, tetapi sekarang ini tidak timbullah tiga bulan, kalau diizinkan Allah dan dengan sokongan Wanita saya akan teruskan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Tidakkah tindakan memberi Shahrizat memangku jawatan sebagai tindakan tidak adil kerana ia akan menyukarkan peranan beliau?

RAFIDAH:
Inilah saya hairan kenapa perkataan memangku ini dimain-mainkan kerana kalau kita tengok sejarah, dulu pada tahun 1976 Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn memangku jawatan Presiden selama setahun sembilan bulan. Berbanding memangku jawatan Presiden dan Perdana Menteri, memangku jawatan Ketua Wanita UMNO tidak ada portfolio, mesyuarat pun dua tiga bulan sekali. Yang buat kerja ialah Wanita di bawah, kita sebagai koordinator di atas, kita ada exco, kita ada biro dan kita ada negeri. Dalam soal memangku ada dalam Perlembagaan mengatakan boleh memangku.

Malah dalam Pemuda UMNO sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah memangku Ketua Pemuda selama dua tahun selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah pun Hishammuddin merungut. Kalau Wanita UMNO remeh temehkan nama jawatan, padahnya menanti dalam pilihan raya akan datang. Kita harus mementingkan kerja, saya bukan menteri tetapi saya bekerja macam menteri juga termasuk berbincang dengan komponen BN. Apalah ada pada nama pemangku ke tidak.

Ada juga berpendapat kalau memangku agak sukar untuk mempengerusikan mesyuarat Wanita BN?

RAFIDAH:
Saya pun hairan juga macam mana agak Tun Hussein Onn menjadi Pengerusi BN waktu dia memangku Presiden UMNO. Sebenarnya tidak ada masalah, Presiden UMNO sama ada memangku atau tidak adalah Pengerusi BN dan Shahrizat sebagai pemangku Ketua Wanita UMNO, tidak ada masalah, beliau akan menjadi Pengerusi Wanita BN. Ini kerana perkataan memangku cuma dari segi nama, hakikatnya beliau adalah ketua. Takkan beliau tidak faham tetapi tak apalah saya kena terangkan dan Naib Ketua BN bukannya Naib Ketua Wanita UMNO, Naib Ketua Wanita BN ialah semua ketua parti komponen.

Apakah mungkin Tan Sri mempertahankan tempoh tiga bulan itu kerana menaruh harapan untuk kembali ke Kabinet?

RAFIDAH:
Orang yang berpandangan macam ini saya minta beristigfar banyak-banyak. Jangan nilai orang lain dengan nilai diri sendiri, kalau mereka yang agaknya nak sangatkan jawatan. Saya tengok Wanita UMNO di peringkat bawah tiada yang riuh rendah mahukan jawatan. Saya terima hakikat bahawa saya orang pencen. Saya gembira sebagai orang pencen bahkan kalau jadi ketua lagi saya ada banyak masa untuk tumpukan kepada UMNO.

Saya kata awal-awal lagi sewaktu saya meninggalkan MITI, saya sangat bersyukur kerana sudah menjadi menteri selama 28 tahun, kalau Tuhan kata setakat itu rezeki, maka saya terimalah pencen bulan-bulan. Saya masih ahli Parlimen dan diberi kekuatan, maka tidak terlintas di kepala saya kembali ke Kabinet. Kalau saya teringin jadi menteri Kabinet buat apa saya buat pelan peralihan? Buat apa saya tawar awal-awal untuk berhenti Jun? Sudah tentulah awal-awal saya kata saya takkan berhenti. Sebab itu saya kata niat itu mustahak tapi kalau kita cakap macam ini tentu orang tak percaya, yang mustahaknya Allah percaya, Allah mengetahui.

Cuba fikir, logik atau tidak pada Ogos saya kata nak serah Jun, pada masa itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum beliau akan pegang jawatan sampai 2010, saya dah tawar Jun 2009, adakah itu nak jawatan Kabinet? Kalau itulah saya pun akan tetapkan 2010 supaya matchinglah. Saya dah nekad hendak serah jawatan pada 2009. Ini kerana saya tahu ada kerja harus dibuat memandangkan keadaan parti berbeza dari dulu, begitu juga keadaan negara yang memerlukan Wanita sebagai tulang belakang UMNO bekerja betul-betul. Bagi saya tugas itu banyak, masa enam bulan itu saya akan isi dengan buat kerja, dan sebahagian dari masa itu untuk BN.

Faham- faham la BN sekarang bukan macam BN dulu, saya kena selesaikan di peringkat Wanita BN kerana buat masa ini saya anggota Dewan Kerja Tertinggi BN. Saya sudah nyatakan dalam mesyuarat exco, sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO, saya, Shahrizat dan kawan-kawan akan turun padang berjumpa dengan semua Wanita negeri untuk menetapkan kerja apa hendak dibuat. Pemulihan UMNO memerlukan pemulihan semangat dan saya rasa kita sama-sama mem bantu memulihkan semangat masing-masing. Itulah sebabnya masa enam bulan dan lepas itu Shahrizat ambil alih. Jika itu tidak diterima dan dicabar maka terpaksalah. Saya tidak mencabar dan saya tidak sepatah pun bercakap, saya hanya menyahut cabaran kerana saya mendapat 118 bahagian beri pencalonan, ia bukan sedikit.

Tetapi sudah ada bahagian yang sebelum mencalonkan Tan Sri telah mengalihkan sokongan mereka?

RAFIDAH:
Tidak tahulah, mungkin mereka tidak ikhlas, saya tak tahu. Kita tidak usah kaji apa yang dah berlaku, kita tunggu 24 Mac di situ perwakilan menentukan siapa pemimpin. Buat apa kita nak debat dan berpolemik. Saya dah dicabar kerana saya ada pencalonan yang banyak, lebih daripada Shahrizat maka saya terpaksa menghargai proses demokrasi, yang dua tiga yang lari itu tidak apalah. Bagi saya kalau proses peralihan tidak dihormati, maka bertandinglah kita.

Ada dakwaan yang menyatakan terdapat bahagian yang menerima surat arahan agar mencalonkan Tan Sri.

RAFIDAH:
Kalau itu dakwaan mereka tunjukkan kepada saya surat arahan tersebut. Itu semua adalah fitnah. Saya hairan dengan dakwaan seumpama ini, oleh itu saya hendak minta melalui media jangan jadikan fitnah sebagai asas untuk berlawan.

Apabila ada pertandingan pasti akan berlaku perpecahan, bagaimana Wanita hendak mengendalikan keadaan ini?

RAFIDAH:
Itu terpulang kepada pemimpin dan ahli- ahli Wanita sendiri. Kalau dalam pemilihan ini mereka berkempen bermati-matian, kata mengata, fitnah memfitnah dan tersinggung hati maka akan berlakulah perpecahan, tetapi kalau kita berkempen dengan hasrat untuk menentukan ketua dan kemudiannya bersatu semula di bawah ketua, maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

Sejarah UMNO membuktikan, pencalonan yang banyak bukan jaminan seseorang calon itu boleh menang dalam pemilihan, apa pandangan Tan Sri?

RAFIDAH:
Tidak apa, saya terima hakikat itu, tetapi yang menandakan boleh bertanding atau tidak ialah pencalonan. Kita tidak boleh nak ramal hati manusia dan jangan lupa kita orang Islam penentuannya adalah Allah SWT. Buat apa kita hendak analisis banyak-banyak. Mengapa tidak kita kata yang menentang pada hari ini berbalik pula ke pangkal jalan menyokong saya. Oleh itu kita tunggu 24 Mac. Jangan pandang sebelah saja, mana kita nak tahu yang menyokong Shahrizat itu akan terus menyokong dia.

Tindakan terlalu beria-ia untuk terus mempertahankan jawatan akan dilihat Tan Sri seorang yang gila kuasa?

RAFIDAH:
Kalau gila kuasa bertanding teruslah dari awal, buat apa nak buat pelan peralihan kuasa. Cuba orang yang buat analisis fikir. Kalau gila kuasa tak tersentuh di kepala saya nak buat pelan peralihan.

Benarkah dakwaan bahawa pelan peralihan yang dilakukan adalah langkah Tan Sri untuk menghalang pemimpin tertentu bertanding?

RAFIDAH:
Saya tidak meragui sesiapapun hendak masuk Wanita tetapi saya tahu kalau ada orang berlawan naib ketua dan ketua serentak, kita sesama sendiri akan bercakaran. Saya cuma syorkan peralihan kuasa, kalau tak bersetuju cakap, boleh kita batalkan tak ada masalah, ini bukan benda yang termaktub, kalau dari awal kata ini tidak elok dan tidak perlu dilakukan, semua boleh bertanding, tidak menjadi masalah. Cuma saya mengingatkan ini situasi luar biasa, kalau UMNO gagah perkasa dan menang di semua tempat, kita tidak cakap tentang peralihan kerana pada masa itu peralihan pucuk pimpinan pun tidak akan berlaku.

Ada kawan-kawan kata kenapa nak buat peralihan, teruskan saja. Saya kata saya insaf, saya ni 65 tahun, Shahrizat pun kata dia dah umur 55, dalam exco pun dia kata, sudah jadi naib ketua selama lapan tahun, bila begitu saya pun terasa juga. Saya dengar juga ada segelintir Wanita kata buat apa nak sokong kak Rafidah, dia bukan menteri lagi.

Baru-baru ini seorang ketua Wanita bahagian menganggap saya Quran buruk, bila dah macam itu saya pun insaflah, demi parti saya akan buat kerja enam bulan dan setelah semuanya disusun dengan elok maka saya akan serahkan jawatan.

Kenapa awal-awal Tan Sri menamakan Shahrizat sebagai pengganti, apakah kerana beliau Naib Ketua atau memang layak menjadi Ketua Wanita?

RAFIDAH:
Sebab dia naib ketua, saya biasanya tak nak melangkah bendul, itu tradisi dalam UMNO, kena ikut tradisi UMNO. Tambahan pula dia pun kata dia dah lapan tahun jadi naib ketua, memang tradisi kita.

Tidakkah tindakan menamakan Shahrizat adalah satu perbuatan menghalang demokrasi kerana ia akan menyekat orang lain untuk bertanding?

RAFIDAH:
Memang betul, tetapi perkara ini dipersetujui kerana keadaan UMNO yang sekarang ini gawat. Semasa tidak gawat dulu saya ditandingi Dr. Siti Zaharah dan kalah, tak ada masalah. Cuba fikir senario yang lebih besar, jangan tengok jawatan ketua, tengok dalam konteks UMNO dan negara. UMNO tergugat hari ini percayalah cakap saya. Saya dah cakap, Shahrizat sendiri fikirlah, Lembah Pantai pun dia kalah, saya cakap dengan ikhlas sebab saya risau, satu kerusi Parlimen kalah, kurang satu majoriti kita di Parlimen. Hasrat kita ialah hendak menang balik, untuk itu kenalah tumpu pada kerja bukan kepada keadaan memangku tak memangku.
Bagaimana pula hubungan Tan Sri dengan Kamilia yang kini sudah pasti akan menjadi Naib Ketua Wanita?
RAFIDAH: Saya dan beliau tidak ada apa-apa masalah. Kamilia adalah Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar, malah beliau turut mencalonkan saya. Oleh itu tidak perlu kita membuat tafsiran sama ada hubungan saya dan beliau akan renggang atau tidak. Semua pemimpin dan ahli Wanita adalah anak buah saya, cuma yang saya tidak tahu ialah perasaan mereka terhadap saya.

Kalau menang, adakah ia bererti Tan Sri akan terus memimpin Wanita?

RAFIDAH:
Sebelum ini, saya sudah membuat tawaran untuk berkhidmat sehingga Jun dan menyerahkan jawatan berkenaan secara elok kepada pengganti saya, tetapi saya dicabar justeru saya perlu bertanding dan kalau menang ia melibatkan tempoh sepenggal.

Keputusan bertanding juga menunjukkan Tan Sri ingin terus berkuasa dalam Wanita?

RAFIDAH:
Ini bukan keinginan saya, ia keinginan orang hendak melawan saya. Sampai saat akhir saya tidak bercakap sepatah pun, saya masih dengan pelan peralihan. Apabila keluar kenyataan kata nak lawan saya. Ini maknanya nak rebut jawatan bukan nak buat kerja, jadi sungguhpun lutut saya baru berganti lutut besi, saya gagah juga, jadi tak terdesaklah dalam enam bulan hendak buat kerja. Bolehlah kita phase out lepas ini insya-Allah kalau menang, kalau tak menang itu kuasa tuhan. Kita bertanding.

0 comments: