Friday, November 28, 2008

Abdullah Harap Siasatan Politik Wang Dalam Umno Selesai Sebelum Mac

By: Ramjit-->
PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap siasatan Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac depan agar mereka yang bersalah boleh digugurkan daripada bertanding.

Perdana Menteri berkata langkah itu boleh memastikan pentadbiran parti berjalan lancar."Sekiranya seseorang yang sudah dipilih untuk memegang sesuatu jawatan dan selepas itu baru didapati bersalah dan jawatan itu terpaksa dikosongkan, ia akan merugikan parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata walaupun beliau mahu siasatan itu cepat, ia perlu dijalankan dengan rapi dan keputusan yang betul dibuat.Katanya mereka yang bersalah kerana terbabit dalam politik wang tetap akan dilucutkan jawatan sekiranya keputusan siasatan hanya diketahui setelah mereka memegang jawatan.

Beliau berkata Badan Pencegah Rasuah masih boleh menyiasat sekiranya wujud unsur-unsur rasuah membabitkan mereka yang bertanding.
-- BERNAMA

0 comments: