Sunday, November 2, 2008

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Silam Berakhir Selepas 24 Jam

By: Ramjit-->
LAHAD DATU, 2 Nov (Bernama) -- Persidangan perwakilan Umno bahagian Silam yang menyaksikan semua jawatan termasuk anggota jawatankuasanya dipertandingkan berlangsung selama 24 jam sebelum berakhir tanpa kejadian tidak diingini pagi ini.Persidangan bahagian dengan 980 orang perwakilan itu bermula pada kira-kira pukul 9 pagi semalam dan hanya berakhir pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Persidangan yang boleh dikatakan paling lama setakat ini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dicalon untuk jawatan presiden dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden.Muhyiddin dicalon melalui undian secara sulit setelah keputusan awal Umno bahagian itu yang mencalonkan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ditolak perwakilan.

Cadangan awal Umno bahagian itu untuk mencalonkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Rahim Tambi Chik dan Datuk Jamaluddin Jarjis untuk jawatan naib presiden juga ditolak perwakilan.Perwakilan, juga melalui proses undi sulit sebaliknya memilih Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zahid Hamidi dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk dicalonkan sebagai naib presiden Umno.

Sementara itu, persidangan yang dirasmikan bekas pemangku Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Samsu Baharun Ab Rahman itu menyaksikan anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dipilih sebagai ketua bahagian selepas menewaskan empat calon lain termasuk anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi.Umno Silam turut mendapat timbalan ketua Umno bahagian yang baru apabila anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tunku Datuk Mohd Suhaili Said menewaskan enam pencabar lain.

-- BERNAMA

0 comments: