Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KOTA BHARU 2 Nov. - Tiga muka baru telah dipilih untuk menerajui kepimpinan di peringkat bahagian dalam persidangan perwakilan UMNO bahagian-bahagian yang berlangsung di negeri ini semalam.
Mereka termasuk Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh bagi bahagian Kota Bharu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat (Pasir Mas) manakala Abdullah Mat Yassim (Rantau Panjang).
Di Kota Bharu, Mohamad Fatmi diumumkan memenangi jawatan itu tanpa bertanding setelah Datuk Zaid Ibrahim yang mempertahankan kedudukannya tidak mendapat pencalonan mencukupi.
Bekas Naib Ketua, Datuk Wan Ab. Ghani Wan Yusuf turut memenangi jawatan timbalan ketua manakala seorang muka baru, Datuk Shahrin Datuk Zahari bagi naib ketua, juga tanpa dicabar.
Sementara, Abdullah pula diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Zain Ismail digantung keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti selama tiga tahun.
Mohd. Zain yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku disabitkan kesalahan melakukan sabotaj terhadap parti.
Bekas ADUN Gual Periuk, Datuk Shaari Mat Husin turut memenangi jawatan timbalan ketua tanpa bertanding manakala Mat Daud Hamat dipilih sebagai naib ketua setelah menewaskan Syed Abdul Aziz Syed Abdullah dengan kelebihan satu undi.
Tewas
UMNO Bahagian Pasir Mas pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Hanafi dan bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad setelah ketua bahagian sebelum ini, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman tidak mempertahankan jawatan.
Dalam pertandingan itu, Hanafi yang dahulunya adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian memenangi jawatan tersebut dengan mendapat 376 undi manakala bekas ADUN Tendong, Fauzi memperoleh 162 undi.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian terbabit juga menyaksikan perubahan dengan Che Johan Che Pa dan Abdul Aziz Mohamad masing-masing dipilih bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas; Che Johan yang merupakan bekas naib ketua menewaskan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 101 undi manakala Abdul Aziz bersaing dengan tiga lagi calon, Che Kamaruzaman Harun, Datuk Dr. Wan Shuhaimi Daud dan Razali Ismail.
Bagi UMNO Bahagian Gua Musang yang turut mengadakan persidangan perwakilannya semalam, Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah terus kekal sebagai ketua tanpa dicabar.
Bagi jawatan timbalan dan naib ketua iaitu bekas ADUN Galas, Mohamad Saufi Deraman dan Shaari Lembut yang cuba mempertahankan jawatan dikalahkan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.
Mat Yusoff menang dengan majoriti 33 undi manakala Nozula pula majoriti sembilan undi.
Sunday, November 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment