Sunday, November 9, 2008

Perwakilan Seremban ‘bertempur’

Oleh ainol amriz ismail
SEREMBAN 9 Nov. – Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Seremban bertukar menjadi ‘medan tempur’ hari ini apabila perwakilan bertumbuk, membaling kerusi dan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyebabkan dua orang tercedera.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bahagian berkenaan, Othman Senara menerima cadangan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ishak Ismail supaya persidangan itu ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelak.
Keputusan itu mendapat sokongan perwakilan yang juga Ketua UMNO cawangan Sikamat, Datuk Md. Yusop Harmain Shah.

‘‘Saya ingin mencadangkan supaya persidangan ini ditangguhkan dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi untuk memutuskan tarikh baru pelaksanaannya,” kata Ishak pada persidangan bahagian tersebut yang berlangsung di Dewan Kelab Golf Tuanku Ja‘afar di sini hari ini.

Persidangan itu ditangguh selepas mendapat nasihat pasukan keselamatan, Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian Seremban, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pemerhati dari UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Suasana tegang itu menyebabkan persidangan tertangguh selama lebih 30 minit, selepas berlakunya kejadian tumbuk-menumbuk pada pukul 10.30 pagi dan 10.45 pagi di antara perwakilan, pegawai keselamatan UMNO Bahagian Seremban, pemerhati dan orang ramai.
Persidangan yang bermula pada pukul 10 pagi itu pada mulanya berjalan lancar sehinggalah Ishak menyampaikan ucapan dan pengerusi majlis menyerahkan tugas mengendalikan mesyuarat kepada Othman.

Sebelum Othman sempat bercakap, Yusop kemudiannya bangun dan terus menyatakan pendirian dan rasa tidak puas hati sembilan cawangan dalam bahagian tersebut, yang sebahagiannya telah diarah bermesyuarat tetapi tidak diberikan status sebagai perwakilan.
Mereka sebaliknya ditempatkan di bangku pemerhati.

‘‘Saya mahu mengetahui apakah status sembilan cawangan yang diarah bermesyuarat semula oleh Ibu Pejabat UMNO tetapi tidak berbuat demikian selepas mendapat jaminan UMNO Bahagian Seremban yang mesyuarat itu sah.

‘‘Apabila mereka datang ke persidangan, tentulah mereka terkejut apabila ditempatkan dalam bangku pemerhati. Begitu juga tiga lagi cawangan yang tidak jelas statusnya,” kata Yusop.
Sembilan cawangan itu ialah Taman Ampangan, Taman Jujur, Ulu Beranang, Taman Temiang Jaya, Setul, Jalan Tembak dan tiga cawangan Pemuda iaitu di Taman Jujur, Jalan Tuanku Antah dan Taman Temiang Jaya.

Rahim kemudiannya bangun untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku dan berkata, MT telah memutuskan mana-mana cawangan yang belum bermesyuarat atau mempunyai masalah ketika UMNO bahagian sedang bersidang supaya diletakkan dalam status pemerhati.

‘‘Bahagian ini boleh meneruskan mesyuaratnya pada hari ini,” kata beliau.
Sejurus Rahim menjelaskan perkara itu, Ketua UMNO Cawangan Sri Aman, Mohd. Fadhil Kamaruddin bangun meminta penjelasan status cawangannya dan pada masa itu jugalah pegawai keselamatan UMNO Bahagian Seremban cuba merampas pembesar suara sehingga tercetusnya pergaduhan.

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, perwakilan yang hadir mula membaling kerusi menyebabkan dua tercedera, malahan ada kerusi yang dilontar sehingga di bahagian pentas yang menempatkan barisan jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban.

0 comments: