Sunday, December 14, 2008

ROYALTI MINYAK : KEPUTUSAN BETUL PADA MASA YANG SALAH

Apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menyerahkan cek royalti minyak sebanyak RM408 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said, maka ramai yang berkata itu adalah keputusan politik menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Kebenaran kenyataan tersebut diperkuatkan lagi apabila Berita Harian melaporkan "Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Kabinet juga memutuskan pemberian wang ehsan akan dihentikan kerana Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang termaktub dengan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti."

Oh? Ada perjanjian antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti?

Maka, orang bertanya sekiranya itulah perjanjian antara kedua-dua belah pihak, mengapakah Kerajaan Pusat menghentikan bayaran royalti kepada Kerajaan Terengganu apabila PAS memerintah negeri itu dulu?

Pengundi hari ini sudah bijak. Mereka memperolehi pendapat kedua (second opinion) dari pelbagai sumber. Oleh itu, sebarang keputusan hendaklah difikirkan semasak-masaknya supaya ia tidak dilihat sebagai memperlekehkan kebijaksanaan mereka (not to insult their intelligence).

Saya cukup yakin isu royalti minyak ini akan menjadi satu isu penting dalam pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu nanti. PAS tentunya akan membuat dakwaan (1) royalti minyak adalah hak rakyat Terengganu, (2) Kerajaan Barisan Nasional menzalimi rakyat Terengganu apabila ia menghentikan pembayaran royalti sewaktu PAS memerintah, (3) pembayaran royalti minyak dibuat sekarang kerana BN ingin menang dalam pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu, dan (4) atas perjuangan PAS, maka Kerajaan Pusat mengembalikan bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Entahlah, saya tidak yakin pembayaran royalti minyak yang dibuat sekarang akan mengalih sokongan pengundi daripada PAS kepada BN. Sebaliknya, kebimbangan saya ialah pengundi P36 Kuala Terengganu akan menganggap ini ialah sebahagian keputusan-keputusan Barisan Nasional yang dibuat untuk menang di situ.

Biar saya katakan bahawa keputusan mengembalikan royalti minyak adalah satu keputusan yang betul. Bagaimanapun, keputusan yang betul hendaklah dibuat pada masa yang betul. Barisan Nasional hendaklah membiasakan diri membuat keputusan yang betul sepanjang masa, bukannya hanya apabila tiba pilihanraya kecil.

Sementara kita memahami kesungguhan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu, saya berharap kerajaan dapat berhati-hati supaya tidak membuat keputusan hanya untuk memenuhi keperluan pengundi semata-mata. Keputusan berkaitan dengan isu-isu nasional juga hendaklah difikirkan semasak-masaknya dan tidak dibuat hanya untuk meraih populariti dalam pilihanraya kecil.

Usah untung sekarung, tetapi rugi seguni!

Pendapat Saya :
Royalti memang hak rakyat Terengganu. Bila dilihat menguntungkan, maka ia dipulangkan kepada kerajaan Terengganu. Jika merugikan maka tak akan diberikan. Untung rugi ni dah jadi pertimbangan penting dalam kehidupan. Harap-harap pada kali ini pengundi2 Kuala Terengganu akan pastikan mereka di BEBASkan daripada segala tipu daya permainan politik fulus ni.

0 comments: