KUALA LUMPUR 2 Dis. - Jabatan Meteorologi mengeluarkan "nasihat peringkat kuning" mengenai hujan sederhana kadangkala lebat yang dijangka berlaku di beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Keadaan ini mungkin menyebabkan banjir di sekitar tebing sungai dan kawasan-kawasan rendah," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya ia dijangka berlaku dari Khamis ini pada sebelah malam, sehingga Isnin depan.
Kawasan-kawasan yang terlibat adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan.
Di Terengganu pula termasuk daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman manakala di Pahang membabitkan daerah Jerantut, Kuantan, Maran, Bera, Rompin dan Pekan.
Sementara itu jabatan itu berkata, ribut petir, hujan lebat beserta angin kencang di Pahang (daerah Kuantan dan Pekan), Selatan Terengganu, Sabah (bahagian Kudat, Pantai Barat, Sandakan dan Tawau) serta Sarawak (Kuching, Sri Aman, Sarikei, Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu) dijangka berterusan sehingga malam ini.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment